'QUALITY TIME'

Saturday, October 30, 2010
Alhamdulillah. Hari hari cuti sempena kemenangan 'Red Warrior' membawa pulang Piala Malaysia. Rupa-rupanya kemenangan bersejarah pasukan Kelantan membawa rahmat kepada semua. Seronok berada di rumah dengan anak-anak dan keluarga. Bukan kerana seronok tidak bekerja tetapi gembira kerana masih ada satu hari lagi untuk melepak dan makan bersama. Kekangan tugas sering menyebabkan saya meninggalkan mereka. Banyak sungguh perkara yang saya ketinggalan. Saya kagum dengan Umi mereka yang masih tetap ingat tarikh lahir setiap anak-anak! Melihat anak-anak membesar begitu cepat boleh merisaukan juga. Bimbang tidak dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab menjaga amanah Allah ini... Mungkin atas sebab itu saya lebih suka melepak bersama anak-anak dan keluarga; berbanding lepak bersama rakan di warung kopi. Saya tahu mungkin meninggalkan mereka lagi....
CATATAN:
1. Pada saya, jika semua ibubapa benar-benar memanafaatkan 'QUALITY TIME' mereka bersama anak-anak....saya yakin usaha 'MEMANUSIAKAN MANUSIA' akan lebih berkesan.
2. Terfikir juga bagaimana rakan-rakan yang ada 2 'rumah'? Pastinya saya TABIK mereka kerana MAMPU berbuat begitu!

KELATE MEME GOMO!!!

Meriah sungguh rumah saya malam ini. Abang saya dan tiga anaknya berkelah di rumah saya. Berbekalkan meehon goreng dan keropok kami berteriak dan bersorak bersama. Berbaloi sungguh berkumpul malam ini. Memang jarang sangat kami dapat berkumpul sambil menonton bolasepak!
Akhirnya naluri saya tepat kali ini. (Seperti yang saya tulis petang tadi...).
Kelantan berjaya juga mencipta sejarah menjadi juara Piala Malaysia setelah 3 kali menjadi naib juara sepanjang sejarah Piala Malaysia. Teringat sms seorang kawan sejurus selepas Kelantan menang, "SUNGGUH BANGGA JADI OGHE KELATE MALAM NI! YAHOOO!"
CATATAN:
1. Menteri Besar Kelantan meluluskan cuti umum esok (31.10.2010) sempena kemenangan pasukan Kelantan.
2. Seronok kerana menyaksikan Stadium Bukit Jalil berjaya 'MEMANUSIAKAN MANUSIA' yang bergelar penonton untuk menikmati perlawanan bola sepak tanpa unsur-unsur keganasan dan kekacauan.
3. KECERGASAN FIZIKAL DAN KECERDASAN OTAK menjadi syarat utama untuk mencapai kejayaan dalam apa-apa bidang sekalipun.

KAKI GADUH!

Thursday, October 28, 2010
Tahniah kepada pasukan 'Red Warrior' yang berjaya sekali lagi ke final Piala Malaysia!
Sebagai rakyat Kelantan jati saya berasa bangga dengan kejayaan ini. Firasat saya kuat menyatakan bahawa kali ini Piala Malaysia akan di bawa pulang ke Tanah Serendah Sekebun Bunga ini. InsyaAllah. Teringat masa belajar di Pulau Pinang lewat 80an dulu. Tebal telinga dan geram rasa bila sering dilabel sebagai kaki gaduh dalam apa-apa acara sukan pun! Itulah label stereotaip yang menjadi sebutan rakan-rakan dari negeri lain. Sedangkan sepanjang 3 tahun di Pulau Mutiara tak pernah pun bergaduh dalam perlawanan bola sepak atau hoki yang saya terlibat.
Secara peribadi sedih juga bila ada segelintir penyokong sebuah negeri baru-baru ini mengadakan demonstrasi. Bantahan kononnya bimbang dengan 'keganasan' yang akan dilakukan oleh penyokong pasukan Kelantan. Seolah-oleh hanya penyokong pasukan Kelantan sahaja yang 'ganas' atau suka melakukan kekacauan! Baru-baru ini berlaku kekacauan dan keganasan yang berlaku dalam perlawanan antara dua buah negeri. Yang pastinya bukan melibatkan Negeri Kelantan! Pada saya itu contoh mudah dan nyata bahawa bukan penyokong Kelantan asyik buat kacau. Mana-mana penyokong dari negeri manapun pasti akan melakukan 'kekacauan' jika mereka hilang pertimbangan akal dan emosi!
CATATAN:
1. Malam ini (30 Oktober 2010) Kelantan akan bertemu Negeri Sembilan dalam final Piala Malaysia.
2. Naluri saya kuat dan yakin Kelantan akan mencipta sejarah membawa pulang Piala Malaysia ke bumi Kelantan.
3. Seorang tua pernah berkata kepada saya, 'Oghe Kelate ni susoh nok kuca oghe. Tapi bilo oghe kuca dio, meme dio tak laghi. Oghe Kelate ni, kalu dio jjuruh, jjuruh sengoti.. kalu dio mula jahat, dio jahat sengoti!'. (Itu kata orang tua itu kepada saya. Sejauh mana kebenarannya, anda lihat dan nilailah sendiri....)

PETRA 1 KU.....

Wednesday, October 27, 2010
Diundang untuk hadir bersama dalam Malam Anugerah Juara Ko Kurikulum di SMK SYP1 merupakan satu penghormatan. Saya dengan dua emosi. Hadir kerana melaksanakan tanggungjawab sebagai 'Penghulu Sekolah' dan hadir kerana hati saya memang teruja untuk hadir. Majlis dimulakan dengan pertunjukan bunga api skala besar sebagai gimik sambutan YABrs Pengarah Pelajaran Kelantan (walaupun Pengarah tiba awal sebelum Urusetia dan pelajar bersedia!). Majlis anugerah ini diadakan sebagai satu usaha pengikhtirafan kepada pencapaian para pelajar dalam bidang ko kurikulum.
Aturcara majlis penuh meriah dan diselangi dengan persembahan koir Petra 1 bertaraf nasional memang berjaya menarik hati Pengarah dan saya juga. Rasa bagaikan berada di sekolah-sekolah Convent atau asrama penuh. Itulah SYP ku.....
Saya dapat lihat betapa bangga para pelajar yang menerima anugerah pencapaian masing-masing. Penuh semangat dengan wajah berbunga tampil satu persatu menerima anugerah daripada Pengarah Pelajaran Kelantan.
CATATAN:
1. Benarlah kata-kata, 'Sekolah berkualiti dan diterajui oleh Pengetua/pimpinan berkualiti hasilnya adalah KUALITI. Sebaliknya sekolah berkualiti tetapi diterajui oleh pimpinan yang tidak berkualiti hasilnya adalah KEGAGALAN YANG PASTI!'
2. Satu perkara yang BENAR, SETIAP MANUSIA INGIN DIHARGAI dan manusia yang TAHU MENGHARGAI akan SENTIASA DIHORMATI!
NOSTALGIA:
- Saya tersenyum sendiri terkenangkan warna warni yang telah pernah saya lakarkan di sekolah ini... ya, sampai kini saya BANGGA menjadi sebahagian daripada anak didik mu, PETRA ku......TERIMA KASIH.
p.s. Rugi kamu tidak hadir, Yan....

'NASI LEMAK 50 SEN'

Tuesday, October 26, 2010
Saya bukanlah anti kepada filem-filem Melayu keluaran Malaysia. Malah saya amat kagum dengan filem-filem hebat keluaran Malaysia yang berkualiti. Filem-filem yang membawa tema kemanusiaan dan kasih sayang seperti Papadom, Setem, Cinta dan beberapa filem lain lagi. Malah filem cinta bercorak Islamik hasil adaptasi novel 'box-office' Indonesia, 'KETIKA CINTA BERTASBIH' juga saya minati dan ikuti. Cerita-cerita yang diketengahkan dalam filem-filem tersebut memang sarat dengan nilai-nilai moral, kasih sayang dan cinta yang berlandaskan kepada agama.
Semalam saya terkejut apabila anak saya yang berusia 10 tahun bercerita tentang bahan gurauan di sekolahnya. Gurauan yang berbaur 'biru' yang hangat diulang tayang di kaca tv sebagai promosi sebuah filem Melayu keluaran Malaysia! (Watak seorang remaja lelaki menghamburkan kata-kata menghina seorang gadis). Dialog yang tak berakhlak yang memperlekehkan bahagian dada si gadis! Mungkin sahaja filem itu tidaklah hebat dari sudut kualitinya maka sengaja dipilih babak tersebut untuk menarik penonton terutamanya remaja. Hasil tayangan promo yang berulang-ulang setiap hari, tidak hairanlah ia menjadi bahan gurauan di kalangan kanak-kanak. Benak saya berfikir, kepupusan idea atau kehabisan modal berkaryakah pembikin filem di Malaysia ini?
CATATAN:
1. Saya teringat usaha-usaha kerajaan menggubal bermacam-macam sukatan pelajaran berkaitan nilai-nilai murni di sekolah.
2. Di sekolah para guru mendidik pelajar segala macam ilmu dan nilai-nilai yang baik tetapi televisyen mengajar mereka sebaliknya.
3. Agama mengajar tentang akhlak serta cara berpakaian menutup aurat tetapi televisyen mengajar supaya tidak peduli tentang akhlak dan mendedahkan aurat.
4. Gusar sungguh hati saya... kerana di saat segelintir insan bertungkus lumus berusaha untuk 'MEMANUSIAKAN MANUSIA'; pada masa sama lebih ramai manusia yang mahu 'MENGHAIWANKAN MANUSIA'!

NAFSU + CINTA MONYET !

Monday, October 25, 2010
Bermacam emosi bercampur dalam benak saya. Terpaksa berhadapan dengan seorang ibu beranak 10 dan salah seorang anak gadisnya (pelajar menengah rendah). Rasa marah, sedih dan kecewa bercampur baur. Si ibu membawa anak gadis yang telah dibuang sekolah kerana ditangkap khalwat! Si ibu membawa anaknya untuk merayu supaya diterima semula di sekolah. Kasih seorang ibu yang sanggup menebalkan muka. Terpaksa bertemu dengan semua orang, ke hulu dan ke hilir. Harapan agar anaknya diterima semula ke alam persekolahan.
Malangnya kes serius ini bukan di bawah bidang kuasa pengurusan daerah. Si ibu terpaksa berjumpa pihak pengurusan peringkat negeri untuk membuat rayuan persekolahan anaknya.
Saya melihat dari awal pertemuan hanya si ibu yang kelihatan bersungguh-sungguh. Pelajar 14 tahun itu hanya tersenyum dengan berseluar jeans dan t-shirt ketat. Rasa sedih menyelinap dalam sanubari saya. Betapa gadis ini bagaikan tidak mengerti tentang maruah dan harga diri dan juga maruah ibubapa... Sayangnya saya tidak sempat untuk mengadakan sesi lanjutan dengan pelajar ini.
CATATAN:
1. Barangkali inilah yang dikatakan 'CINTA MONYET'.....
2. Saya teringat lirik lagu Eddy Silitonga (Indonesia) di awal tahun 80an..  "Duhai apakah gerangan budi balasan.. bagi insan melahirkan membesarkan"...
3. Wahai para remaja, adakah ini balasan atas kasih sayang ibubapa terhadap anda? Fikir-fikirkanlah....

BUKAN HARRY PORTER

Sunday, October 24, 2010
Semalam saya berjumpa dengan seorang yang pernah menjadi klien dalam sesi kaunseling. Masih segar dalam ingatan saya tentang kes klien ini. Beliau menemui saya untuk berbincang tentang anak lelakinya yang baru berusia 15 tahun. Anaknya bersikap panas baran dan suka memberontak kerana menentang perkahwinan si ibu. Kes klien ini telah saya tulis dalam blog beberapa bulan lepas.
Saya bertanya khabar anaknya. "Emmm, tak tahulah cikgu.. lepas saya bawa jumpa cikgu dulu, dia mengamuk sakan di rumah. Dia marah kerana saya bercerita kesnya kepada cikgu. Teruk saya dimarahnya. Sebulan lepas tu, dia berubah menjadi tenang dan baik. Saya suka sangat. Tetapi sekarang sikap panas barannya timbul balik!", terang ibu ini dengan panjang lebar. Saya katakan bahawa saya sanggup berjumpa semula dengan anaknya.
Saya percaya semua orang yang terlibat dalam kerjaya 'penolong' ini akan bertemu dengan situasi yang sama. Kadang-kadang ekspektasi manusia terlalu tinggi. Mereka lupa bukan mudah ingin merubah sikap dan pegangan manusia. Seandainya mereka faham tentang psikologi remaja, faham tentang konsep perubahan manusia... tentu saja mereka akan faham tentang limitasi kemampuan insan-insan yang bergelar 'kaunselor'. Remaja dan kanak-kanak memang terkenal dengan sikap 'yoyo'nya. Mereka boleh berubah pada bila-bila masa sahaja. Sekejap mereka ok, dan sekejap mereka ko! Remaja yang sentiasa o.k. sepenuhnya jarang ditemui. Jika ada, tentu mereka ditunjangi oleh sokongan ibubapa yang berkualiti dan komited.
CATATAN :
1. Seorang kaunselor BUKAN HARRY POTTER yang mempunyai TONGKAT SAKTI yang mampu merubah seseorang dalam sekelip mata.
2. 'MEMANUSIAKAN MANUSIA' adalah suatu proses panjang dan memerlukan kesabaran yang sangat tinggi.
3. Lihat betapa sedihnya Nabi S.A.W. kerana tidak berjaya mengIslamkan Abu Talib, bapa saudara tercinta!
4. Siapalah kita mahu mengubah manusia KECUALI dengan HIDAYAH ALLAH jua....

DARI ALLAH KITA DATANG....

Saturday, October 23, 2010
Tersentuh hati saya bila menerima sms dari Yan (Kaunselor SMKSYP1)... menyampaikan satu berita duka. Berita tentang kematian seorang pelajar tingkatan lima SMKSYP1 dalam kemalangan jalanraya. Pelajar ini menunggang motosikal. Tidak perlu saya sebutkan tentang statistik kematian remaja dalam kemalangan motosikal. Info berkenaan sering terpampang di dada akhbar dan media cetak yang lain. Akal fikir saya berkata, sayang sungguh aset negara ini terkorban begitu sahaja. Bukan menolak ketentuan Ilahi tentang ajal maut. Kematian akan tiba jua walau bila dan di mana sekali pun.
Tidak dapat saya bayangkan bagaimana perasaan ibubapa dan keluarga arwah pelajar ini. Sepatutnya pelajar ini mendudukki peperiksaan SPM hujung tahun ini. Menjunjung harapan ibubapa dan keluarganya untuk berjaya dan mungkin merubah nasib keluarga. Kematian ini hanya satu daripada puluhan kematian yang melibatkan pelajar (remaja). Impak kejadian ini pastinya akan melibatkan banyak pihak. Justeru, kita seharusnya berfikir tentang sebab musababnya. Memikirkan sebab dan musabab sesuatu kejadian mungkin dapat membantu kita untuk mengelakkan sesuatu musibah itu terus berlaku.
Catatan :
1. Sepatutnya arwah mengikuti ceramah motivasi 'Pecutan Akhir' yang akan saya kendalikan pada hari ini (24.10.2010-Ahad)... al-Fatihah.

THE IRON LADY AND ME....

Friday, October 22, 2010
Bertemu secara dekat dengan Datuk Dr. Maznah meninggalkan nostalgia yang amat bermakna buat diri saya. Menjadi seorang daripada ratusan peserta seminar yang berjaya bercakap secara langsung dengannya memang membanggakan. Sempat juga menghulurkan buku motivasi tulisannya untuk ditandatangani. Kata-kata orang berjaya seperti beliau meninggalkan kesan yang hebat.
"GET FIRED AND WORK WITH ME! I NEED THE PEOPLE LIKE U ALL.. MOTIVATORS, COUNSELORS.. COME AND WORK WITH ME!"
Begitulah kata-kata cabaran daripada Datuk Dr. Maznah kepada semua peserta seminar. Malah ketika saya berhadapan dengannya, saya pun dilontarkan kata-kata yang sama.
"Sapa nama U?". "Tengku Abdullah dari Kelantan". "Oooo... ok, mau tak kerja dengan saya? Kalau sekarang U dapat RM 3000 sebulan, sama-sama kerja dan join bisnes dengan saya.. U akan dapat RM3000 sehari!!!".. Come on!".
Fuhhhhhh! Terdiam tak terkata apa-apa saya di hadapan tetamu VIP yang ada di sebelahnya.
Catatan:
1. ORANG YANG BERJAYA, SEMUA KATA-KATANYA MENJADI MUTIARA.
2. ORANG YANG BERJAYA, SEMUA KATA-KATANYA DIDENGARI.
3. ORANG YANG BERJAYA, SANGAT YAKIN DENGAN KATA-KATANYA.
4. ORANG YANG BERJAYA, TIDAK ANGKUH DALAM BUDI BICARANYA.

DI SEBALIK DATUK DR. MAZNAH HAMID (THE IRON LADY)

Thursday, October 21, 2010
Berlatar belakang ijazah perakaunan, wanita besi ini memulakan kerjaya sebagai guru tusyen. Mengajar tusyen Bahasa Inggeris kepada anak-anak pegawai kedutaan asing dan ahli-ahli korporat asing di KL. Beliau melihat sendiri kemewahan dan kekayaan mereka. Rupa-rupanya dia tidak melihat sahaja tetapi jauh di sudut hatinya ada api yang membakar!
Tercabar dengan kata-kata salah seorang dari mereka, "Kamu tidak akan mampu mendapat kekayaan seperti saya jika hanya bekerja makan gaji!".
Saat itu hatinya terbakar marak. Sesuatu mesti dilakukan. "Aku mesti 're-form diriku!". Maka hasrat itu dinyatakan kepada suaminya. Terkejut besar si suami bila mendengar bisnes yang ingin diceburi oleh isteri tercinta. "Saya nak mulakan bisnes 'SECURITY GUARD'.". Bagaimana mungkin seorang wanita mahu menceburkan diri dalam bisnes yang sangat mustahil untuk seorang wanita ketika itu. Lagipun belum ada orang yang berani memulakan bisnes yang penuh risiko itu. Itulah permulaannya bagi 'THE IRON LADY OF MALAYSIA' ini!
Catatan:
1. Hari ini Datuk Maznah merupakan satu-satunya wanita yang mengusahakan bisnes pengawal keselamatan dan senjata di Malaysia dan di Asia.
2. Satu perkara paling menarik dalam cerita 'Iron Lady' ini ialah MOTIVASI yang ada dalam dirinya.
3. MOTIVASI yang menjadi penggerak manusia untuk terus hidup dan menghidupkan mimpi.

'THE IRON LADY OF MALAYSIA'

Wednesday, October 20, 2010
Dua minggu lepas saya berpeluang mengikuti satu ceramah yang dikendalikan oleh Wanita Besi Malaysia. Seminar Psikologi JPA di PICC , Putrajaya itu dihadiri oleh pengamal psikologi dan kaunseling dari seluruh Malaysia. Berpeluang bertemu muka dan bercakap terus dengan wanita ini memang membuat saya teruja. Sebelum ini saya hanya mengenali beliau melalui tulisan dan berita-berita daripada akhbar dan majalah cuma.
Kesempatan bertemu secara dekat saya gunakan sepenuhnya. Sempat juga membeli sebuah buku bertema motivasi karya beliau. Mendengar suaranya, ucapannya, kejayaannya... hati saya mengakui, dia memang layak diberi gelaran 'THE IRON LADY OF MALAYSIA"!

DARI ALLAH KITA DATANG...

Semalam saya terima sms memaklumkan tentang kematian seorang guru. Setelah itu saya mendapat maklumat selanjutnya tentang guru itu. Berusia awal 30 an. Mempunyai dua orang anak yang masih kecil. Secara peribadi terasa hiba dengan kematian guru ini. Hiba bukan kerana kepergiannya bertemu Yang Maha Pencipta. Hiba kerana kematiannya disebabkan derita kanser payudara (Pembunuh nombor wahid dewasa ini). Hiba kerana Allahyarham meninggalkan dua orang anak yang masih kecil. Hiba kerana negara kehilangan seorang pendidik yang berkualiti dan masih muda.
CATATAN:
1. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat dan meletakkan ruh Allahyarhamah bersama golongan yang beriman di syurga.

PELAN 'STUDY SMART'

Tuesday, October 19, 2010
1. TETAPKAN JADUAL BELAJAR DENGAN WAKTU YANG KONSISTEN
2. 4-6 JAM UNTUK MASA MENTELAAH/ BELAJAR.
3. USAHAKAN ANDA DAPAT BELAJAR 2/3 JAM (WAKTU PETANG) & 2/3 JAM (WAKTU MALAM).
4. USAHAKAN MASA TAMBAHAN 1/2 JAM SEBELUM SUBUH ATAU AWAL PAGI.
5. PASTIKAN HARI MINGGU ANDA TIDAK DISIA-SIAKAN.
6. BELAJAR LAH 2/3 JAM WAKTU PAGI, 2/3 JAM PETANG & 2/3 MALAM (HARI MINGGU)
CATATAN:
1. Hari minggu adalah waktu yang sangat penting untuk di sia-siakan.
2. Hari minggu adalah waktu yang sangat sesuai untuk 'cover' atau menampung waktu-waktu lain yang terlepas.
3. KURANGKAN TIDUR DI HARI MINGGUDAN LEBIHKAN WAKTU BELAJAR.
4. INSYAALLAH, JIKA ANDA KURANG TIDUR UNTUK BELAJAR SEKARANG...ANDA AKAN SENYUM LEBAR DI TAHUN HADAPAN!

PELAN 'STUDY SMART'

Belajar di bulan terakhir sebelum menghadapi peperiksaan memang memberi tekanan kepada para pelajar. Tidak kira anda seorang calon SPM atau pelajar pra universiti atau tingkatan enam. Tekanan atau stress yang dihadapi mungkin menyebabkan pelajar menjadi buntu dan akhir serba tidak kena dalam tindakannya. Biasanya simptom ini kepada pelajar yang mungkin 'relax' di awal tahun! Walau bagaimanapun simptom ini adalah normal kepada calon-calon peperiksaan. Cuma barangkali kesannya akan lebih memeritkan kepada pelajar-pelajar yang suka belajar 'last minute'.
Saya selalu berpesan kepada para pelajar yang saya temui; JIKA REMAJA PALESTIN BERJUANG HINGGA KE TITISAN DARAH YANG TERAKHIR MEMPERTAHANKAN AGAMA DAN DAN TANAH AIR MEREKA... PELAJAR MALAYSIA HANYA PERLU BERJUANG HINGGA KE TITISAN DAKWAT TERAKHIR DALAM PEPERIKSAAN!!
Maksud saya, para pelajar tidak sepatutnya hilang motivasi atau berputus asa di saat akhir ini.
Dua ungkapan Inggeris yang saya kongsikan di sini dengan harapan anda faham apa yang saya maksudkan.
1. 'IT'S NEVER LATE TO LEARN'
2. 'DO SOMETHING IS BETTER THAN DO NOTHING'.
FIKIR-FIKIRKAN LAH....

STUDY HARD VS STUDY SMART

Monday, October 18, 2010
Bulan Oktober ini menyaksikan ramai pelajar tingkatan lima 'stress'. SMS yang saya terima dari seorang calon SPM membuktikan situasi ini benar berlaku. Saya tanya mengapa rasa tertekan atau stress? Rasa tak cukup masa, katanya. Saya tanya lagi bagaimana jadual belajarnya. Belajar ikut rasa. 'Bila rasa nak study, saya study la. Subjek pulak, saya ikut hati jugak...tapi lepas study saya semakin risau pulak'.
Catatan:
1. Pendapat saya, pelajar ini mungkin 'study hard'.. tapi dia mungkin tidak 'study smart'.
2. 'Study smart' tidak semestinya anda tidak tidur semalaman semata-mata keran abelajar atau mentelaah.
3. 'Study smart': Pelajar hanya perlu merancang dan memperuntukkan masa-masa tertentu untuk satu-satu subjek.
4.'Study smart' : Pelajar perlu mempunyai perincian masa yang hendak ditumpukan kepada subjek-subjek tertentu.  

YANG TUMBUH TAK SAMA....

Sunday, October 17, 2010
Semalam saya menulis tentang rakan kaunselor yang telah bertukar ke daerah KB.
Hari ini rakan kaunselor itu datang berkunjung ke bilik saya di PPD! Subhanalllah! Yang pasti rakan kaunselor ini tidak membaca blog saya bahkan tidak tahu pun yang saya menulis di blog!
Barangkali kuasa telepati anugerah Allah berlaku di sini tanpa sedar. Barangkali gelombang otak saya ketika menulis semalam kongruen dengan gelombang otaknya... maka dia terdorong untuk mengunjungi saya hari ini. Walau apa pun alasannya, saya rasa bangga kerana dikunjungi olehnya. Memang benarlah kata orang, PENGHARGAAN bukan hakmilik tetapi ANUGERAH. Tanda menghormati bukan semestinya memberikan material. Ucapan terima kasih adalah tanda penghormatan yang sangat tinggi nilainya.
Catatan:
1. Saya katakan kepada Linda bahawa bagi orang bekerja, di mana-mana pun sama. Yang bekerja akan tetap bekerja.
2. Terima kasih Linda.

YANG PATAH AKAN TUMBUH...

Saturday, October 16, 2010
Seorang demi seorang rakan kaunselor/guru kaunseling bertukar dan berhijrah keluar dari daerah ini. Kadang-kadang terfikir juga, dua daerah KK dan GM ini cuma daerah-daerah 'PUSAT LATIHAN' dalam semua bidang pengajian.
Saya teringat seorang kaunselor yang naif dan gemuruh sangat bila diminta untuk memberikan ceramah motivasi kepada pelajar. Lalu rakan kaunselor berkenaan datang berjumpa dengan saya untuk 'menuntut ilmu' daripada saya. Bukan kerana saya yang terbaik tetapi mungkin kerana saya di antara yang 'senior' di daerah ini. Pada saya, mendidik, berkongsi kemahiran dan pengalaman akan lebih memantapkan lagi diri sendiri. Justeru, tanpa lokek, saya berikan semua bahan-bahan... saya kongsikan segala pengalaman dengan beliau. Alhamdulillah, daripada seorang kaunselor yang berdarah gemuruh bercakap di khalayak, beliau kini mampu memberikan ceramah yang berapi-api! Sayangnya, setahun selepas itu, beliau bertukar ke daerah KB. 
Catatan:
1. Bulan lepas PPD KK kehilangan dua lagi rakan kaunselor yang hebat. Semoga Linda dan Wan meneruskan kehebatan mereka walau di mana sahaja berada.
2. Dan saya merasa bangga kerana menjadi sebahagian daripada usaha-usaha mencungkil bakat dan kehebatan mereka.
3. SELAMAT BERTUGAS DI TEMPAT BARU DENGAN PENUH DEDIKASI. 

CINTA : SUATU PANDANGAN (Sambungan)

Pada waktu Allah SWT menciptakan Hawa untuk menjadi isteri Adam, Ia menetapkan satu kriteria yang khusus dan ini hanya ada pada penciptaan isteri manusia, yakni, "Aku akan menjadikan penolong baginya, yang sepadan dengan dia." (Kejadian 2:18). Kata "sepadan" dapat kita ganti dengan kata "cocok." Allah tidak hanya menciptakan seorang wanita buat Adam yang dapat dicintainya, Dia sengaja menciptakan seorang wanita yang serasi untuk Adam. Allah tahu bahawa untuk dua manusia bisa hidup bersama, mereka harus serasi. Menarik sekali bahwa Allah tidak mengagungkan cinta (romantik) sebagai prasyarat pernikahan. Allah SWT sudah memberi kita petunjuk bahwa yang terpenting bagi suami dan istri adalah keserasian. Ironinya adalah, kita telah menggeser hal esensial yang Allah tunjukkan kepada kita dengan cara mengganti kata "serasi" dengan kata "cinta." Allah menginginkan yang terbaik bagi kita; itulah sebabnya Ia telah menyingkapkan hikmat-Nya kepada kita. Sudah tentu cinta penting, namun yang terlebih penting ialah, apakah ia serasi denganku? Saya teringat ucapan Norman Wright, seorang pakar keluarga di Amerika Syarikat, yang mengeluhkan bahawa dewasa ini orang lebih banyak mencurahkan waktu untuk menyiapkan diri memperoleh ijazah dibanding dengan mempersiapkan diri untuk memilih pasangan hidup. Saya kira kita telah termakan oleh motto, "Cinta adalah segalanya," dan melupakan fakta di lapangan bahawa cinta (romantik) bukan segalanya.
Jadi, kesimpulannya ialah, cintailah yang serasi dengan kita!
Catatan :
1. Bahan ini saya petik daripada seorang penulis bebas yang mempunyai pandangan tersendiri tentang CINTA.
2. Saya dan pembaca tidak semestinya 'terikat' dengan pandangannya. Namun pada saya, pandangannya tentang CINTA sangat menarik untuk kita sama-sama renungi.

USAHA DAN TAWAKAL

Tuesday, October 12, 2010
PMR yang berakhir pastinya meninggalkan kegembiraan kepada pelajar-pelajar tingkatan tiga. Tidak kurang juga yang berdebar dan risau tentang keputusan yang bakal tiba di penghujung tahun ini.
Saya sering tegaskan kepada pelajar dalam majlis ceramah yang saya kendalikan; bahawa pelajar sepatutnya belajar bersungguh-sungguh, berusaha dan berdoa. Apa yang perlu diberikan perhatian kini ialah berserahlah kepada ketentuan Allah SWT atau BERTAWAKAL kepadaNya. Biar apapun keputusannya nanti ianya adalah ketentuan Allah SWT. Janggal dan sangat tidak kena pada tempatnya jika para pelajar mengatakan bahawa mereka kini bertawakal kepada Allah, sedangkan sebelum ini mereka tidak belajar bersungguh-sungguh!
Catatan:
1. Konsep bertawakal kepada Allah SWT ialah ikhtiar terakhir insan setelah berusaha bersungguh-sungguh sebelum itu.
2. Tawakal penting kerana sebagai insan, pergantungan dan doa terakhhir kita adalah kepada Allah SWT.

BILA BERBICARA TENTANG CINTA...

Sunday, October 10, 2010
Tersenyum sendiri saya bila ada pembaca/pemantau blog yang bertanya, "Adakah cikgu jatuh cinta?"... Barangkali peminat setia blog santai ini agaknya. Walau apapun tanggapan anda, saya ucapkan terima kasih. Pada saya, respon anda itu menunjukkan bahan dalam blog ini masih diikuti. Memang sejak saya mula menulis topik CINTA ini, saya sering ditanya, "mengapa lambat update blog?", "Bila nak sambung cerita dalam blog?". Rupa-rupanya isu CINTA merupakan isu global yang suka diikuti. Saya risau juga, blog saya nanti dilabel sebagai sebuah 'BLOG CINTA' . Berfikir tentang itu, saya fikir cukuplah sekadar itu. Saya tidak akan 'melupakan' terus topik ini, tetapi saya akan menyentuh secara sampingan dalam tulisan selepas ini... kerana saya yakin CINTA amat PENTING dalam usaha 'MEMANUSIAKAN MANUSIA'.
Anda patut bersetuju dengan saya.

CINTA... SUATU PANDANGAN.

Beza antara cinta dan serasi
Pengarang : zaleo 

Salah satu alasan paling umum mengapa kita berkahwin adalah kerana cinta – cinta romantik, bukan cinta monyet, yang biasa kita alami sebagai permulaan ke perkahwinan. Cintalah yang meyakinkan kita untuk melangkah bersama masuk ke mahligai perkahwinan. Masalahnya adalah, walaupun cinta merupakan suatu daya yang sangat kuat untuk menarik dua individu, namun ia tidak cukup kuat untuk mengeratkan kedua-duanya. Semakin hari semakin bertambah keyakinan saya bahawa yang diperlukan untuk mengeratkan kita dengan pasangan kita adalah keserasian, bukan cinta.
Cinta biasanya mengandungi satu komponen yang umum iaitu rasa suka. Rasa suka muncul kerana kita menemukan yang kita sukai pada dirinya. serasi dan suka bukan identiti namun sering dianggap demikian. Tatkala kita mencintai seseorang, sebenarnya kita terlebih dahulu menyukainya, dalam pengertian kita suka dengan ciri tertentu pada dirinya. Rasa suka yang besar (yang akhirnya berpuncak pada cinta) akan menutupi rasa tidak suka yang lebih kecil dan -- ini yang penting -- cenderung menghalau ketidakserasian yang ada di antara kita.
Di sinilah terletak masalah awal. Ini yang sering kali terjadi dalam masa bercinta. Rasa suka meniup pergi ketidakserasian di antara kita, bahkan pada akhirnya kita beranggapan atau berkhayal bahawa rasa suka itu identiti dengan keserasian. Kita kadang berfikir atau berharap, "Saya menyukainya, bererti saya (akan) serasi dengannya." Salah besar! Suka tidak sama dengan serasi; cinta tidak berkaitan dengan serasi! Oleh itu, kita mungkin mencintai seseorang yang sama sekali tidak serasi dengan kita.
Bersambung.........

EPISOD CINTA 2

Sunday, October 3, 2010
Kisah ke dua ini sebuah kisah benar yang diceritakan oleh seorang ibu (klien). Ibu ini ada seorang anak lelaki yang baru belajar di tingkatan lima. Anak lelaki berkenaan merupakan anak ke dua dalam keluarga. Seorang anak yang bijak ( 6 A dalam PMR). Berbudi pekerti yang baik dan sangat hormat kepada ibunya. Sehinggalah pada satu hari, ibu ini dikejutkan dengan kata-kata si anak....
Anak : "Ma, saya nak bertunang dengan M. Mak dia pun dah setuju supaya kami bertunang!"
Bagaikan satu tamparan kencang hinggap pipi si ibu....
Ibu : "Nak tunang macam mana, baru nak periksa SPM hujung tahun ni?!!"
Anak : "Boleh. Mak M pun setuju dah.. macam manapun saya kena bertunang dengan anaknya!!"
Menurut ibu pelajar ini, ibu si gadis yang kuat mendesak dan memujuk supaya di segerakan pertunangan. Alasannya ialah kerana pelajar ini sudah lama berkawan rapat dengan si gadis. Kononnya keluarga si gadis rasa malu dengan masyarakat. Rupa-rupanya si gadis telah berhenti sekolah sejak tingkatan 4.
"Dah seminggu anak saya tidak pulang ke rumah. Terkejut besar saya bila diberitahu anak saya tinggal dan bermalam di rumah keluarga gadis itu! Susah hati betul saya di buatnya.", terang si ibu. 
Wow!! Inikah yang namakan cinta? Macam dalam filem Hindustan. Plot cerita yang cukup stereotaip. Sang jejaka bertemu dengan gadis 3 hari tetapi sudah tega (sanggup) untuk meninggalkan keluarga demi sebuah CINTA! Tega melupakan kasih dan sayang ibubapa kerana cinta pandang pertama, kononnya. Adakah begitu kuat desakan naluri CINTA atau desakan nafsu semata-mata?
Catatan :
1. Segelintir pelajar (remaja) sudah tidak waras untuk mengenal antara cinta dan nafsu.
2. Tidak tercapai oleh akal bila CINTA 3 hari boleh melenyapkan CINTA dan KASIH SAYANG ibubapa selama berbelas tahun!

EPISOD CINTA 1

"Saya tak ada tempat lain nak ngadu, cikgu.. Saya pun tak tahu sebab apa benda macam ni berlaku kepada saya. Saya nak sungguh ko dia. Bila kena tangkap macam ni, saya rasa malu sangat. Saya takut sungguh. Saya dah rayu dah ke Pejabat Agama supaya perkara ni tak di maklum kepada mak dan ayah saya!"
Petikan kata-kata pelajar tingkatan enam atas itu menjadi intro EPISOD CINTA 1. Sebenarnya pelajar ini ialah seorang gadis kampung yang tinggal di asrama. Cita-citanya tinggi untuk melanjutkan pelajarannya hingga ke menara gading. Kebaikan seorang lelaki yang bekerja sebagai buruh pembinaan bangunan sekolah menyebabkan hati pelajar ini cair. Saya tidak berniat untuk bercerita panjang tentang percintaan pelajar ini dengan buruh binaan ini.
Kesudahan cerita cinta ini yang akan saya kongsikan dengan para pembaca. Ketika sedang hanyut di buai asmara, akhirnya pelajar ini ditangkap basah oleh Penguat Kuasa Agama. Maka menangis tak berlagulah si gadis ini. Mengambil kira rayuan di buat, pelajar ini akhirnya bertukar ke daerah lain. Buruh binaan itu dikenakan denda. Beliau membayar denda berkenaan dengan dibantu oleh isterinya yang beranak empat...
Persoalannya di sini, benarkah ini yang dinamakan cinta? Adakah gadis ini benar-benar cinta kepada sang lelaki itu atas nama cinta? Dan adakah sang lelaki beranak empat itu benar-benar mencintai si gadis atau hanya kerana nafsu semata-mata?
Catatan:
1. Pelajar ini berjaya ke universiti akhirnya. Tetapi setahun kemudian saya mendapat kabar dia gagal dalam peperiksaan ekoran 'sibuk' bercinta dengan salah seorang pengawal keselamatan di universiti berkenaan!
2. Wahai anak-anak gadis ku... perlukah ayah mengulas satu persatu kisah ini? Rasanya tidak perlu kerana ayah tahu kamu milikki ilmu dan iman untuk memikirkannya. 

PMR IS COMING !!!!

Friday, October 1, 2010
DI UCAPKAN SELAMAT MENDUDUKKI PEPERIKSAAN PENILAIAN MENENGAH RENDAH (PMR) KEPADA PELAJAR-PELAJAR TINGKATAN 3 SELURUH NEGARA. KHASNYA KEPADA PELAJAR TINGKATAN 3 SEKOLAH-SEKOLAH DALAM PPD KUALA KRAI, KELANTAN.