UP! UP! AND AWAY TO SHENZEN!

Friday, July 30, 2010
'Tuntutlah ilmu walau sampai ke Negeri China'....
Teringat tazkirah yang disampaikan oleh ustaz zaman persekolahan dulu. Betapa Nabi S.A.W. amat menitikberatkan kepentingan menuntut ilmu. Mengapa China yang yang di sebut oleh Nabi S.A.W? Mungkinkah kerana jarak antara Negara China dan Tanah Arab sangat jauh? Atau mungkin kerana Negara China memang merupakan negara yang memilikki tamadun manusia yang lama? Ketika itu saya kabur tentang itu. Hanya mampu kagum dengan kehebatan Maharaja Shih Huang Ti membina Tembok Besar Neger China. Membaca sejarahnya yang hebat. Bagaimana Allah SWT mengurniakan kepandaian kepada manusia ketika itu membina Tembok Besar Negeri China.... yang dapat di lihat oleh Neil Amstrong ketika berada di permukaan bulan!!! Subhanallah.
Catatan : Semoga perjalanan saya ke Shenzen, China awal pagi esok (1 Ogos) akan memberikan sejuta ilmu dan pengalaman. SEBAGAIMANA YANG DI SARANKAN OLEH JUNJUNGAN BESAR, NABI MUHAMMAD S.A.W.

PECUTAN AKHIR

Akhir-akhir ini saya menerima jemputan untuk memberikan ceramah tentang persediaan menghadapi peperiksaan. (Minggu ini sahaja saya ke SK Sungai Sok, SK Slow Temiang, SJK(T) Ladang Pasir Gajah, SMK Zainab, SK Kampong Tengah, dan calon-calon PMR PPD Kuala Krai di SMK Manek Urai). Semuanya bertemakan persiapan dan persediaan akhir menghadapi peperiksaan! Sekolah-sekolah menengah dan rendah rancak merancang aktiviti dan program mereka. Semuanya memilih hari dan tarikh sebelum tibanya bulan Ramadhan. Masalahnya, apabila semuanya minta tarikh yang sama sebelum Ramadhan maka tidak semua harapan dan jemputan dapat saya penuhi.
Saya lihat kecenderungan sekolah-sekolah untuk mengadakan program atau motivasi 'PECUTAN AKHIR' begitu ketara. Sempat juga saya berbincang dengan rakan-rakan guru di sekolah yang saya temui. Terdapat beberapa sebab utama yang menyebabkan pihak sekolah rasa amat perlu mengadakan program seumpama itu.
1. Ramai pelajar masih belum kelihatan belajar secara 'all out' lagi walaupun telah berada di bulan Julai.
2. Realitinya pelajar-pelajar masih perlu di dorong dan 'dipaksa' oleh guru sedangkan mereka yang sepatutnya lebih bersungguh-sungguh daripada guru.
3. Ramai pelajar masih belum dapat menentukan dengan jelas hala tuju selepas peperiksaan.
4. Masih ramai pelajar yang tidak belum 'bangkit' dari tidur!
Catatan : Dan saya akan tetap menyumbangkan sedikit ilmu dan kepakaran dalam bidang ini dengan penuh keikhlasan. Semoga Allah tetap memberikan pertolongan dan bantuan kepada anak-anak saya juga... amin.

GADIS-GADIS KU DI ZS!

Wednesday, July 28, 2010
Gembira sungguh saya dan tiga orang rakan lain bila Cikgu Wan Suhaimi beritahu yang kami terpilih. Berjaya menjadi peserta lawatan anjuran Pasukan Kadet Polis Kontinjen Kelantan 'round 1 Malaysia' bukan calang-calang peluang tuuu! Megat, Norsyam dan Abdul Aziz dan saya mewakili Pasukan Kadet Polis Kuala Krai. Menyertai pasukan-pasukan kadet dari sekolah-sekolah jauh lebih premier dari dari daerah lain terutamanya Kota Bharu memang mendebarkan hati kami. Inilah peluang untuk saya dan rakan-rakan berkenalan dengan pelajar-pelajar sekolah tersohor seperti Maktab Sultan Ismail (SIC), Sekolah Menengah Ismail Petra (SMIP), Sekolah Menengah Kota Bharu (SMKB) dan satu-satunya Pasukan Kadet Polis perempuan di Kelantan iaitu Sekolah Menengah Zainab (ZS)!
Teruja dan seronok sangat bila jumpa dan dapat bersama dengan pelajar-pelajar Kota Bharu... al maklumlah kami dari Kuala Krai (Ulu Kelantan!). Itulah hakikatnya dengan jiwa yang penuh 'infiority complex'.. berasa kecil dengan diri tanpa mengenali kelebihan diri sendiri!
Lawatan ke seluruh negara itu dengan dua bas PDRM memberi peluang kepada kami melawat tempat-tempat yang sangat menarik dan tidak boleh dilawati oleh orang awam. Di antaranya ialah Pusat maklumat berkomputer Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. Berbangga kerana menjadi kelompok pelajar pertama yang diberi kebenaran berada di puncak menara Daya Bumi yang menjadi mercu tanda Kuala Lumpur ketika itu. (KLCC  masih belum ada dalam fikiran Dr. M). Program lawatan hampir seminggu itu terlalu banyak memberikan pengalaman berharga kepada saya.
NOSTALGIA : Tersenyum sendiri bila terkenangkan empat orang kadet perempuan ZS asyik bersama dengan kami dalam semua aktiviti sepanjang program. Paling marah dan 'tercabar' ialah kadet-kadet lelaki dari SIC dan SMIP yang cemburu kerana kami dari Ulu Kelantan berjaya 'menawan hati' 4 orang kadet perempuan ZS! Kami pun tak tahu apa sebabnya.... mungkin ketika itu kami lebih 'handsome' kut! Waaaaaa. (FLASHBACK 27 TAHUN YANG LALU...)
CATATAN: 28 JULAI 2010 (RABU)... SAYA KEMBALI BERTEMU GADIS-GADIS 'ZAINAB SCHOOL' YANG MASIH TETAP MENGEKALKAN KEHEBATAN DAN KEPINTARAN MEREKA. SAYA HADIR KE ZAINAB SCHOOL KALI INI BUKAN SEBAGAI MURID LAGI. SAYA HADIR UNTUK MENYAMPAIKAN CERAMAH BERTAJUK PENGURUSAN TEKANAN (STRESS MANAGEMENT) KEPADA GADIS-GADISNYA!
MORAL OF THE STORY :  Setiap daripada kita ada kelebihan dan kehebatan tersendiri. Merasa kecil bukanlah jalan terbaik untuk meneroka kelebihan diri malah membuka kelemahan diri. Justeru, terokailah kelebihan dan kehebatan diri sendiri. Jika berjaya di temui, yakinlah di situ akan hadir KEYAKINAN DIRI!!

PUTUS CINTA!

Monday, July 26, 2010
Tijah ingin memutuskan perhubungannya dengan boyfriend MAT SALEHnya.

Dia tak sanggup bertemu muka, lalu dia pun mengutus surat.
Hi, my motive write this letter is to give know you something.

I WANT TO CUT CONECTION US. I have think about this very cook cook.

I know I clap one hand only. Correctly, I have see you and she together at town with eyes myself. You always ask for apology back-back. I don’t trust you again!! You are really crocodile land!

My friend speak you play wood three. Now I know you were correct correct play wood three. So, I break connection to pull my body from this love triangle. I know this result I pick is very correct, because you love she very high from me. So, I break off to go far from here. I don’t want you to play play with my liver.

I have been crying until no more eye water thinking about you. I don’t want banana to fruit two times…. SAFE WALK, DARLING.

From,

Tijah.
Catatan : Wahai calon-calon peperiksaan, anda DILARANG SAMA SEKALI cuba meniru ayat yang digunakan oleh Tijah ini.
To all teachers, please dont angry angry to me, because I just want to happy happy only... (Ayat ini pun TIDAK BOLEH DIGUNA PAKAI juga!)

MENCARI DURIAN KUNYIT...

Sunday, July 25, 2010
Seronok juga berinteraksi dengan ibubapa di sekolah-sekolah pedalaman. Penghormatan dan layanan mesra yang mereka berikan sering membuat saya 'hilang penat' walaupun perjalanannya jauh. Memulakan cara jam 2.30 petang memang meletihkan. Apalagi bercakap di hadapan ibubapa yang sememangnya keletihan setelah menoreh getah atau ke kebun disebelah paginya. Inilah cabaran sebenarnya. Mencari idea dan 'gimik' dalam pengucapan untuk tetap menyegarkan audien yang letih memang mencabar!
Letih benar rasanya setiba di rumah hampir senja.... Berehat sekejap sambil menikmati ISI DURIAN KUNYIT pemberian pihak sekolah. Fuhhhh! Tak terkata... hati mendesis, " PATUT LAH HARGANYA RM10-RM12 SEKILO!". Alhamdulillah, bersyukur dengan rezekiMu, ya Allah.
Semoga "DURIAN KUNYIT" yang dicari dan diusahakan oleh sekolah ini akan berhasil jua... InsyaAllah.
Catatan : "DURIAN KUNYIT = 5A (UPSR) - SUKAR DI PEROLEHI KERANA KUALITINYA TERBAIK! :-))

FARIS vs KEPALA BATAS

Pada hari Khamis lepas (22 Julai 2010) saya ke sebuah resort terkenal di Semerak, Pasir Puteh. Menerima undangan SMS Tengku Muhammad Faris Petra(SMSTMFP) untuk bercakap kepada para pelajar tingkatan lima. Nampaknya lambat lagi ler untuk berpencen!
Sebelumnya saya difahamkan oleh kaunselor sekolah bahawa pelajar SMSTMFP memerlukan suatu motivasi bertemakan 'PECUTAN AKHIR' untuk menghadapi peperiksaan SPM. Maka saya bersetuju juga untuk menyelitkan juga input persediaan-persediaan menghadapi peperiksaan.
Rata-rata saya dapati isu yang melanda di kebanyakan sekolah yang menjemput saya adalah hampir serupa.
Isunya ialah pelajar tingkatan lima sekarang ini masih belum menampakkan kesungguhan belajar! Masih belum menumpukan perhatian kepada belajar sehingga 'CAWAT KOTE' (Istilah original loghat Kelantan).
Dalam kata lain para pelajar kita masih belum habis-habisan berusaha sebagai persiapan menghadapi SPM.
Setibanya di resort berkenaan, rupa-rupanya program itu turut disertai juga oleh pelajar tingkatan lima daripada Sekolah Menengah Sains Kepala Batas, Pulau Pinang. Merekan akan bermalam dan berbengkel bersama sepanjang dua hari. Tujuannya supaya mereka boleh berkongsi teknik belajar dan bertukar-tukar pengalaman belajar.
 Pada saya ini satu kolaborasi yang sangat baik. Menghimpunkan calon-calon SPM yang hebat dari dua buah sekolah berasrama penuh dalam satu program pastinya bakal menghasilkan sesuatu yang hebat nantinya.
Sayang sedikit dewan resort tersebut mengalami kerosakan alat hawa dingin. Hawa panas yang dialami oleh saya dan hampir 200 lebih pelajar menyebabkan kami bermandi peluh dalam dewan berhawa dingin!
Namun inilah kelebihannya bila berhadapan dengan pelajar pintar Malaysia (saya pernah tulis tentang ini dalam tulisan yang lepas). Dalam keadaan yang tidak kondusif, pelajar kedua-dua sekolah berasrama penuh ini tetap menumpukan perhatian yang sangat konsisten kepada saya. Sebenarnya komitmen merekalah yang memberi kekuatan kepada saya. Alhamdulillah.
Catatan :
1. Pelajar-pelajar pintar ini telah mula MEMECUT kudrat mereka demi peperiksaan SPM.
2. Pelajar-pelajar pintar ini adalah remaja yang mempunyai pelbagai impian dan hajat dalam kehidupan mereka sendiri.
3. Pelajar-pelajar ini, walaupun pintar IQnya, mereka tetap memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar yang konsisten untuk keseimbangan EQ mereka.
Petikan pujangga : 
 "SEORANG MURID YANG BAIK AKAN SENTIASA MENGANGGAP GURUNYA SEORANG YANG HEBAT. MANAKALA SEORANG GURU YANG BAIK SENTIASA MENGHARAPKAN MURID-MURIDNYA MENJADI LEBIH HEBAT DARIPADA DIRINYA"

URUS MASA : BAGAIMANA?

Wednesday, July 21, 2010
Pakar Kemahiran belajar mengenal pasti antara punca-punca pelajar mengalami stres adalah kerana kekangan masa. Kebanyakan pelajar sering berfikir yang mereka tidak cukup masa. Hakikatnya semua insan memilikki masa yang sama, tidak lebih atau kurang. Masalah sebenar ialah mereka tidak mahir MENGURUSKAN MASA mereka.


Terdapat beberapa kaedah mengurus masa agar tidak terbuang begitu saja. Misalnya:
1. Senaraikan semua aktiviti yang dijalankan dalam satu hari.
2. Susun atur aktiviti berdasarkan kepentingannya.
3. Elakkan menyenarai aktiviti yang tidak berfaedah.
4. Agihkan masa dalam sehari untuk setiap aktiviti.
5. Buat satu jadual untuk aktiviti anda dengan masa yang diperuntukkan.
6. Disiplinkan diri melakukan semua aktiviti yang telah anda tetapkan.
7. Jika berjaya dalam sehari, cuba buat jadual aktiviti dalam masa seminggu.


Jika amalan di atas dapat diikuti dengan teratur dan berdisiplin, sudah pasti para pelajar dapat mengurus dan menggunakan masa dengan baik.
SELAMAT MENCUBA.

Alahai anakanda....

Sunday, July 18, 2010
Terdiam seketika kerana dengan tak semena-mena air mata anak sulung saya mengalir deras. Cepat-cepat saya hulurkan saputangan supaya dia tidak gunakan kain tudungnya untuk mengesat air mata. Berbagai tanggapan dan andaian bermain dalam benak saya. Risau pun ada. Gerun pun ada. Maklumlah anak sulung saya ini akan menduduki SPM hujung tahun. Saya biarkan dia menangis buat seketika. Saya cuba tenangkan diri saya supaya tidak cepat mendesaknya. Angin petang di tepi padang MRSM seakan tahu keresahan saya sebagai seorang ayah......
Rupa-rupanya anak sulung kaunselor PPD ini sedih kerana lewat ke kelas tambahan waktu petang! Alaaahai, ayahnya mengendalikan kursus dan menyampaikan puluhan ceramah pengurusan stres... tup-tup, anak sendiri alami stres di MRSM! (Rasa macam nak pencen, Yan oooiii!!! Tolooooong..)
Saya bertanya, takkan lah kerana perkara sekecil itu seorang pelajar tingkatan lima boleh menangis. Rupanya banyak perkara yang menghantui. Stres pasal result terkini yang tidak berapa cemerlang, sibuk dengan tugas sebagai ADP (pengawas), bla bla bla.... (biasa la bila dah dapat jumpa ayah).
Benarlah kata sifu kaunseling saya, Profesor Datin Dr. Amla Salleh (UKM) dulu... "You cannot do counseling to your own daughter or relative". Saya akur tentang itu sekarang. Bila berhadapan dengan anak sendiri, saya jadi terbawa-bawa dengan ego seorang bapa. Mungkin aplikasi kemahiran kaunseling boleh tetapi tidak sesi kaunseling! Apa-apapun, saya perlu bertindak dengan lebih drastik. Saya perlu berbincang dengan gurunya di MRSM.
Catatan : Semoga kesungguhan saya membantu anak orang lain selama ini menjadi 'saham' kepada kecemerlangan anak-anak saya. InsyaAllah.

RELAKS MINDA SEKEJAP..

Saturday, July 17, 2010
Kisah I

Seorang lelaki pergi ke klinik mata . Setelah matanya diperiksa, dia bertanya:
'Doktor, lepas pakai cermin mata nanti, boleh ke saya membaca macam orang lain ?'
'Dah tentu, ' jawab doktor.
'Oh, gembiranya. Dah lama saya buta huruf, akhirnya boleh juga saya membaca,' kata lelaki itu dengan riang.

LEWAT, KASUT KAHWIN

Friday, July 16, 2010
Gelihati saya dengar kisah anak buah yang baru saja bekerja di Pengkalan Chepa. Semalam dia pulang ke rumah kerana cuti hujung minggu. Malam tadi dia sempat jumpa saya di rumah. Katanya dia hanya cuti pada hari Jumaat. Malam tadi barangkali mimpi indah maka dia ketiduran hingga lewat bangunnya. Apalagi terkocoh-kocohlah dia minta abang saya menghantarnya ke stesen bas. Perjalanan Kuala Krai ke Kota Bharu bukannya dekat. Selepas itu dia perlu naik bas pula ke Pengkalan Chepa. Saya dapat bayangkan betapa paniknya dia. Setibanya di stesen bas Kuala Krai, terkejut besar dia. Lain benar kasutnya hari ini. Sebelah berwarna lain, sebelah satu lagi lain warna!
Moral of the story:
- Jangan bangun lambat. Bila bangun lambat, jadi panik. Bila panik, silap ambil kasut! hehehehehe.
Catatan : Kepada para pelajar yang akan exam tu, belajar 'last minute' akan membawa risiko panik! Jadi jangan belajar 'last minute'.
p.s.: Hai Kak Nur, jangan mareee....

RUKU SALAM DI TEKNIK....

Sudah agak lama juga jadual ceramah saya tidak padat seperti hari Khamis lepas. Seawal pagi bertemu dengan pelajar tingkatan lima di SMK Cherang Ruku. Sebelah petangnya berbicara pula dengan pelajar tingkatan lima di SM Teknik Kuala Krai. Program yang menghimpunkan pelajar SM Teknik dan SMUA Darul Salam. Tiga kelompok pelajar yang berbeza sangat dari aspek kognitif dan sahsiahnya. Menarik juga kerana saya dapat melihat berbeza respon dan gelagat mereka. Ada yang agak 'nakal' mulutnya kerana asyik menyampuk percakapan saya. Sekali lagi pengalaman memberi kelebihan kepada saya agar tidak melatah dengan respon-respon begitu. Terfikir juga beginilah tentunya rakan-rakan guru di sekolah melayan kerenah anak-anak didik. Saat ini timbul rasa simpati kepada rakan-rakan guru. Mengapalah anak-anak ini tidak mahu faham peperiksaan adalah PERJUANGAN hidup mereka sendiri!?? Mengapa harus guru-guru yang alami stres kerana fikirkan anak murid yang masih tidak ghairah. Masih belum ghairah untuk menghadapi peperiksaan! Sedangkan guru-guru mereka sudah mula demam, DEMAM PEPERIKSAAN! Pelik sungguh, yang nak mendudukki peperiksaan tak demam pun, tetapi guru-guru pula yang demam! 
Catatan : Wahai calon-calon peperiksaan PMR, SPM & STPM, bangkitlah dari tidur mu. Sudah lama kamu tertidur... sudah sampai waktu kamu bangun dan berjuanglah demi masa depan!!! 

LA TAHZAN! YA ZANA, YA ANN.....

Wednesday, July 14, 2010
1. "Di rantau orang ini baru saya sedar dan tahu mana satu kawan yang benar-benar mengingati saya..."
2. "Siapalah yang ingatkan kita lagi di sini...Mengapa tidak tulis dalam blog tentang bagaimana nak hadapi cabaran hidup di perantauan?"
Dua ayat daripada dua sms yang datangnya dari dua orang teman baik di atas benar-benar membuat saya terharu.... barangkali beginilah perasaannya jika saya sendiri turut merantau di tempat orang! Seorang di Pahang dan seorang lagi di Pulau Mutiara. Kedua-duanya meninggalkan keluarga masing-masing demi menyahut seruan kerjaya. Itu yang membuat mereka sangat istimewa dalam pandangan saya. Hati saya terasa begitu kecil bila teringat yang saya pernah menolak panggilan sebagai pensyarah sebuah IPTA di ibu negeri Selangor tahun lepas. Penolakan itu hanya kerana saya rasa tidak sanggup untuk keluar dari 'ZON SELESA' yang ada sekarang!
Sangat berbeza sekali dengan dua rakan saya ini. Mereka sanggup keluar dari 'ZON SELESA' dan keluarga masing-masing demi peningkatan kerjaya dan kualiti hidup. Mungkin saya sedikit cemburu agaknya... cemburu melihat keberanian dan kecekalan kedua-dua rakan saya ini.
Catatan: Seperti tulisan saya pada bulan Jun lepas, yakin dan percayalah HIJRAH anda akan membawa sejuta rahmat dan kebaikan yang Allah sediakan. 

TERIMA KASIHHHHH...

Monday, July 12, 2010
Ucapan terima kasih kepada 'guest' baru saya daripada SMKIP! Terima kasih menyahut pelawaan saya untuk melawat blog yang sederhana ini. Maafkan saya jika anda tidak menemukan sesuatu yang 'bombastik' atau sensasi dalam blog ini. Pada saya, memberikan sesuatu walaupun sedikit akan lebih bermanafaat jika diberikan dengan penuh keihklasan.
Begitu juga saya, membantu sekadar yang termampu adalah jauh lebih baik daripada tidak berbuat apa-apa!
Catatan : Saya perlukan maklum balas atau cadangan daripada semua pemantau blog ini demi untuk menambah baik input-input yang dipaparkan.

LAGU UNTUK PUTERA & PUTERI SMKIP

Sunday, July 11, 2010
HANYA AKU YANG MAMPU
Ku cuba ingatkan kembali
Janjiku pada ayah ibu
Terbayang wajahmu selalu
Mendidik dan membesarkan ku
Cerita tentang masa lalu
Cerita tentang ayah ibu
Kini tinggal hanya kenangan
Kau abadi dalam hati ku
Haruskah kulupakan jasamu ayah ibu
Membuat ku rasa bersalah kepadamu
Derita yang kau tempuhi selama ini
Hanya akan terhapus bila ku berjaya
Cerita tentang masa lalu

Cerita tentang ayah ibu
Kini tinggal hanya kenangan
Kau abadi dalam hati ku

Haruskah kulupakan jasamu ayah ibu
Membuat ku rasa bersalah kepadamu
Derita yang kau tempuhi selama ini
Hanya akan terhapus bila ku berjaya

Aku lupa oooh… aku lupa oooh..
Aku lupa oooh… aku lupa oooh..
Haruskah kulupakan jasamu ayah ibu

Membuat ku rasa bersalah kepadamu
Derita yang kau tempuhi selama ini
Hanya akan terhapus bila ku berjaya
Aku lupa oooh… aku sedar oooh..
Aku lupa oooh… aku sedar oooh..

Hanya AKU yang mampu mengubah diri KU…
oooooooo……
(Nyanyikan mengikut melodi lagu 'Hanya Kau Yang Mampu')
Lirik : Cikgu T.A.T.I.
Lagu : Aizat

DULU SMIP, SEKARANG SMKIP...

Kawan lama saya Wan Rusaidi menjemput saya untuk mengisi slot motivasi pelajar tingkatan lima di Sekolah Menengah Kebangsaan Ismail Petra, Kota Bharu hari ini. Seronok juga bertemu pelajar-pelajar pintar di Kota Bharu ini. Wajah-wajah yang jernih, tanpa prejudis kelihatan menerima saya amat membantu untuk melancarkan sesi motivasi ini. Kehadiran pelajar 'spesies' saya (lelaki) yang hanya satu pertiga daripada kesemua pelajar meyakinkan saya mereka memang ' the choosen one'! Terpilih kerana kerana mereka masih kekal di sekolah. Kekal menghadapi perjuangan seorang pelajar. Perjuangan untuk menghadapi peperiksaan SPM yang bakal tiba. Perkongsian saya kali ini lebih santai kerana pelajar SMKIP ini kelihatan lebih matang dan tekun sepanjang sesi yang berlangsung hampir 2 jam! Cuma, saya risau juga jika pelajar-pelajar ini 'terlalu tenang' sehingga masih belum terasa 'demam peperiksaan...Ketenangan adalah perlu untuk menghadapi peperiksaan. Kepekaan tentang waktu-waktu yang terhad juga sangat penting. Jadi, kepada semua pelajar, saya mendoakan supaya Julai ini sepatutnya 'demam-demam'kanlah diri anda untuk menghadapi SPM!

ALAHAI DEMAM LAGI !

Saya terima panggilan telefon ummi Aiman yang katanya Aiman demam lagi! Guru kelasnya minta Aiman pulang ke rumah dan berehat. Suhu badannya meningkat dan mengadu pening kepala. Saya sempat pulang menjenguk ketika masa rehat. Memang benar suhu badannya panas dan asyik tidur.
Saya semakin percaya si Aiman ini tidak kuat untuk berjaga di awal pagi. Jam tiga pagi tadi dia amat sihat dan bersorak kuat bila pasukan Uruguay menjaringkan gol. Bila wisel penamat dibunyikan pasukan pilihan saya, Jerman menang. Apalagi, senyap dan Aiman tidur semula. Tup tup, demam pula hari ni! Risau juga saya, mana tahu Aiman demam kerana pasukan pilihannya, Uruguay kalah! Isk isk isk... Sekarang saya jadi dilema samada nak izinkan Aiman tengok perlawanan akhir pagi Isnin ini..... Yang pasti, Aiman pilih Sepanyol sebagai Juara piala dunia tahun 2010! Begitu juga saya...
Catatan: Kalaulah semua calon-calon STPM, SPM, PMR & UPSR 'demam' peperiksaan semacam 'demam bola'.... fuhhhh, tentu guru-guru di sekolah tidak risau lagi!

DEMAM BOLA VS DEMAM PEPERIKSAAN

Wednesday, July 7, 2010
Pagi tadi (Khamis) terjaga dari tidur bila terdengar bunyi bising. Rupa-rupanya Muhammad Aiman (8) dan Nur Husna (10) lebih dahulu bangun daripada saya. Sejak petang semalam lagi asyik merayu kepada supaya saya kejutkan mereka untuk pada pukul 2 pagi. Saya risau juga kerana Muhammad Aiman pernah demam kerana berjaga tengok bola! Malam tadi dah berniat tak mahu kejutkan mereka... Nampaknya tak berhasil dek kerana 'demam bolasepak' yang melanda mampu membangunkan kanak-kanak ini! Sayangnya pasukan pilihan saya Jerman tewas 1-0 kepada Sepanyol....
Semasa di Maahad Tahfiz Sabtu lalu saya ditanya oleh pelajar. Mengapa kebanyakan mereka masih lagi belum merasai 'kehangatan' atau 'demam peperiksaan' sedangkan SPM semakin hampir.
Jawaban saya :
Untuk mewujudkan suasana atau 'demam peperiksaan' ini, beberapa perkara perlu dilakukan :-
1. Sentiasa ingatkan diri sendiri tentang peperiksaan yang hampir tiba. Contoh: Buatkan 'countdown' sendiri dengan menanda bilangan hari peperiksaan di kalendar atau buku catatan harian.
2. Sentiasa ingatkan kawan-kawan tentang peperiksaan. Contoh: Kurangkan bercakap tentang topik selain daripada topik peperiksaan.
3. Jika tinggal di asrama, selalu menelefon ibubapa dan minta mereka berdoa dan solat hajat untuk persediaan peperiksaan.
4. Tampalkan target peperiksaan sendiri di beberapa sudut atau tempat yang mesti kita lihat setiap hari. Contoh: Di rak buku, pintu bilik utama, meja belajar dan jika perlu di pintu tandas!
Analogi : Jika kita minat sungguh motosikal 'Harley Davidson' yang tersohor itu.. walaupun belum mampu dibeli sekarang, kita tetap cari gambarnya dan kita tampalkan di dinding bilik tidur kita. Mengapa? Kerana itulah motosikal impian kita yang kita inginkan suatu hari nanti. Jadi, mengapa tidak kita ingin dan rindukan SPM lebih daripada itu? Bukankah SPM itu 'Sijil Penentu Masadepan'???

LA TAHZAN, YA ATIF (sambungan)

Sunday, July 4, 2010
Ligat minda saya berputar memikirkan susunan kata-kata untuk menerangkan kepada anak saya situasi yang saya hadapi. Saya faham kesempatan 'outing' seketika diambilnya untuk pulang ke rumah dengan harapan dapat membuat latihan 'mockid interview' dengan bantuan saya. Pada masa sama saya amat faham tentang kekangan waktu yang terpaksa dihadapi oleh oleh pelajar-pelajar tingkatan 5 Maahad Tahfiz yang menjemput saya. Lalu saya katakan kepada anak saya dengan terus terang. " Harapan pelajar-pelajar Maahad Tahfiz yang jemput ayah sangat besar. Ayah harap kakak faham bahawa mengapa ayah selalu membantu anak-anak orang lain. Kerana ayah yakin dan percaya jika ayah membantu anak-anak orang lain dengan ikhlas kerana Allah, insyaAllah, anak ayah sendiri akan mendapat bantuan Allah melalui orang lain pula!".
Akhirnya saya dapat bertemu dengan Atif (pelajar tingkatan 5 yang menjemput saya). Orangnya nampak matang dan jernih wajahnya. Mungkin dek kerana 'nur' kalimah Al-Quran yang menjadi hafalan seharian. Rupanya Atif adalah Exco Biro Kaunseling di sekolahnya. Sayang sekali di sekolah yang hebat dan canggih sebegini tidak ada guru kaunseling atau kaunselor terlatih! Tidak hairan Atif mengambil tanggungjawab untuk mengendalikan program ini (Saya tidak jumpa pun seorang guru pada hari itu-mungkin kerana hari minggu). Berbicara dengan Atif secara dekat telah memperlihatkan kematangan pemikirannya. Beliau asyik berfikir tentang rakan-rakan sebaya, pelajar tingkatan 3 yang katanya masih belum menampakkan suasana 'demam peperiksaan'. Jelas berkerut dahinya bila meluahkan keadaan itu.
Refleksi : Saya fikir Atif mengalami tekanan yang tidak sepatutnya dihadapi. Niat dan harapannya untuk melihat rakan-rakan sebaya menumpukan sepenuh perhatian terhadap peperiksaan SPM yang akan tiba menjadi elemen negatif kepada dirinya sendiri. Dengan kata lain, Atif mengalami stres atau tekanan disebabkan terlalu memikirkan orang lain.
Tips kaunseling : Khidmat kaunseling ialah membantu orang lain untuk mencari alternatif/pilihan pendapat/jalan bagi menyelesaikan masalah seseorang klien.
Catatan: Bukan kaunselor yang menyelesaikan masalah orang lain.

LA TAHZAN, YA ATIF.....

Saturday, July 3, 2010
Ia bermula dengan satu email dari seseorang yang tidak saya kenali kurang lebih sebulan lalu. Email itu merupakan keluhan dan rintihan hati seorang pelajar yang amat risau tentang persediaannya untuk menghadapi SPM tahun ini. Kerisauannya terhadap rakan-rakan sebaya yang kelihatan masih belum bersedia menghadapi peperiksaan. Kebimbangannya tentang waktu belajar yang amat terhad. Saya dapat bayangkan bagaimana pelajar ini perlu belajar 11 subjek dan pada masa sama dikehendaki menghafaz Al-Quran!Memang saya tidak kenal dan tidak tahu dari mana pelajar ini mendapat alamat email saya. Saya tersentuh dengan email tersebut. Teringat kepada anak sendiri yang juga akan mendudukki SPM. Lalu saya membalas email dengan mengatakan apalah yang terdaya saya lakukan dengan hanya melalui email.... Tanpa diduga pelajar tersebut memberi respon bahawa dia bercadang untuk menjemput saya untuk memberikan ceramah di sekolahnya. (Ketika itu saya belum tahu di mana sekolahnya).
Seminggu lepas baru saya diberitahu bahawa beliau belajar di sebuah Maahad Tahfiz Sains. Katanya dia akan berbincang dengan rakan-rakan dan guru untuk menjemput saya. Topik yang diminta ialah Persediaan Menghadapi Peperiksaan atau Pecutan Akhir Peperiksaan. Akhirnya Khamis lepas, pelajar ini menghubungi saya dan menjemput saya pada 11 pagi (hari Sabtu). Begitu besar harapannya minta saya hadir. Saya pula dilanda dilema kerana telah berjanji dengan anak saya untuk membantunya membuat persiapan 'Mockid Interview'......