DARI SK JEREK KE UIA KL....KE SK GETING.....

Saturday, May 8, 2010
Selamat bertemu kembali... kurang lebih seminggu saya tidak dapat 'up-date' blog ini. Kekangan tugas di luar dan kesibukan tugas menghalang saya untuk duduk dan 'bercerita' walaupun seketika. Apatah lagi talian 'dial-up' Telekom di rumah saya telah kantoi hampir dua minggu. Inilah akibatnya bila si penagih dan perompak tahu tentang nilai dan harga kabel yang digunakan oleh Telekom!! Sehingga hari ini, talian telefon di kawasan kediaman saya tidak dapat digunakan. Kadang-kadang terfikir juga, untuk apa sebenarnya bayaran RM23 setiap bulan sebagai bayaran tetap???
Minggu lepas saya benar-benar kepenatan. Rupanya betul. Menunaikan harapan dan hajat orang, kadang-kadang amat meletihkan... letih tenaga fizikal dan mental.
Bermula Ahad saya ke HUSM, Kubang Kerian. Rabu saya ke SK Jerek, Gua Musang. Itupun setelah pihak sekolah terpaksa meminda tarikh pertemuan sebanyak tiga kali. Perjalanan yang berliku-liku menerusi laluan Dabong-Jelawang yang memakan masa hampir 2 jam sudah cukup untuk memudarkan motivasi 'si MOTIVATOR'. Namun berhadapan dengan anak-anak tahun enam dan lima seramai 200 itu rupanya memberikan suntikan motivasi kepada saya untuk terus bersemangat. Sepuluh tahun dulu saya pernah ke sekolah itu. Satu perubahan yang sangat ketara ialah tentang sikap dan keberanian murid-muridnya. Jika 10 tahun dulu saya tanyakan tentang cita-cita, mereka hanya menjawab ingin menjadi guru, askar, polis.... Kini, saya tersenyum bangga kerana mereka rata-rata menjawab, ingin menjadi pensyarah, juruterbang, angkasawan, doktor pakar bedah dan jarang-jarang memilih guru.
Hanya seorang murid lelaki yang berjaya membuat saya dan guru-guru mereka ketawa besar.
"Awak pula apa cita-cita bila besar nanti?", tanya saya.
"SAYA NAK JADI RELA, cikgu!!!", jawab murid lelaki tersebut dengan kuat dan penuh yakin.
Alahai... Jerek...Jerek....

'SHARING & CARING'

Sunday, May 2, 2010
'Sharing & Caring' ialah satu program tahunan yang telah dilaksanakan oleh Sektor Psikologi dan Kaunseling, JPN Kelantan. Program ini diadakan sekali lagi pada 29 April 2010 bertempat di Perdana Resort, Pantai Cahaya Bulan. Program ini mempertemukan hampir 40 warga pendidikan yang terdiri daripada guru-guru dan staf seluruh negeri. Yang menariknya ia bukan seperti kursus-kursus biasa. Peserta kursus terdiri daripada warga pendidikan yang mengalami masalah kesihatan fizikal yang sederhana dan kronik.
Peserta berkongsi cerita dan derita sesama mereka. Sebagai fasilitator, pertemuan dan interaksi sebegini membuatkan saya begitu insaf betapa nikmatnya sebuah perkataan yang bernama 'SIHAT'. Ada diantara peserta yang mengalami penyakit kanser payu dara tahap 4 tetapi masih tetap bermotivasi meneruskan kehidupan dan kerjaya sebagai seorang guru! Seorang guru yang sakit jantung tahap 3 masih tetap hadir dengan bertongkat membuatkan kami rasa terharu. YABrs Pengarah Pelajaran Kelantan sempat meluangkan waktu memberikan titipan semangat kepada semua peserta kursus. Program seterusnya ditutup dengan rasmi oleh YBrs Hj. Ahmad Termizi (Ketua Sektor Psikologi & Kaunseling, JPNK).
Lalu saya teringat dengan kes-kes guru dan staf bermasalah disiplin yang dikendalikan di peringkat PPD....Mereka masih muda dan sihat walafiat! Tetapi kebanyakan mereka bermasalah disiplin kerja seperti ponteng, ingkar arahan ketua jabatan dan sebagainya ....MAAF kalau saya katakan bahawa mereka memang TIDAK BERSYUKUR dengan apa yang Allah berikan kepada mereka! Berbeza sungguh jika dibandingkan peserta kursus 'Sharing & Caring' itu yang ada di antara mereka ialah penerima ANUGERAH KHIDMAT CEMERLANG walaupun mempunyai masalah kesihatan yang serius.
Fikir, fikirkanlah......

'REMAJA BIJAK, BERFIKIR PUN BIJAK', EMOSI PUN BIJAK!'

Interaksi saya dengan pelajar SMSTMFP hanya berlangsung sekadar kurang lebih 1 jam sahaja. Isu yang saya kongsikan dengan pelajar-pelajar bijak ini ialah isu yang berkaitan dengan dunia remaja yang bergelar pelajar. Saya katakan bahawa sebagai remaja yang diiktiraf sebagai pelajar-pelajar bijak di Malaysia, mereka harus bijak dalam semua aspek. Semua orang bercakap tentang betapa perlunya bijak 'IQ'. Kita dengar juga orang bercakap tentang 'EQ' (walaupun jarang-jarang).
Apa itu 'IQ' dan 'EQ'? Bermacam-macam lah jawapan yang telah diberikan. Biarlah saya kongsikan dengan para pembaca dua 'Q' ini. Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa sebilangan ahli masyarakat sering menitikberatkan pembinaan 'IQ'. Tanpa disedari mereka seolah-olah telah mengabaikan kepentingan pembinaan 'EQ'.
'IQ' atau 'intelligent qoutient' merupakan kecerdasan intelek atau kepintaran akal. Apa yang berlaku sekarang ialah kita telah berjaya membina ramai pelajar-pelajar pintar dan bijak sesuai dengan perkembangan pendidikan yang begitu pesat. Pada masa yang sama ramai pelajar bijak ini tidak memiliki 'EQ' atau 'emotion qoutient'!. Akibatnya kita menerima berita dan peristiwa tentang pelajar remaja yang bijak melakukan salah laku disiplin dan salah laku jenayah.
Berita tentang mahasiswa menara gading bersalin dalam tandas, melakukan kesalahan jenayah, melakukan penipuan skala besar seperti menyamar, menyamun, seolah-oleh sudah menjadi biasa dewasa ini. Ini suatu situasi yang membimbangkan. KIta melahirkan remaja pelajar yang bijak otaknya tetapi miskin keseimbangan emosinya. Mereka sudah tidak dapat membezakan yang mana perkara buruk atau baik!
Di Faris, saya menyeru pelajar-pelajarnya menjadi pelajar yang bijak otaknya dan hebat emosinya. Mempunyai kekuatan mental, fizikal dan mampu mengawal emosi supaya mampu berfikir sebelum melakukan sesuatu perkara.
Pada saya, tidak ada gunanya kita memiliki 'pewaris' negara yang bijak-bijak semuanya tetapi tidak mampu mengawal emosi. Impaknya sangat menggerunkan. Boleh anda bayangkan?