'THE FARISIAN' (PELAJAR PINTAR MALAYSIA)

Monday, April 26, 2010
Hari ini (26.4.2010) saya melaksanakan tugas yang diarahkan oleh KSPA JPN Kelantan. Tugasannya ialah bersama dengan pelajar-pelajar Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra (SMSTMFP), Pengkalan Chepa. Seawal 6.45 pagi memulakan perjalanan menggunakan laluan Kuala Krai-Kota Bharu menyebabkan saya berdebar dan 'kepanasan' (walaupun hujan turun sepanjang perjalanan). Sangat jarang sekali saya lewat ke mana-mana destinasi yang diarahkan. Namun hari ini saya 'tewas' dalam merancang perjalanan. Faktor hujan dan kenderaan bertali arus menjadi penghalang ketepatan waktu sebelum ini... Bukan memberi alasan tetapi sekadar peringatan di masa depan supaya mengambil kira semua faktor sebelum memulakan kerja!
Berinteraksi dengan pelajar-pelajar terbaik Malaysia di SMSTMFP ternyata tidak banyak cabarannya. Mereka 'sporting' dan tekun memberikan perhatian kepada ceramah saya. Pengalaman 'public speaking' membantu saya meneruskan ceramah dengan lancar. Teringat saya kepada seorang penceramah INTAN yang memberi tips. Seseorang penceramah perlu menyediakan Pelan A, B, dan C sebelum ke tempat ceramah atau sesuatu program. Saya bernasib baik kerana saya bersedia dengan Pelan B. Pelan A ialah saya akan menggunakan 'power-point slide presentation'. Malangnya Pelan A saya tidak dapat dilaksanakan kerana tidak ada projektor LCD disediakan! Pelan B saya ialah gunakan nota yang sedia ada dalam Nokia Communicator. Alhamdulillah, pelajar-pelajar SMSTMFP tetap setia mengikuti interaksi saya selama satu setengah jam.
Saya tidak pasti samada mereka sedar atau tidak yang saya menggunakan Pelan B dalam interaksi ini.
Saya akan kongsikan isu-isu penting dalam interaksi hari ini dalam tulisan selepas ini... Tungguuuu.

NOSTALGIAKU.... PETRA 1

Saturday, April 24, 2010
Menjengah bertandang kembali ke SMK Sultan Yahya Petra 1, Kuala Krai pada 25 April 2010 memang membahagiakan... Kira-kira suku abad yang lalu saya salah seorang pelajar yang menagih ilmu di situ. Hari ini saya datang sebagai tetamu. Perasaan yang bercampur baur. Teruja, gementar, bangga, terharu.....
Teruja dengan keramaian pelajar dan guru-guru menyebabkan hati saya menjadi gementar. Rasa berbangga kerana suatu waktu dulu saya adalah sebahagian daripada warga Petra 1. Namun rasa terharu datang bersama bila terkenang segala kepayahan dan keperitan hidup sebagai seorang pelajar. Meneruskan kehidupan sebagai seorang anak dan pelajar yang kematian ibu bukanlah sesuatu yang menyenangkan.... Bersarapan nasi semalam di pagi hari bukan cerita rekaan...Berjalan kaki berunifom pengawas dari Guchil 4 ke Petra 1 bukan pengalaman yang menggembirakan...Itulah kenangan dan keperitan hidup yang 'menghidupkan' insan yang diberi nama Tengku Abdullah ini.....
Tidak bermaksud untuk menyampaikan ucapan atau ceramah kerana hari saya menjalankan tugas pemantauan biasa. Namun harapan Pengetua dan pentadbir sekolah sukar untuk dikecewakan. Sekali lagi pengalaman yang secebis ini membantu saya memberikan ucapan di hadapan hampir 2000 pelajar Petra 1. Gemuruh sekali tepukan hormat yang saya minta semua pelajar Petra 1 berikan kepada pendidik mereka yang berada di pentas.
Terima kasih cikgu! Terima kasih cikgu! Terima kasih cikgu!
Catatan khas: Terima kasih Yan & rakan-rakan kaunselor kerana menjadi 'penyubur minda, pendidik akhlak, pendamai jiwa' untuk anak-anak didik kita (walaupun tak semua orang tahu dan cuba mengerti...)

PUTERA PUTERI SMK TIP 2

Tuesday, April 20, 2010
Hari ini saya bersama dengan calon-calon peperiksaan SPM (SIJIL PENENTU MASADEPAN) SMK Tengku Indera Petra 2, Gua Musang. Sengaja saya gunakan 'nick-name' SPM itu sebagai Sijil Penentu Masadepan dengan harapan pelajar tingkatan 5 SMK TIP 2 faham dan mengerti tentang kepentingan SPM!
Saya rasa gembira dan berbaloi dapat berinteraksi dengan pelajar seramai hampir 200 itu. Sekalung tahniah kepada Pengetua, para pentadbir terutamanya Puan Umi Mariza yang memberi peluang kepada saya untuk berinteraksi dengan pelajar harapan  mereka. Juga kepada Kaunselor-kaunselor pelajar SMK TIP2 yang tidak pernah jemu mengundang saya.
Satu perkara menarik yang saya ingin kongsikan dengan pembaca sekelian. Ketika saya bertanyakan kepada para pelajar tentang cita-cita dan impian mereka, seorang pelajar memberikan jawapan amat jarang saya temui. Seorang pelajar perempuan memberitahu saya bahawa dia bercita-cita ingin menjadi seorang pelukis komik! Seorang dua pelajar yang lain bercita-cita ingin menjadi chef atau tukang masak.
Lazimnya, ramai pelajar akan memberi jawapan jenis kerjaya yang mungkin 'stereotaip'. Contohnya, anggota polis, tentera, guru. Manakala pelajar-pelajar cemerlang dapatlah saya dengar cita-cita sebagai doktor, jurutera, pilot, saintis. Oh ya, seorang pelajar berbangsa Cina beritahu bahawa dia ingin jadi Perdana Menteri!!
Memang unik pelajar-pelajar SMK TIP2 ini. Walaupun mereka suka ketawa tetapi mereka telah menunjukkan sikap yang positif dan menghormati saya. Saya senang berinteraksi dengan mereka.
Saya telah katakan kepada pelajar tersebut bahawa hidup mesti mempunyai cita-cita dan impian. Cita-cita dan impian yang akan membangkitkan motivasi untuk belajar atau bekerja. Seorang bapa akan bekerja bersungguh-sungguh kerana impiannya untuk melihat anak-anak mereka berjaya! Seorang pelajar akan belajar bersungguh-sungguh kerana dia ada impian dan cita-cita yang dicapai dalam hidupnya!
Saya sedar tidak mungkin semua pelajar yang  ditemui tadi akan berubah sikapnya..... dua jam tidak mungkin dapat mengubah semuanya! Namun seperkara yang menghilangkan kepenatan saya memandu lebih daripada 200 km tadi.. ialah saya telah menyumbang sesuatu ke arah 'MEMANUSIAKAN MANUSIA'. 
TERIMA KASIH SMK TIP 2......   

KEJARLAH DULU IJAZAH SEBELUM MENGEJAR....(Sambungan)

Saya telah sebutkan betapa sukarnya nak membantu pelajar yang bertanya tentang masalahnya hanya melalui sms... bagaimanapun saya sedar pelajar ini memang sangat perlukan pandangan dan bimbingan. Saya bertanggungjawab untuk 'melayan' dan cuba membantu dengan sedaya upaya.
Saya katakan kepada pelajar itu bahawa memilikki rasa cinta tidak salah, cuma bercinta ketika berada di tingkatan 5 itu yang silapnya! Persoalan di sini ialah pelajar ini memang silap kerana bercinta pada waktu dan ketika yang tidak sepatutnya. Di saat pelajar-pelajar lain sedang bertungkus lumus dan berhempas pulas belajar untuk menghadapi SPM, dia memilih untuk bercinta. Inilah saya cuba katakan kepada pelajar berkenaan bahawa akan tiba waktunya sesuai untuk bercinta, tetapi bukannya sekarang!
Sekarang ialah waktu untuk berfikir dengan serius tentang SPM dan tentang masa depan. Para pelajar hanya ada 2 pilihan sahaja. Samaada pelajar memilih untuk berjaya dalam SPM atau gagal. Itu sahaja pilihan yang ada dan terbentang luas di hadapan remaja. Justeru, pilihlah yang mana satu IDAMAN KALBU.
Pesanan untuk remaja lelaki.... KEJARLAH DULU IJAZAH SEBELUM KAMU MENGEJAR AZIZAH!!!! 

KEJARLAH DULU IJAZAH SEBELUM MENGEJAR.......

Monday, April 19, 2010
Salam hormat dan terima kasih kepada pemantau remaja yang sentiasa mengikuti blog saya.Kebelakangan ini saya menerima beberapa sms dari remaja yang saya pasti masih belajar. Mereka bertanyakan pandangan serta pendapat tentang masalah yang berbagai.
Salah satu sms yang agak panjang lebar saya terima beberapa hari lepas. Permasalahan yang ditanyakan ialah tentang isu cinta remaja atau 'coupling' di sekolah. Remaja ini berada di tingkatan lima dan akan menduduki peperiksaan SPM pada tahun ini. Saya tersenyum sendiri membaca sms pelajar ini. Katanya dia tak dapat tumpukan perhatian terhadap pelajaran kerana asyik terkenang dan terbayang 'buah hatinya'. Buah hati pelajar ini sama-sama belajar di sekolah yang sama. Saya katakan sukar untuk saya membantu jika hanya sms menjadi penghubung. Walau bagaimanapun, saya cuba memahami dan cuba membantu juga pelajar ini.
Bermacam-macamlah alasan bila ditanya mengapa dia tega bercinta ketika pelajar lain sibuk belajar... Katanya, dia tertarik dengan sikap 'caring' dan romantik kekasihnya. Yang menariknya, pelajar ini menulis (sms) bahawa dia tidak dapat merasai layanan sedemikian daripada ibubapanya! Sikap 'caring' atau prihatin terhadapnya membuat dia benar-benar jatuh cinta. Saya cuba menyoal balik adakah dia tidak langsung mendapat kasih sayang daripada keluarga terutamanya ibubapa. "Ibubapa saya tidak ada waktu untuk mendengar saya!". Mungkin itu alasan atau kenyataan yang menjadi penyebab pelajar ini mencari alternatif lain untuk mengemis layanan dan kasih sayang???

PERJUANGAN TETAP DITERUSKAN!

Sunday, April 11, 2010
Hampir seminggu saya tidak ’up-date’ blog ini. Kekangan tugas di luar dan hambatan masa menyebabkan saya tidak dapat menambah koleksi bahan untuk blog ini. Minggu lepas ( 4 hingga 8 April 2010 ), saya dijemput untuk bersama dengan para pemimpin pelajar di SMK Bandar, Kuala Krai. Berceramah kepada ibubapa SK Manek Urai dalam program ’Jom ke Sekolah’. Berinteraksi dengan pelajar tingkatan lima di SMK Sultan Yahya Petra 2, dan juga memberi input motivasi kepada pelajar-pelajar target PMR sekolah-sekolah dalam PPD Kuala Krai. Rasa kepenatan juga minda dan fizikal saya... Berhadapan dengan pelbagai peringkat kumpulan sasaran memang memerlukan persediaan. Secara teorinya, bukan susah untuk berhadapan dengan lebih 200 ibubapa dan murid sekolah rendah. Tetapi realitinya amat berbeza. Saya perlu ’tackle’ semua murid dan ibubapa mereka di dewan terbuka pada jam 3 petang! Kerap kali pengalaman yang banyak membantu saya dalam menghadapi situasi sebegini.

Setiap kelompok sasaran yang saya hadapi ada cabarannya. Agak mudah berinteraksi dengan kelompok pelajar target atau pelajar cemerlang. Namun perlu waspada dengan input atau isi yang ingin disampaikan. Pelajar cemerlang tidak perlukan ucapan atau leteran yang berjela-jela. Mereka mahukan input-input bernas dan nyata yang boleh mereka aplikasikan. Penghormatan mereka terhadap saya sebagai penceramah juga tinggi. Suasana ini amat berbeza ketika saya berinteraksi dengan pelajar biasa dan sederhana pencapaiannya. Berbagai kerenah boleh dilihat. Kumpulan yang kurang berminat kerana rasa terpaksa atau ’dipaksa’ untuk hadir. Inilah cabaran. Cabaran inilah yang mematangkan saya dalam penyampaian ceramah selama hampir 15 tahun.

Terdetik juga di hati mahu sahaja bersara... letih kerana asyik mendengar bermacam-macam kes salah laku dan jenayah yang dilakukan oleh remaja sekolah. Seolah-olah seruan dan nasihat yang para pendidik berikan tidak memberi kesan. Namun teringat juga maksud Surah al-Ash yang menjadi penghias laman blog ini....

”Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali mereka-mereka yang beriman dan beramal soleh. Dan mereka-mereka yang berpesan-pesan dengan kebenaran, serta mereka yang berpesan-pesan dengan kesabaran”.

Alhamdulillah, kekuatan jiwa saya datang kembali. Maka berkatalah hati, ”Kemahiran dan kebolehan menyampaikan ini adalah anugerah Allah SWT dan tidak semua orang mampu melakukannya”.

Saya akan teruskan perkhidmatan bimbingan ini selagi masih diperlukan. Saya yakin menyumbang sesuatu (walaupun kecil) adalah LEBIH BAIK daripada tidak memberikan apa-apa sumbangan pun.

KETIKA CINTA BERTASBIH (MORAL)

Setelah seminggu saya biarkan pembaca remaja meneliti 'sinopsis' filem KCB, lebih bererti lagi jika saya terangkan juga 'moral of the story'nya...
Saya telah menyebut tentang KCB ini ketika saya memberikan ceramah kepada pelajar tingkatan lima (SMK SYP 2) minggu lepas. Saya mengharapkan para remaja ini memahami erti cinta yang sebenarnya. Saya ingin para remaja memahami bahawa budaya 'coupling' atau bercinta di sekolah ini TIDAK SEPATUTNYA berlaku di kala mereka sedang bertungkus lumus berusaha untuk berjaya dalam peperiksaan!
Saya juga ingin para remaja faham bahawa konsep maruah dan kesucian diri itu bukan hanya perlu dijagai oleh remaja perempuan sahaja. Remaja lelaki juga perlu mementingkan perkara ini. Bercinta tidak salah tetapi bercinta pada masa yang salah itulah KESALAHAN dan KESILAPAN besar yang para remaja sekolah lakukan! Kesimpulannya, saya ingin pelajar-pelajar yang mengikuti setiap ceramah yang saya sampaikan, faham dan mengerti bahawa zaman sekolah adalah zaman belajar dan mencapai cita-cita, BUKANNYA cinta! Jangan risau... cinta akan datang jua akhirnya bila sampai waktunya...

KETIKA CINTA BERTASBIH ( 2 )

Sunday, April 4, 2010
Akhirnya, hari cuti minggu lepas memberikan peluang untuk saya duduk bersama anak-anak dan menonton KETIKA CINTA BERTASBIH.....
Menonton filem KETIKA CINTA BERTASBIH (KCB) bersama anak-anak merisaukan saya juga. Maklumlah ini kisah cinta remaja yang mungkin dipenuhi dengan dengan adegan-adegan menjolok mata. Babak demi babak diikuti. Hati saya berkata, ”Ini bukan kisah cinta remaja biasa ni...”. Memang benar. Tidak ada adegan berpegangan tangan, tidak ada adegan berpelukan, tidak ada adegan di disko yang selalunya memperlihatkan remaja sedang meneguk ’kencing syaitan’....(lazimnya dipaparkan dalam drama Melayu di Malaysia!). Tetapi KCB ini berjaya menarik perhatian saya untuk terus ingin tahu perjalanan cerita. Kebijaksanaan orang-orang seni filem KCB ini memberikan watak-watak yang sesuai kepada setiap pelakonnya ternyata menjadi.
Filem yang diangkat dari novel ini ternyata memberikan satu dimensi baru dalam memperkatakan cinta remaja. Tidak sia-sia saya mengambil kesempatan untuk menonton filem ini bersama anak-anak. Banyak nilai-nilai dan mesej yang boleh saya terapkan ke dalam minda dan pemikiran anak-anak.
Saya fikir para pembaca remaja perlu menonton filem ini. Bukan hanya kerana para pelakonnya utamanya cantik-cantik dan ‘ganten-ganten’ (kata orang Indon), tetapi yang paling penting ialah NILAI-NILAI yang dibawa dalam KCB ini. Ketika Eliana (anak Duta) menawarkan sebuah ciuman kepada hero filem ini sebagai hadiah, ringkas dan padat jawab si hero, “Itu bukan hadiah tetapi musibah!”. Si hero berani menolak dan mengatakan tidak kepada si Eliana yang cantik paras rupanya hanya kerana satu sebab sahaja. Tidak lain dan tidak bukan ialah kerana nilai keimanan Abdullah Khairul Azam! Inilah yang saya katakan bahawa filem KCB tidak memberi ‘nasihat’ yang berjela-jela tetapi mengajak penonton berfikir.
Saya kagum dengan prinsip dan pegangan yang Abdullah Khairul Azam lontarkan kepada Eliana bila ditanya mengapa AKA menolak tawarannya….


“SETIAP ORANG PASTI PUNYA PRINSIP DALAM HIDUPNYA. BIASANYA APA YANG DIYAKINI KEBENARANNYA. PRINSIP HIDUP SAYA BERDASARKAN AL-QURAN DAN HADIS. DALAM AGAMA KITA (ISLAM) MASALAH KESUCIAN ITU HARUS DIUTAMAKAN. DI ANTARA KESUCIAN-KESUCIAN YANG HARUS DIJAGA IALAH KESUCIAN HUBUNGAN ANTARA PRIA DAN WANITA. KALAU SAYA MELAKUKAN CIUMAN TERHADAP WANITA YANG TIDAK HALAL BAGI SAYA, BERERTI SAYA TELAH MENODAI KESUCIAN DIRI SAYA SENDIRI DAN JUGA MENODAI KESUCIAN WANITA ITU JUGA...”

KETIKA CINTA BERTASBIH ( I )

Saturday, April 3, 2010
Saya minat menonton filem. Saya percaya ramai para remaja pun suka menonoton filem. Seiring dengan peningkatan usia, minat menonton saya juga turut berubah. Ketika zaman kanak-kanak, saya gemarkan filem-filem aksi lakonan Jackie Chan, Bruce Lee.. (berangan-angan nak jadi hero semacam itu!)

Di peringkat sekolah menengah pula, filem-filem kisah cinta remaja keluaran Indonesia menjadi pilihan. Hero-hero kacak seperti Rano Karno, Robby Sugara, Roy Marten dan ramai lagi sering membuat saya jadi perasan (Nak ikut fesyen rambut, pakaian). Malah ayat-ayat dalam surat kepada rakan-rakan dipengaruhi loghat dan Bahasa Indonesia! Pendek kata memang puitis sungguh ayat-ayat yang ditulis ketika itu. Begitulah kuatnya pengaruh filem-filem kepada manusia.

Usia yang meningkat dan mungkin seiring dengan kematangan emosi dan kognitif menyebabkan saya tidak gemar lagi menonton filem-filem sebegitu. Saya lebih gemar filem-filem berbentuk sejarah dan filem-filem ’blockbuster’ atau ’box-office’. Bukan kerana kisahnya tetapi saya lebih suka melihat dan menilai kualiti pembikinan filem itu sendiri. Sesetengah filem seperti itu memakan kos pembikinan puluhan juta dolar! Jadi saya ingin melihat mengapa filem itu hebat dan memakan kos yang sangat besar...

Bulan lepas seorang rakan memberikan saya filem Indonesia berjudul ’KETIKA CINTA BERTASBIH’. Saya katakan bahawa saya sudah tidak minat dengan cerita-cerita remaja sekarang. ”Cerita ni lain daripada cerita cinta remaja yang biasa. Cubalah tengok”, kata rakan saya. Timbul rasa ingin tahu dalam hati saya walaupun saya tak pasti bila agaknya ada waktu terluang untuk menontonnya.

Akhirnya, hari cuti hujung minggu memberikan peluang untuk saya duduk bersama anak-anak dan menonton KETIKA CINTA BERTASBIH.....

PATI OH PATI!

Thursday, April 1, 2010
Saya dikunjungi oleh dua orang bapa minggu lepas. Bapa-bapa ini datang bertemankan kenalan yang saya kenali. Kenalan saya itu menjadi jurucakap kepada kedua-dua bapa ini. ’Maudhuk’ (tujuan) kunjungan ini ialah untuk merayu supaya anak mereka diberi peluang untuk belajar di tahun satu pada tahun hadapan. Rupa-rupanya kedua-dua bapa yang mengunjungi saya ini ialah pendatang asing tanpa izin (PATI).

Salah seorang PATI ini telah memilikki taraf pemastautin tetap. Manakala bapa yang seorang lagi belum mempunyai apa-apa ’taraf’, malah paspot perjalanan pun tamat tempohnya dan tidak diperbaharui buat sekian lama. Bapa yang kedua ini telah menetap di Kelantan hampir 20 tahun. (Sayangnya dia tidak memperbaharui paspotnya dan tidak pernah memohon taraf pemastautin tetap).

Harapan dan hasrat mereka cuma satu iaitu merayu semoga anak-anak mereka akan diberi peluang untuk masuk darjah satu pada tahun 2011.

Dengan jujur saya katakan bahawa hanya pihak JPN (Pengarah) sahaja yang boleh mempertimbangkan permohonan mereka. Itupun jika mereka memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan. Saya hanya dapat membantu dengan memberikan mereka borang permohonan yang perlu mereka kemukakan kepada pihak JPN. Saya dapat melihat kekecewaan di wajah mereka...

Isnin depan saya dijemput ke sebuah sekolah dalam PPD Kuala Krai. Tajuk ceramah yang diberikan kepada saya ialah ’Jom ke Sekolah’. Saya difahamkan siri ceramah Jom ke Sekolah ini adalah program Sektor Hal Ehwal Murid yang bertujuan untuk menggalakkan murid supaya hadir ke sekolah! Kumpulan sasaran terdiri daripada para ibubapa juga.

Mengapa saya bercerita tentang kedua-dua bapa PATI tadi? Tentulah banyak sekali sebabnya. PATI yang anaknya tidak layak untuk menikmati kemudahan belajar dalam sistem persekolahan kita, melakukan usaha yang bersungguh-sungguh untuk menyekolahkan anaknya! Para ibubapa (rakyat Malaysia) pula, terpaksa di ‘pujuk’ dan di kempen untuk menghantar anak-anak ke sekolah!!! HAIRAN BIN AJAIB !!!

Teringat saya kata-kata Mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir sebelum bersara, “ Saya akui saya boleh mengubah infrastruktur negara kita, tapi saya tak mampu mengubah MENTALITI (cara pemikiran) rakyat Malaysia sepenuhnya”.

InsyaAllah, saya akan kongsikan kisah PATI ini kepada ibubapa dalam program ‘Jom ke Sekolah’ itu nanti. Sayapun tak mampu mengubah sikap atau mentaliti semua audien, namun sekurang-kurangnya saya telah berusaha.... Bukankah melakukan sesuatu lebih baik daripada tidak berbuat apa-apa???