CABARAN KEPADA PELUANG... suatu hijrah.

Monday, May 31, 2010
Seorang teman memberi khabar gembira kepada saya tentang peningkatan kerjayanya. Beliau mendapat kejayaan berganda pada tahun 2010 ini.
Pertama, teman saya ini berjaya mencapai cita-cita untuk menamatkan pengajian peringkat ijazah. Kejayaan yang kedua dia telah diberi kenaikan pangkat (gred) dalam perjawatannya. Dua kejayaan dalam hidup ini sememangnya menjadi impian setiap insan. Terutamanya penjawat awam atau pekerja yang sering mengimpikan agar 'naik pangkat' dalam kerjaya yang diceburi.  Namun 'harga' yang perlu dibayar oleh teman saya ini ialah terpaksa bertukar ke luar Negeri Kelantan. Saya akui sangat berat membuat keputusan untuk keluar daripada 'zon selesa'. Nampaknya itulah dilema yang dialami oleh teman saya ini. Jelas, teman saya ini keliru dan serba salah di antara peluang kerjaya atau tinggalkan zon selesa....
Bagaimana saya boleh membantu....?

CIKGU MAIZOM (NOSTALGIA 1984)

Saturday, May 29, 2010
Khamis lepas saya menjejakki guru yang mengajar subjek Bahasa Melayu di SMK Sultan Yahya Petra1 pada tahun 1984. Maklumat yang saya terima bahawa Cikgu Maizom sekarang bertugas di Maktab Sultan Ismail, Kota Bharu memang tepat. Ingin sekali saya bertemu dengan cikgu saya ini setelah lebih 26 tahun berlalu. Tentu sekali banyak perubahannya. Sayang sekali, saya diberitahu Cikgu Maizom bercuti. Hampa sungguh rasa hati....
Masih segar dalam ingatan gaya dan tutur kata cikgu BM saya ini. Berkaca mata dan berkulit putih orangnya. Tidak pernah marah melulu tetapi tegas orangnya. Slot yang paling saya tunggu ialah di awal pagi. Sebelum memulakan kelas, beliau akan bertanya setiap orang tentang perkataan-perkataan baru. Maka saya di antara pelajar yang setiap hari akan cuba mencari perkataan-perkataan sukar untuk ditanyakan. Saya sangat kagum ketika itu. Setiap perkataan yang sukar bagi kami diberi pengertian dan huraian yang panjang lebar oleh Cikgu Maizom! Sampai sekarang saya masih ingat satu perkataan yang sukar dan baru bagi kami. Pada masa itu tidak ada seorang pun rakan sekelas boleh memberikan makna perkataan itu. Cikgu Maizom telah menjelaskan makna perkataan sukar yang saya tanyakan lengkap dengan penerangannya.
Memang benar, seorang guru yang hebat ialah guru yang mampu 'mengikat' minat pelajar untuk terus belajar. Dan saya yakin benar bahawa cikgu Maizom memang hebat kerana dia masih boleh 'mengikat' ingatan dan kenangan terhadapnya, walaupun selepas 26 tahun!
Pagi ini (Ahad), saya menerima panggilan telefon daripada Cikgu Maizom. Dia minta maaf dan berterima kasih kepada saya. Minta maaf kerana tidak dapat bertemu, terima kasih atas cenderahati yang saya letakkan di atas mejanya.
Saya katakan bahawa saya yang harus berterima kasih kepada cikgu. Terima kasih cikgu. 

YAKIN DIRI

Tuesday, May 25, 2010
Saya sering ditanya tentang tips untuk mewujudkan keyakinan diri. Selain pelajar, ramai rakan-rakan penjawat awam turut bertanya tentang perkara yang sama. Ramai yang mengalami masalah kurang keyakinan diri terutamanya ketika berhadapan di khalayak ramai. Apalagi bila diminta bercakap atau menjadi MC dalam sesuatu majlis. Berikut saya kongsikan 10 langkah yang ringkas untuk mewujudkan KEYAKINAN DIRI.
1. Ingatkan diri anda bahawa anda diciptakan oleh Allah sama seperti juga orang lain.
2. Bina soalan dalam minda anda.. 'Orang lain boleh buat, mengapa aku tidak boleh?'.
3. Kenalpasti kelebihan dan kekurangan yang ada pada diri. Manafaatkan kelebihan, baiki segala kelemahan.
4. Elakkan rasa takut-takut atau teragak-agak untuk melakukan sesuatu yang positif.
5. Elakkan malu yang tidak bertempat.
BERSAMBUNG....

SELAMAT TINGGAL LANGKAWI...

Friday, May 21, 2010
Berkunjung semula ke Pulau Lagenda (19-22 Mei 2010) selepas hampir dua tahun.
Ketara benar Langkawi sepi dan tenang kerana tika ini bukanlah musim cuti sekolah. Berbeza sungguh berkunjung 'makan angin' berbanding datang ke Langkawi kerana menyelesaikan tugasan atau berkursus. Jadual yang ketat tidak memberi peluang untuk 'pusing-pusing' ke tempat peranginan seperti kereta kabel atau Underwater World.
Memerah minda dan berkongsi kemampuan intelektual untuk menyiapkan Modul Realiti Alam Kerjaya sungguh meletihkan! Sekalung tahniah kepada rakan-rakan dalam kelompok Kaunselor Organisasi di PPD seluruh Kelantan yang berjaya menyelesaikan modul ke tahap akhir.
Bahagian Psikologi dan Kaunseling, KPM memberi kepercayaan sekali lagi setelah kami berjaya menyelesaikan Modul Realiti Alam Perkahwinan tahun lepas.
Apa-apa pun terpaksa juga keluar bila memikirkan beberapa 'pesanan' orang di rumah. Sekurang-kurangnya titipan coklat dan batik jawa perlu juga dibawa pulang.
Menginap di Langkasuka banyak kemudahannya. Sempat juga 'window shopping' waktu petang di kompleks membeli belah di sebelahnya.
Teringat juga kepada anak-anak pelajar bila terpandang satu iklan di kompleks memberli belah ini.
"JAWATAN KOSONG : SALESGIRL: SYARAT PERMOHONAN: SIJIL PELAJARAN MALAYSIA!!"
Itulah realitinya. Nak mohon kerja sebagai jurujual pun memerlukan SPM!!
So, wahai anak-anak pelajarku... fikir-fikirkanlah! Jika anda berfikir tentang ini sejenak, ANDA TIDAK MUNGKIN LALAI DAN 'MAIN-MAIN' KETIKA ANDA MASIH BERGELAR PELAJAR!!
Catatan: Saya tinggalkan Langkawi dengan kehadiran dua buah bas yang penuh sarat dengan warga Bangla. Menginap di Langkasuka dengan pelbagai gaya dan penuh kegembiraan kerana berada di bumi Malaysia - LUBUK EMAS!
Ironi: Di saat dan ketika ini warga Malaysia mengeluh, merintih kerana kononnya tidak ada peluang pekerjaan....

TAK BEST....

Teruja juga saya melihat komen pembaca yang ringkas saja, "tak best". Terima kasih kerana itu bukti jelas bahawa blog 'kecil' saya ini diikuti dan dipantau setiap hari. Alhamdulillah.
Jika pembaca ini sudi berkongsi apa yang 'tak best' itu... tentu lebih sempurna interaksi kita di laman blog ini. Mungkin pembaca baru ini boleh mengirim cadangan dan komen melalui email. Saya akan sangat menghargainya. 
Sukar juga nak mencari 'yang best' dan yang 'tak best' untuk memenuhi citarasa semua orang. Walau bagaimanapun, saya akan berusaha sedaya upaya memaparkan isu-isu atau topik yang dikira penting dan bermanfaat untuk dikongsikan. Apa-apa pun, terima kasih sekali lagi kepada pembaca dan pemantau yang sudi mengunjungi laman blog ini. 

IQ, EQ, & ESQ

IQ - INTELECTUAL QOUTIENT
EQ - EMOTIONAL QOUTIENT
ESQ - EMOTIONAL SPIRITUAL QOUTIENT
Kecerdikan dan kepintaran sebenarnya tidak memadai untuk membentuk seorang anak atau pelajar yang seimbang. Seimbang dari aspek Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelek.
Saya melihat kes anak mengugut ayahnya dengan pisau itu sebagai lompangnya aspek kecerdasan emosi dan spiritual atau rohani. Anak itu cerdas dari inteleknya tetapi sayang sekali dia amat jelas kurang dari aspek kecerdasan emosi dan kecerdasan kerohaniannya. Itu yang menjadi persoalan asasnya.

AYAH VS ANAK

Wednesday, May 19, 2010
Seorang ayah (seorang guru) mengeluh dan mengadu kepada saya tentang anak lelaki kesayangannya. Tidak pernah terlintas di fikiran seorang anak sanggup melakukan tindakan agresif sebegitu. Mengancam, mengugut untuk menikam ayahnya dengan pisau hanya semata-mata si ayah menegur ketagihan bermain 'video game'!
Hampir bergelut dengan anak berusia 16 tahun di tengah malam sememangnya menggerunkan. Bergenang airmata klien saya ini dengan berulang kali menyebut, "Saya tak sangka anak lelaki bongsu saya sanggup buat begitu....".
Bagaimana mungkin seorang anak yang mendapat 5A dalam PMR sanggup berbuat demikian?
Jika dinilai dari segi IQ, memang pelajar ini dalam kategori pelajar pintar. Kurangnya ialah dari aspek EQ yang pernah saya bincangkan sebelum ini. Lebih parah lagi pelajar ini mungkin kurang dari aspek ESQnya.

SEKALI JADI GURU....(sambungan)

Monday, May 17, 2010
GOH menjelma kembali...
Beberapa tahun selepas menamatkan alam persekolahan, Goh datang menziarahi saya kembali, penampilannya jauh berbeda. Dengan kereta bergengsi dan pakaian yang rapi , anak muda ini berjaya dalam perniagaannya yang pelbagai.
Perkataan yang keluar daripada mulutnya disusun rapi, santun dan bervisi. Goh sentiasa bertanyakan khabar saya pada guru yang lain, jika melawat sekolah.
Saya terharu, rasa tertampar dengan sikap ego dan mazmumah yang menggebu terhadap Goh. Saya gagal sebagai guru muslim untuk seorang pelajar Cina yang luarbiasa nakalnya. Kepongahan tidak membantu dalam berdakwah dan menarik manusia.
Pelajaran moral yang pertama ialah, jangan memandang rendah pelajar kita, apa pun kesalahan dan latar sosial mereka, semua manusia ada potensi untuk berubah dan berjaya dalam hidup.
Hari ini setelah berbelas tahun , saya sangat merindui sosok remaja seperti Goh. Beliau mengajar saya erti guru yang penyabar dan mendepangkan dada serta telinga untuk mendengar.
Kalaulah Goh hari ini menjadi salah seorang anak murid saya di kelas PERKIM setiap Ahad, saya akan tekun mendidiknya untuk menjadi kader dakwah, sayang kerana saya melepaskan peluang itu belasan tahun yang lalu.
Tololnya saya pada masa itu, tanpa hikmah dunia ini kehilangan sinarnya yang indah meranum.
“Selamat Hari Guru” kepada semua pendidik, saya merindui dunia keguruan, merindui barisan anak murid yang tenang ingin menyerap ilmu. Kalaulah masa boleh diundur, saya tidak akan berdiri sebagai guru yang pongah dan melulu.

SEKALI JADI GURU, SELAMANYA KITA GURU..

Kali ini ini saya ingin mengajak para pemantau blog saya untuk mengikuti satu tulisan seorang bekas GURU. Saya rasa amat tertarik dan menarik untuk saya kongsikan dengan pembaca sekelian. Selamat membaca!
SELAMAT HARI GURU: Sekali menjadi guru, selamanya kita GURU
Oleh: Riduan Mohamad Nor
“Selamat Hari Guru….jasamu tetap dikenang seumur hidup”.” Selamat menyambut hari guru, terimakasih kerana pernah menabur ilmu untuk kami”.
Inilah puluhan mesej yang saya terima hari ini dan mungkin ratusan untuk minggu ini, sempena Hari Guru, 16 Mei. Malangnya, tanpa hadiah kecil dan kuntuman bunga segar diatas meja .
Ada rasa hiba yang menerkam ruang sempit dada, malah mesej ringkas yang diterima menyeruak kembali pengalaman menjadi pendidik selama belasan tahun di Lembah Kelang ini.
Sayangnya ramai bekas anak-anak murid saya tidak tahu saya telah melepaskan jawatan secara rasmi sebagai guru, namun sekali kita menjadi guru, seumur hidup kita adalah guru.
“Saya akan terus mendidik selagi mana ada nafas, tetapi untuk masyarakat umum, pelbagai lapisan, jika rindu pada sekolah, masuk ke sekolah untuk program motivasi” janji saya pada kak Aminah sebelum melangkah girang, keluar daripada pagar sekolah.
Melepaskan seribu bebanan tugas rutin yang menambat potensi diri untuk mara sebagai aktivis. Menghela nafas merdeka dengan segudang pengalaman sebagai pendidik muda sekaligus aktivis dakwah.
Kepada teman-teman pendidik yang masih akrab dengan buku rekod, papan putih, kursus dalaman , folio pelajar, teruskan jihad kalian untuk memberikan pencerahan kepada generasi muda kerana ditangan mereka terletak masa depan Islam yang gemilang.
Saya diserbu kenangan yang menggamit perasaan yang bercampur , malah dihempap dengan segunung rasa bersalah apabila mengenangkan kembali masa silam terutama tahun-tahun awal sebagai pendidik.
Ya, seorang anak muda yang sarat dengan idealisme, yang melihat dunia dengan dikotori hitam putih, iman dan kufur, Islam dan jahiliah.


1998: Goh : Remaja Hilang Bentuk, Melakar Masa Depan Niaga
“ Kamu ikut saya ke surau!” jerkah saya pada seorang pelajar Cina yang bernama Goh, mata saya melotot merah saga. “ kamu degil, kepala batu, ini semua sebab gemar makan bab……” hina saya pada Goh, tanpa berbasa basi.
Sebelum itu Goh dikurung dibawah meja saya didalam bilik guru lelaki. "Lokap ustaz Wan” gelar guru lelaki, tidak ada yang membantah dengan jeriji kecil impian saya di VI itu.
Sekolah yang juga bekas markas Jepun itu sangat sinonim dengan tradisi penderaan dan pemerkosaan hak.
Goh ketakutan seperti anak anjing yang tersimbah air longkang. Sinar matanya mendatar, egonya diluluhlantak dengan jerkahan keras saya, diringi hayunan kaki dan tangan.
Saya pula kepuasan seperti baru membentes kaki pesaing dalam acara tomoi sedunia dan melepaskan siku kencang ke muka pesaing. Pesaing pula berkubang darah, menggeletak kesakitan.
Dia, remaja yang polos, suka bercakap lepas , selekeh ala bohemian, tajam kata-kata pada sang guru. “dia belum kenal aku” raung saya dalam hati menyombong, anak Besut yang sesat di Kuala Lumpur, Bandar metpolis yang angkuh ini. Sebelum dikurung , Goh dibelasah ‘lembik’ seperti kain buruk, semua guru diam, tidak membantah dan tidak juga menyokong.
Goh terkenal sebagai ‘taiko’ muda di sekolah dengan jaringan yang meluas didalam dan luar sekolah .Goh gambaran tipikal remaja Lembah Kelang yang teruja dengan gaya hidup samseng Hong Kong yang disensasikan dilayar perak, generasi ‘young and furious’, dadah, bertetak, menebar pesona untuk mengangkangi gadis-gadis genit yang menyihir mata.
“Kamu tengok saya sembahyang, mengapa kamu tidak minat kepada Islam , Islam agama yang baik untuk kamu” ujar saya pada Goh dengan muka yang cemberut.
Goh hidup tanpa tuhan, anak remaja ini merayakan kehidupannya , seranggi mungkin, bebas bagai kelkatu mengintai kerdipan neon malam yang mempersona.
Goh menapak longlai ke Surau, dihujung bangunan sekolah berwajah kolonial, lusuh tapi elegan.
Dengan dua bilik yang selesa untuk mengambil tenaga yang terkuras.Saya menyimpan rapi kuncinya, dengan sejadah lusuh sebagai bantal yang paling mendamaikan mimpi.
Saya dan pelajar muslim solat zuhor berjemaah. Rutin kami jika saya tidak berkuliah zuhor di Lembah Kelang. Goh seperti taukeh getah kalah judi duduk terperuk dihujung pintu surau.
Terjelepuk sambil membilang jari, matanya terus meliar ke arah kami yang berzikir sebelum berdoa. Mata saya tidak terlepas memandang Goh, sesekali dia menguap kemalasan. Hati saya jengkel bercampur kasihan.
“ Ustaz, nanti besar saya mahu masuk Islam, boleh ke?” kata Goh bergetar. Saya merenung jauh kedalam mata sepet Goh, seperti angin berlalu, saya tidak melihat ada kesungguhan melainkan untuk mencairkan hati saya, menjinakkan bongkah kemarahan.
“Boleh, nanti kamu belajar dengan kawan-kawan Melayu tentang Islam” jawab saya malas. Goh berkawan rapat dengan budak-budak Melayu, pengaruhnya besar terhadap pelajar menengah rendah.
Beliau pandai memposisikan diri sebagai kesatria barisan hadapan, jika ada acara kecoh bertumbuk maka dialah paling kehadapan.” Dah , pergi balik” herdik saya pada Goh, tergesa-gesa Goh menghilangkan diri, seperti keretapi ekspres malam.
Dia menciut dibelakang pelajar muslim lain. Pelajaran moral hari itu ialah jangan permainkan guru, Goh mendapat pengajaran yang membekas tajam, mungkin untuk seumur hidup. Itu pun , jika beliau tidak pernah diinterogasi pihak polis atas kesalahan jenayah berat.
“Mengapa ustaz mengamuk tadi, Goh buat apa?, memang budak tu selalu cari pasal” tanya Cikgu Zuraidi , anak muda kelahiran negeri ‘cik siti wan kembang’ itu menjaring soalan, menebak punca kekecohan di sekolah hari itu.
“Tak, budak itu , mengembek macam kambing kat hujung kelas, nak perli janggut ana la tu, kurang ajar sekali” jawab saya malas.
Bersusun kesalahan Goh sebenarnya jika nak disenaraikan, dia pesalah konsisten undang-undang sekolah.
Mempunyai bakat terpendam dalam menyusun makar paling sarkastik, terbit dari sisi gelap otaknya yang sentiasa merancang. Nanar sekali demi mencuri perhatian warga sekolah.
                                                                                                Bersambung........

SABUN, TISU, BUNGA DAN SUSU...

Sunday, May 16, 2010
Pada Hari Guru semalam (16 Mei 2010) saya telah menerima banyak sms ucapan hari istimewa ini. Damai rasa hati kerana walaupun hampir 6 tahun bertugas di PPD, masih ada yang sudi mengirim ucapan 'SELAMAT HARI GURU'.
Saya kagum dengan Tuan Hj Ismail Abd Wahab (KS Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan, JPNK) yang saban tahun mengirim sms ucapan. Sms ucapan Hari Guru 2010 ini menarik jugak untuk saya kongsikan dalam blog ini.
"Kita sambut Hari Guru bukan kerana kita pernah menjadi guru, tapi kerana kita pernah MENJADI MURID, seperti kita menyambut Hari Ibu kerana pernah MENJADI ANAK". Ringkas sahaja smsnya tetapi bagi saya mesejnya begitu panjang dan bermakna jika nak dihuraikan.
Di SMK Sultan Yahya Petra 1 semalam, sambutan Hari Guru diadakan dengan penuh meriah. Saya rasa terharu melihat pelajar mengadakan pelbagai acara untuk meraikan insan-insan yang bernama GURU.
Para pelajar Petra 1 sanggup hadir dan berhimpun di dataran perhimpunan yang panas semata-mata mahu mengambil bahagian. Pengalaman menjadi murid itu yang mendorong para pelajar menyambut Hari Guru.
Saya dapat lihat riak wajah-wajah guru yang penuh ceria menghiasi suasana. Melihat gelagat para pelajar memberi penghargaan kepada guru-guru mereka. Ada yang beri bunga, tisu, sabun! (Lucu juga bila ada guru yang menerima susu pekat penuh kerim!!!) Ketawa dengan pemilihan guru paling cantik, paling 'cool', paling baik, paling garang memenuhi ruang perhimpunan. Semuanya ceria dan gembira. Tujuannya sama sahaja demi menghargai insan-insan bernama Guru.
Dan saya..... hanya 'menumpang' kegembiraan mereka kerana memang tidak ada suasana begini di PPD!
TERIMA KASIH PETRA 1..... 

SELAMAT HARI GURU..... TERIMA KASIH CIKGU!

Saturday, May 15, 2010
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa,
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta,
Jika hari seorang Presiden sebuah negara,
Jika hari ini seorang ulama yang mulia,
Jika hari ini seorang peguam menang bicara,
Jika hari ini seorang penulis terkemuka,
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa,
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
(Sebahagian daripada sajak Usman Awang-1979)

Catatan : Selamat Hari Guru saya ucapkan kepada semua warga Pendidik khasnya di PPD Kuala Krai, Kelantan, dan seluruh Malaysia, amnya. Tak lupa kepada Guru-guru di SMK Sultan Yahya Petra 1, Kuala Krai dan SMK Berangan, Tumpat yang baru bersama saya dalam Kursus Perkembangan Staf semalam (Sabtu 15 Mei 2010).

BIRUNYA KERANA.....

Pantulan refeksi cahaya dari bumi....
Puisi dan lirik lagu, apa-apa pun boleh jadi...
Kalau semua kereta warnanya putih... fuhhhh, boringnya!
Risau kurang laku...(pembeli ingat guna nila!)
Warna pinang masak kan lebih terang dan ceria!
Sebab hanya Incredible Hulk sahaja sesak nafas muka jadi hijau!!
Sebab warna BIRU adalah warna universal pasukan penguatkuasa peraturan & undang-undang ( Universal colour of enforcement ) Haaaaa, ini betul punya!
Sebab manusia banyak fikir, cakap, khayal 'perkara-perkara yang biru-biru' jer! Haaaa, ini pun kira betul lah kepada sesetengah orang!

MENGAPA BIRU............?

Tuesday, May 11, 2010
Mengapa langit dilihat dari bumi kelihatan BIRU?
Mengapa mata hitam Wings menjadi BIRU?
Mengapa sesetengah kereta warnanya BIRU?
Mengapa jarang benar kuih warnanya BIRU?
Mengapa bas sekolah tidak dicat BIRU?
Mengapa bila sesak nafas, muka berubah warnanya BIRU?
Mengapa baju pengawas sekolah warnanya BIRU?
Mengapa OTAK manusia berubah menjadi BIRU?
Responlah jika anda mempunyai jawapannya... silakan.

DARI JEREK KE UIA KL KE SK GETING..

Saturday, May 8, 2010
Hari Khamis ke Jerek, Gua Musang. Jam 4 pagi Jumaat pula bangun awal kerana sekali lagi saya terpaksa menunaikan harapan dan hajat orang...Jam 4 setengah pagi memulakan perjalanan ke UIA Kuala Lumpur kerana harapan kekanda saya untuk mengambil anak buah yang baru menamatkan pengajian di situ. Tiba di UIA KL tepat jam 11.20 pagi. Berbeza rupanya beg dan barang-barang mahasiswa perempuan jika dibandingkan dengan lelaki! (Betul ke Yan, barang-barang mahasiswa perempuan lebih banyak dan sarat?). Respon sikit.....
Jam 12.30 tengahari mula bertolak pulang ke Kuala Krai. Itupun kerana memikirkan tentang satu lagi 'HAJAT & HARAPAN' orang pada esok pagi. Alhamdulillah, jam 7.45 malam kami selamat tiba di Kuala Krai.
Awal pagi Sabtu bergegas ke utara Semenanjung....SK Geting, Tumpat. Berinteraksi dengan ibubapa yang 70% daripada mereka adalah nelayan laut menggerunkan juga. Mengapa? Wajah mereka nyata menyerlahkan ketabahan, keberanian dan kecekalan. Kulit mereka yang 'hangus' dan kering menampakkan betapa penatnya mereka bekerja... Hati berkata jangan risau... itu hanya 'first impression' dirimu sahaja.
Memang benar orang berkata, "Dont judge the book by its cover".....Mereka memberikan respon yang sangat mesra kepada saya sepanjang interaksi.
Biar apa pun rupa fikizal mereka, saya amat yakin dan pasti mereka tidak mahu generasi pewaris mereka 'mewarisi' kerja buat mereka sebagai nelayan yang mempertaruhkan nyawa demi sesuap nasi!
Saya tahu itu...dan ia memberikan kekuatan dan keazaman kepada saya untuk meneruskan tanggungjawab ini.

DARI SK JEREK KE UIA KL....KE SK GETING.....

Selamat bertemu kembali... kurang lebih seminggu saya tidak dapat 'up-date' blog ini. Kekangan tugas di luar dan kesibukan tugas menghalang saya untuk duduk dan 'bercerita' walaupun seketika. Apatah lagi talian 'dial-up' Telekom di rumah saya telah kantoi hampir dua minggu. Inilah akibatnya bila si penagih dan perompak tahu tentang nilai dan harga kabel yang digunakan oleh Telekom!! Sehingga hari ini, talian telefon di kawasan kediaman saya tidak dapat digunakan. Kadang-kadang terfikir juga, untuk apa sebenarnya bayaran RM23 setiap bulan sebagai bayaran tetap???
Minggu lepas saya benar-benar kepenatan. Rupanya betul. Menunaikan harapan dan hajat orang, kadang-kadang amat meletihkan... letih tenaga fizikal dan mental.
Bermula Ahad saya ke HUSM, Kubang Kerian. Rabu saya ke SK Jerek, Gua Musang. Itupun setelah pihak sekolah terpaksa meminda tarikh pertemuan sebanyak tiga kali. Perjalanan yang berliku-liku menerusi laluan Dabong-Jelawang yang memakan masa hampir 2 jam sudah cukup untuk memudarkan motivasi 'si MOTIVATOR'. Namun berhadapan dengan anak-anak tahun enam dan lima seramai 200 itu rupanya memberikan suntikan motivasi kepada saya untuk terus bersemangat. Sepuluh tahun dulu saya pernah ke sekolah itu. Satu perubahan yang sangat ketara ialah tentang sikap dan keberanian murid-muridnya. Jika 10 tahun dulu saya tanyakan tentang cita-cita, mereka hanya menjawab ingin menjadi guru, askar, polis.... Kini, saya tersenyum bangga kerana mereka rata-rata menjawab, ingin menjadi pensyarah, juruterbang, angkasawan, doktor pakar bedah dan jarang-jarang memilih guru.
Hanya seorang murid lelaki yang berjaya membuat saya dan guru-guru mereka ketawa besar.
"Awak pula apa cita-cita bila besar nanti?", tanya saya.
"SAYA NAK JADI RELA, cikgu!!!", jawab murid lelaki tersebut dengan kuat dan penuh yakin.
Alahai... Jerek...Jerek....

'SHARING & CARING'

Sunday, May 2, 2010
'Sharing & Caring' ialah satu program tahunan yang telah dilaksanakan oleh Sektor Psikologi dan Kaunseling, JPN Kelantan. Program ini diadakan sekali lagi pada 29 April 2010 bertempat di Perdana Resort, Pantai Cahaya Bulan. Program ini mempertemukan hampir 40 warga pendidikan yang terdiri daripada guru-guru dan staf seluruh negeri. Yang menariknya ia bukan seperti kursus-kursus biasa. Peserta kursus terdiri daripada warga pendidikan yang mengalami masalah kesihatan fizikal yang sederhana dan kronik.
Peserta berkongsi cerita dan derita sesama mereka. Sebagai fasilitator, pertemuan dan interaksi sebegini membuatkan saya begitu insaf betapa nikmatnya sebuah perkataan yang bernama 'SIHAT'. Ada diantara peserta yang mengalami penyakit kanser payu dara tahap 4 tetapi masih tetap bermotivasi meneruskan kehidupan dan kerjaya sebagai seorang guru! Seorang guru yang sakit jantung tahap 3 masih tetap hadir dengan bertongkat membuatkan kami rasa terharu. YABrs Pengarah Pelajaran Kelantan sempat meluangkan waktu memberikan titipan semangat kepada semua peserta kursus. Program seterusnya ditutup dengan rasmi oleh YBrs Hj. Ahmad Termizi (Ketua Sektor Psikologi & Kaunseling, JPNK).
Lalu saya teringat dengan kes-kes guru dan staf bermasalah disiplin yang dikendalikan di peringkat PPD....Mereka masih muda dan sihat walafiat! Tetapi kebanyakan mereka bermasalah disiplin kerja seperti ponteng, ingkar arahan ketua jabatan dan sebagainya ....MAAF kalau saya katakan bahawa mereka memang TIDAK BERSYUKUR dengan apa yang Allah berikan kepada mereka! Berbeza sungguh jika dibandingkan peserta kursus 'Sharing & Caring' itu yang ada di antara mereka ialah penerima ANUGERAH KHIDMAT CEMERLANG walaupun mempunyai masalah kesihatan yang serius.
Fikir, fikirkanlah......

'REMAJA BIJAK, BERFIKIR PUN BIJAK', EMOSI PUN BIJAK!'

Interaksi saya dengan pelajar SMSTMFP hanya berlangsung sekadar kurang lebih 1 jam sahaja. Isu yang saya kongsikan dengan pelajar-pelajar bijak ini ialah isu yang berkaitan dengan dunia remaja yang bergelar pelajar. Saya katakan bahawa sebagai remaja yang diiktiraf sebagai pelajar-pelajar bijak di Malaysia, mereka harus bijak dalam semua aspek. Semua orang bercakap tentang betapa perlunya bijak 'IQ'. Kita dengar juga orang bercakap tentang 'EQ' (walaupun jarang-jarang).
Apa itu 'IQ' dan 'EQ'? Bermacam-macam lah jawapan yang telah diberikan. Biarlah saya kongsikan dengan para pembaca dua 'Q' ini. Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa sebilangan ahli masyarakat sering menitikberatkan pembinaan 'IQ'. Tanpa disedari mereka seolah-olah telah mengabaikan kepentingan pembinaan 'EQ'.
'IQ' atau 'intelligent qoutient' merupakan kecerdasan intelek atau kepintaran akal. Apa yang berlaku sekarang ialah kita telah berjaya membina ramai pelajar-pelajar pintar dan bijak sesuai dengan perkembangan pendidikan yang begitu pesat. Pada masa yang sama ramai pelajar bijak ini tidak memiliki 'EQ' atau 'emotion qoutient'!. Akibatnya kita menerima berita dan peristiwa tentang pelajar remaja yang bijak melakukan salah laku disiplin dan salah laku jenayah.
Berita tentang mahasiswa menara gading bersalin dalam tandas, melakukan kesalahan jenayah, melakukan penipuan skala besar seperti menyamar, menyamun, seolah-oleh sudah menjadi biasa dewasa ini. Ini suatu situasi yang membimbangkan. KIta melahirkan remaja pelajar yang bijak otaknya tetapi miskin keseimbangan emosinya. Mereka sudah tidak dapat membezakan yang mana perkara buruk atau baik!
Di Faris, saya menyeru pelajar-pelajarnya menjadi pelajar yang bijak otaknya dan hebat emosinya. Mempunyai kekuatan mental, fizikal dan mampu mengawal emosi supaya mampu berfikir sebelum melakukan sesuatu perkara.
Pada saya, tidak ada gunanya kita memiliki 'pewaris' negara yang bijak-bijak semuanya tetapi tidak mampu mengawal emosi. Impaknya sangat menggerunkan. Boleh anda bayangkan?