DALAM MANUSIA ADA HAIWAN...

Monday, June 28, 2010
Minggu lepas saya mewakili jabatan untuk menghadiri satu seminar yang dianjurkan oleh Jabatan Kesihatan. Para peserta seminar terdiri daripada anggota-anggota jabatan kerajaan di seluruh Negeri Kelantan.
'Seminar Pengendalian Kes-kes Penderaan dan Jenayah Seksual'. Banyak sungguh ilmu dan imput terkini yang saya perolehi. Pada masa sama, rasa gerun dan kecut perut juga bila mendengar pendedahan-pendedahan statistik jenayah yang banyak melibatkan institusi keluarga dan kanak-kanak. Isteri yang didera sehingga patah tangan, anak yang didera hingga seluruh tubuh luka dan lebam teruk. Pembentang dari JAHEIK menggamatkan dewan ketika berkongsi kes yang benar-benar berlaku. Seorang suami telah didera oleh isteri menggunakan batang kayu, buluh dan tali pinggang!!! Anda tak percaya? Percayalah kerana sekarang ini ia benar-benar berlaku.
Satu lagi hasil dapatan mengejutkan yang turut dibentang ialah salah seorang pembentang amat mengejutkan saya. Dalam satu kursus bina sahsiah yang dikendalikan, seramai 70 daripada 100 remaja yang menjadi peserta mengakui pernah melakukan zina! Memang menakutkan. Lalu bertanyalah pelbagai pihak, siapakah yang harus dipersalahkan? Pada saya, amat jelas sekarang kita harus kembali membuat muhasabah. Bermuhasabah pada diri sebagai ibubapa, sebagai jiran dan sebagai ahli masyarakat.
Istilah  jangan jaga tepi kain orang, mungkin perlu dikaji secara berbeza kini.

PIALA DUNIA

Sunday, June 27, 2010
Seluruh dunia sedang 'mabuk' bolasepak.. Topik paling utama di merata tempat ialah tentang bolasepak. Di pejabat, di sekolah, di pasar , di restoran, di kedai kopi, lebih-lebih lagi di kopitiam hingar bingar... semuanya bercakap tentang bolasepak piala dunia yang sedang berlangsung sekarang.
Nasib baik anak sulung saya perempuan dan tinggal di asrama MRSM. Di sana khabarnya TV hanya ada di dewan makan sahaja. Jadi peluang untuk menonton amat terbatas le agaknya.
Rupa-rupanya demam bolasepak piala dunia kini tetap juga melanda rumah saya. Anak lelaki saya yang berusia 8 tahun pun turut berjaga hingga 2 pagi semata-mata nak menonton perlawanan bolasepak. Minggu lepas mengamuk sakan dengan Umminya supaya dibelikan sepasang jersi pasukan Sepanyol! Aduhhhhh.
Hari ini tak dapat hadir ke sekolah kerana demam. Fikir saya tentu tidak ada sebab lain, kerana berjaga tengok bola lah tuuuuu.... Alaaaaahai la anak!
Catatan : Hai pelajar yang akan exam STPM, SPM, PMR, UPSR tu, jagalah jadual waktu belajar tu dengan konsisten. Piala Dunia akan datang lagi. Tetapi STPM atau SPM tidak mungkin datang lagi untuk ANDA di tahun hadapan!!!

BERTEMU & BERPISAH...

Saturday, June 26, 2010
'Bertemu dan berpisah adat manusia biasa, hilang di mata tapi di hati tak lupa'.
Itu antara baris lagu di zaman persekolahan yang biasa dinyanyikan bila berakhirnya sesuatu program. Terkadang boleh menangis para pelajar kerana menjiwai bait-bait senikata lagu tersebut.
Banyak benar tugasan dan urusan pada Khamis lepas. Selepas selesai urusan di KB, saya bergegas pulang ke KK. Rasanya tidak mahu melepaskan peluang untuk bertemu dengan teman-teman seperjuangan. Majlisnya ringkas sahaja iaitu meraikan salah seorang teman kaunselor yang akan bertukar bidang kerjayanya. Benarlah kata sesetengah orang, hanya kaunselor yang boleh memahami kaunselor!
Saya rasa gembira, tenang dan terhibur dapat bersama teman-teman dalam majlis itu. Namun seperti kata 'GUEST' blog ini, terasa juga kesedihan kerana akan kehilangan seorang teman ini (yang saya anggapnya seperti adik-adik sendiri). Seorang demi seorang rakan-rakan 'berhijrah' ke tempat lain atas berbagai sebab musababnya. Apa lagi jika hijrah tersebut kerana peningkatan dalam kerjaya maka itu adalah yang sebaik-baiknya. Ucapan ikhlas dari saya semoga Puan Noraihan Ismail akan terus maju jaya dalam kerjayanya sebagai pensyarah di matrikulasi.
Catatan :  Teringat seorang rakan (staf kaunter sebuah bank terkemuka) meletakkan jawatan 5 tahun lepas. Beliau berhijrah ke Kuantan dengan membawa keluarga. Isterinya tidak bekerja. Dua bulan lepas saya sempat bertemu beliau di Kuantan. Beliau mengambil saya di hotel penginapan dengan kereta Camry 2.0 versi terbaru! Sempat juga saya ditunjukkan penyata pendapatan beliau sebagai agen insuran perlindungan. "Bulan ini tak berapa banyak pendapatan...", katanya. Saya lihat penyata pendapatan beliau dengan mata bundar terbuka luas, RM 78,500 !!!
Refleksi hati : Inilah yang dikatakan HIJRAH YANG BERKUALITI!
SELAMAT BERHIJRAH,  ANN...

1 + 0 = 0 !!!

Wednesday, June 23, 2010
Semalam (23.6.2010) saya mencipta sejarah tersendiri. Saya pun tidak menjangka perkara ini berlaku. Kurang lebih 15 tahun menjadi 'jemputan' orang untuk menyampaikan pengisian dan perkongsian ilmu, rasanya belum pernah kurang selesa begini.
Seawal jam 8 pagi saya tiba di venue program tersebut kerana saya diberitahu slot saya pada jam 9 pagi. Rupa-rupanya aturcara dipinda kerana perasmi mahu berucap pada jam 9 pagi. Tak jadi masalah bagi saya kerana selalunya perasmi majlis utama tidak akan berucap panjang. Alahai, jangkaan saya meleset sama sekali! Perasmi program memberikan ucapan sehingga jam 10.30 pagi! Kemudian diikuti ucapan penyelaras program dan penolong penyelaras program. Diikuti pula ucapan penceramah tuan rumah. Giliran slot saya tiba juga akhirnya iaitu pukul 12.45 tengahari!!! Sedangkan selepas giliran saya akan ada lagi seorang pembentang yang akan berucap.
Tips Pengucapan Awam : Sebelum berucap, si perucap perlu membuat 'analisis audien' tentang tingkah laku verbal atau non-verbal para pendengar supaya jadi panduan sama ada kita boleh teruskan atau berhenti sahaja.
Lalu saya mengambil keputusan bercakap dalam masa 12 minit sahaja! Segala bahan-bahan ceramah yang saya siapkan pada malam tadi disimpan semula. Pada saya ketika itu, lebih baik berhenti sebelum saya diminta berhenti oleh respon verbal dan non-verbal para audien!
Moral of the story :
1. Ramai orang boleh bercakap dengan hebat tentang pengurusan masa, tetapi tak ramai yang benar-benar faham tentang itu.
2. Ramai orang bijak merancang program, tetapi tak ramai yang faham tentang apa yang hendak dicapai melalui program itu.
3. Ramai orang boleh dan mampu bercakap di khalayak, tetapi tak ramai yang boleh dan mampu berhenti tepat pada waktunya.
Pengajaran kepada saya :
Mudah-mudahan di masa hadapan, saya tidak akan melakukan perkara yang serupa kepada orang lain.

SELAMAT HARI BAPA ! (II)

Monday, June 21, 2010
Timang-timang anak ku sayang
Buah hati ayahanda seorang
Jangan menangis dan jangan merajuk, sayang
Tenang lah tenang di dalam buaian

Betapa hati takkan riang
Tinggal kau bergurau dan ketawa
Mogalah jauh dari mara bahaya, sayang
Riang dan gembira di sepanjang masa

Setiap hari ku berdoa
Pada Tuhan yang Maha Esa
Bila kau sudah dewasa
Hidupmu bahagia sentiasa

Timang timang anak ku sayang
kasih hati permata ayahanda
tidur lah tidur pejam mata sayang
esok hari bermain kembali....

SELAMAT HARI BAPA !

Ketika berjauhan masih ku rasa kasihmu ayah
Betapa kurindukan redup wajahmu..hadir menemaniku..
Terbayang ketenangan yang selalu kau pamerkan
Bagaikan tiada keresahan

Walau hatimu sering terluka
Tika diriku terlanjur kata
Tak pernah sekali kau tinggalkan
Diri ku sendirian
Ketika ku dalam kedukaan
Kau mendakap penuh pengertian

Di saat diriku kehampaan
Kau mengajarku erti kekuatan

Terpancar kebanggaan dalam senyummu
Melihat ku berjaya
Bila ku kegagalan
Tak kau biarkan aku terus kecewa
Dengan kata azimat engkau nyalakan semangat
Restu dan doa kau iringkan..

SI TENGGANG ANAK DERHAKA (2010)

Monday, June 14, 2010
Saya mula kenal Zaidi (bukan nama sebenar) sejak dia berada di tahun 5. Kami memang tidak ada hubungan keluarga. Hubungan saya dan famili dengan ibu Zaidi ini sebenarnya dalam ruang lingkup profesional. Ibu Zaidi ialah penjaga anak-anak saya kerana ketika itu isteri saya masih mengajar. Secara tidak langsung, hubungan famili saya dan familinya menjadi agak akrab.
Sebenarnya saya telah mula melihat 'bakat terpendam' Zaidi sejak waktu itu. Ketika itu kelakuan buruk Zaidi ditunjukkan satu demi satu. Bermula dengan sikapnya yang suka ponteng sekolah hingga kepada perlakuan melawan cakap ibu dan kakak-kakaknya. Malah ketika di sekolah menengah, Zaidi mula tidak mahu bersekolah. Hasil kompromi keluarganya, Zaidi bersetuju bertukar ke sebuah sekolah agama. Kelakuan Zaidi rupanya bertambah buruk selepas itu hingga sanggup mencuri petrol dari tangki kereta bapanya! Apa yang saya tidak faham ialah bapa Zaidi yang terkenal dengan sikap garang tidak sedikitpun mengambil tindakan drastik atau memberi hukuman keras. Saya dan isteri hanya mampu melihat dengan berdoa agar ianya tidak berlaku kepada anak-anak sendiri...
Akhirnya saya dan isteri dikejutkan dengan pengakuan anak saya yang berusia 6 tahun. Zaidi telah memegang bahagian sulit anak saya! Atas dasar hubungan yang baik, saya dan isteri berterus terang kepada ibu dan ayah Zaidi. Terkejut besar saya dan isteri apabila bapa Zaidi mendengarnya dengan selamba dan tidak kelihatan langsung riak kemarahan pada wajahnya! Jauh sekali menegur atau menghukum Zaidi! Selepas itu saya menjadi tidak akrab lagi dengan keluarga Zaidi. Saya juga telah bertukar tempat kerja dan berpindah dari kampung Zaidi. Dua tahun lepas saya mendapat khabar bapa Zaidi di serang penyakit diabetes yang serius dan pergelangan kakinya dipotong.
Pagi tadi (selepas hampir sepuluh tahun!) saya menerima panggilan telefon daripada bapa Zaidi. "Cikgu, Zaidi masuk wad. Urat ibu kakinya putus di timpa kipas angin ketika cuba menghentak kepala saya! Anak derhaka tu cikgu! Tolonglah cikgu lawat dan beri nasihat kepada dia di hospital.....".
SEANDAINYA ANDA BERADA DI TEMPAT SAYA SEKARANG, APALAH AGAKNYA YANG AKAN ANDA KATAKAN KEPADA BAPA ZAIDI INI?

PTK, ALAHAI CIKGU......

Wednesday, June 9, 2010
Saya tersenyum sendiri mendengar rakan-rakan guru yang berbincang tentang Peperiksaan Tahap Kecekapan (PTK) yang berlangsung minggu ini. Ada yang jadi sangat bimbang untuk menduduki PTK sekali lagi. Ada yang buat tak kisah langsung. Jiran saya (guru perempuan DGA 32) hampir demam kerana risau dan sibuk membaca! Macam-macam kerenah yang boleh dilihat.
Saya ada pengalaman menjadi Pengawas PTK sebelum ini. Rupa-rupanya mengawas cikgu-cikgu menduduki peperiksaan lebih sukar daripada mengawas murid-murid! Ada yang mula sahaja menjawab sahaja, kepala asyik menoleh kiri dan kanan. Kononnya nak mendapatkan 'pertolongan' lah agaknya... Mungkin inilah jenis guru yang tak kisah langsung dengan persediaan peperiksaan.
Saya senyum sendiri kerana hakikat 'fobia' kepada peperiksaan tidak hanya berlaku kepada para pelajar sahaja, malah ia turut dialami oleh para guru. Dalam hal ini saya kagum dengan sikap kebanyakan guru-guru wanita yang memang suka bersedia awal dengan membaca nota. Peliknya, tak ramai pula yang lulus 'A' atau IV.... mungkin kerana terlalu 'fobia' dengan PTK menyebabkan mereka tidak dapat menjawab dengan baik dan berkesan.
Terdapat kajian menyatakan bahawa ramai pelajar tidak dapat menjawab dengan betul bukan kerana tidak menguasai sesuatu topik. Mereka sebenarnya mengalami tekanan dan 'fobia' dengan peperiksaan itu sendiri. Saya mencadangkan guru-guru kaunseling atau kaunselor sekolah perlu merancang program atau slot yang berfokuskan pengurusan tekanan (stres) dan kemahiran pengurusan diri untuk menghadapi peperiksaan. Input seumpama ini akan membentuk para pelajar yang mempunyai kemahiran yang lengkap untuk menghadapi peperiksaan dengan penuh keberanian dan keyakinan.

CUTI SEKOLAH & LIMOUSIN

Sunday, June 6, 2010
Semalam saya dengar seorang pemanggil di sebuah stesen radio mengeluh dan dan menyebut bahawa musim cuti sekolah adalah 'FOBIA' bagi dirinya. Deejay radio berkenaan bertanya mengapa jadi begitu. Pada kebanyakan orang, cuti sekolah memang menyeronokkan kerana dapat berkumpul dengan famili terutamanya bersama anak-anak. Pemanggil tersebut beritahu dia fobia kerana pada musim cuti sekolah dia terpaksa kerja lebih masa dan terpaksa ke tempat yang jauh. Oleh itu, waktu bersama keluarga terutamanya anak-anak hampir tidak ada langsung! Deejay radio bertanya, " Apa pekerjaan awak ni?". "Saya bekerja sebagai PEMANDU LIMOUSIN. Syarikat saya akan mengerah pemandu-pemandu supaya bekerja lebih masa kerana waktu cuti begini, penumpang akan bertambah berlipat kali ganda..".
Saya cuba berEMPATI dengan pemandu limousin ini... Lazimnya waktu cuti sekolah begini kita akan cuba menumpukan sepenuh perhatian kepada keluarga. Tetapi nasibnya berbeza demi untuk mencari nafkah untuk keluarganya.
Wahai anak-anak... inilah hakikat yang sepatutnya difahami oleh anda sebagai anak. Ketahuilah Ibubapa yang berkorban jiwa, tenaga, keringat demi sebuah keluarga sentiasa mengharapkan kejayaan dan kebahagiaan untuk anak-anak.
Wahai pelajar... seharusnya anda telah pun mempunyai perancangan atau jadual pengurusan masa belajar yang betul sepanjang musim cuti ini. Jika tidak, anda akan leka dengan aktiviti yang tidak berfaedah seperti seharian menonton TV.
Wahai calon-calon UPSR, PMR, SPM dan STPM.... Kemaskinikan jadual belajar anda di musim cuti ini. Saya teringat beberapa orang pelajar cemerlang yang temui memberikan tips. Di musim cuti sekolah, mereka menetapkan target peribadi bahawa mereka MESTI belajar sekurang-kurangnya 5 atau 6 jam sehari. Namun perlu diingat, waktu 6 jam itu bukan bermaksud berterusan tanpa henti. Pembahagian waktu secara ringkasnya ialah 2 jam di waktu pagi, 2 jam di waktu petang dan 2 jam di waktu malam.
Catatan: Perlu diingat bahawa sistem belajar yang konsisten akan meningkatkan keberkesanan teknik belajar anda. SELAMAT BELAJAR SAMBIL BERCUTI !