MUARA & LAGUNA, IMPAK MAKSIMA, ICE-CREAM......

Tuesday, June 28, 2011
Saya sering mengimpikan bercuti di lokasi-lokasi indah dan menenangkan jiwa. 'Bercuti' sebulan cara begini dengan tangan bersimen fiber sungguh memeritkan. Ada kawan-kawan yang bertanya khabar dan berkata tentu saya seronok lama bercuti. Saya katakan bukan cuti sebegini yang saya harapkan!! Saya mengharapkan bercuti di muara yang tenang atau di laguna yang tenang airnya...tanpa gangguan dan persoalan tugas yang menanti di pejabat....

Sukar nak saya padamkan memori kemalangan tempoh hari. Ia sering datang bagaikan tayangan filem. Avanza saya yang terbabas dan menghempas longkang besar itu bagaikan satu IMPAK MAKSIMA terhadap tubuh saya. Sebulan lebih telah berlalu namun kesakitan masih terasa hingga kini...

Jemu dan tepu bagaikan gambaran perasaan saya ketika ini. Duduk dan berehat lama begini bukan pilihan saya. Mahu rasanya terus mula bertugas dan melupakan kejemuan ini. Apa daya, kemampuan sangat terbatas dengan tangan bersimen ini. Wahai hati.. bersabarlah..
p.s. Mungkin saya harus nikmati ice-cream yang saya dan anak-anak cukup gemar..lebih-lebih lagi di musim panas ini.

HAPPY FATHER'S DAY TO ME...

Sunday, June 19, 2011
Memang lama sungguh tidak 'ke udara'.... Bukan tandus idea, bukan kering modal!! Maklumlah dengan hanya mampu menaip dengan SATU PUNTUNG JARI TELUNJUK KIRI, saya jadi tidak ghairah untuk menulis. Tangan kanan saya masih bersimen. Terasa sangat tangan saya semakin 'mengecil' dek kerana simen fiber biru yang menyekat pengaliran oksigen dan darah.
Hari ini saya menerima beberapa sms ucapan SELAMAT HARI BAPA. Hari istimewa ini membangkitkan selera untuk saya menulis walau hanya dengan satu puntung jari!!! Memori menayangkan peristiwa 18 tahun dulu...
Segala persiapan telah dibuat. Kumpulan saya akan berlepas ke Pulau Sayak untuk melengkapkan keperluan kursus. Masing-masing teruja dan tak sabar-sabar untuk ke pulau. Tiba-tiba saya dipanggil ke bilik Ketua Jabatan BK, IPDA.
"Tengku, ada panggilan dari Kelantan. Betul ke ayah awak sakit tenat di KK? Atau awak sengaja pakat dengan family supaya awak dikecualikan ke pulau? Awak ingat, ini syarat kursus. Kalau awak tak hadir, awak akan gagal dapat sijil!!!".
Bertalu-talu ayat KJ menerobos telinga saya..."Ayah saya memang selalu sakit, tuan.. cuma saya tak pasti keadaan terkini.. Saya memang nak pergi ke pulau tu.. Saya tahu program tu sangat penting."
"So,, awak fikirlah dan buatlah keputusan. Sama ada awak nak balik kampung atau turut serta dalam program. Beritahu keputusan awak petang ini, ok."
Tak pernah saya ada dilema sebegitu. Balik kampung dan gagal dalam kursus yang dah hampir selesai atau terus ikuti program ke pulau.....?
Tengahari itu saya jumpa dengan Kak Ton (Pensyarah mentor). Ringkas sahaja pandangannya. "Lah, Kak Ton tahu Lah memang komited dalam tugas. Dan Kak Ton pun tahu program di pulau tu memang penting. Cuma Kak Ton nak habaq kat hang, di mana-mana saja atau bila-bila pun... keluarga adalah segala-galanya, apalagi AYAH...jadi Lah pikiaqlah betul-betul.."
Dan akhirnya saya ambil keputusan besar jauh dalam hati..Saya mesti kembali demi ayah saya.
TIGA HARI SAYA BERSAMA AYAH..MENJAGA DAN CUBA MEMENUHI KEPERLUAN DALAM UZURNYA. AKHIRNYA, HARI KEEMPAT AYAH PERGI JUA MENEMUI ILAHI.
DI HARI BAPA INI, HATI SAYA SUNGGUH RINDU.....

ALLAHUAKBAR...

Monday, June 6, 2011
ALLAHUAKBAR! ALLAHUAKBAR! ALLAHUAKBAR! Itu sahaja kalimah yang terlintas di hati dan mulut. Menekan brek bukannya satu tindakan tepat dalam situasi itu. Kereta saya terus senget dan akhirnya terbalik dan terbalik ke kiri jalan. Terasa sesak nafas menahan seluruh berat badan dengan leher dan kepala. Sukar sekali bernafas sambil menahan kesakitan...menunggu dan menunggu...terasa hangat di kepala saya. Rupanya darah memenuhi seluruh ruang muka! Saya tidak boleh bergerak langsung. Leher dan badan tak mampu diangkat sama sekali. Terasa pedih di mata dan mulut. Saya cuba buka mata, terasa cecair hangat memenuhi ruang mata.

NASI ITIK BERMADU....

Perjalanan dari PD tengahari itu bagaikan serba tak kena. Hj Asnil pun hairan bagaimana kami boleh 'lupa' tentang laluan ke KLIA. Sedangkan lebuhraya terbentang di depan tetapi saya memandu melalui Sepang (jalan perbandaran dan berliku-liku). Dari KLIA ke KL pun jadi keliru...rasa aneh juga..
Nasi itik bermadu di Melawati menghilangkan resah. Nampaknya Hj. Asnil sama citarasa dengan saya. Saya tinggalkan Hj. Asnil di Melawati dan teruskan perjalanan. Saya perlu segera. Sekurang-kurangnya saya dapat rehat sehari esoknya. Lusa saya perlu ke Matrikulasi Kuantan. Menghampiri Genting Sempah hati saya berdetik, "Kalau singgah di IAB, dapat bersama rakan-rakan lain..tapi..jam 2.30 petang..lambat lagi ke jam 5 petang.."
Kaki kanan saya terus menekan pedal minyak.
CATATAN:
1. ALLAH SWT sentiasa memberi peringatan dan petunjuk kepada kita..cuma kita yang tidak peka...

RUANG DAN PELUANG