GOATS & COWS VS THE TOBBACO!

Saturday, November 6, 2010
Pagi ini saya keluar seawal 6.55 pagi. Tujuannya untuk ke sekolah pendalaman dan singgah ke sebuah kedai nasi pagi di Pahi. Saya pernah makan di sana sekali. Rasa sesuai dengan selera walaupun kedai itu menyediakan nasi berlauk biasa sahaja. Seperti kali pertama saya ke sana meriah sungguh dengan pelanggan. Kedai yang berhampiran dengan sebuah kilang sawit terbesar di KK ini majoriti pelanggan tetapnya adalah pekerja ladang sawit. Seronok juga makan bersama kelompok ini. Mereka makan sambil bercerita dengan lantang sehingga jelas kedengaran pelanggan lain. Pelbagai topik menjadi pilihan.Paling popular ialah topik tentang famili dan kerja mereka seharian. Ada yang mengeluh tentang cuaca, tentang silap faham dengan mandur di tempat kerja dan sebagainya. Biar apapun perbezaan mereka dengan cerita mereka, saya dapat pasti tentang satu persamaan. Mereka sama sahaja dari aspek tabiatnya... TABIAT MEROKOK!
Makan sambil menahan nafas dek kerana kepulan asap rokok pelanggan di sebelah memang menyiksakan!
Memandu ke pejabat dalam cuaca yang lembap sambil merungut dalam hati. "Alamak, kuatnya bau asap rokok!". Memang benar, bau asap rokok menggantikan 'perfume' melekat keras di baju. Selepas pembentangan bajet oleh PM, saya gembira kerana cukai rokok dinaikkan. Seorang kawan beritahu harga sekotak rokok mencecah RM10! Gembira kerana ia mungkin akan jadi perangsang untuk perokok-perokok mula berhenti merokok. Sayangnya senario di kedai makan pagi ini dan di tempat kerja yang tidak putus dengan asap menjelaskan segala-galanya.
CATATAN:
1. Teringat tentang faktwa Majlis Fatwa Kebangsaan Tahun 2003, mengatakan bahawa MEROKOK ADALAH HARAM.
2. Tersenyum teringat kisah benar di Bachok dan Pasir Puteh (kawasan utama penanaman tembakau). Penanam tembakau tidak perlu membina pagar di ladang tembakau. Mengapa? Kerana lembu dan kambing di sana TIDAK PERNAH SUKA MAKAN DAUN TEMBAKAU YANG BERACUN!

SEHARI BERSAMA MU 'IBU KANDUNG'....

Thursday, November 4, 2010
Saya ke Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim pada Rabu lepas. Kali terakhir ke UPSI pada tahun 1998. Wajah UPSI ternyata berbeza. Lebih ceria dan meriah berbanding 12 tahun dahulu. Rasa gembira kerana dalam kesibukan namun sempat menjengah UPSI setelah 12 tahun. Tujuannya menghantar Tengku Nur Hanis (anak ke dua) abang saya untuk menghadiri temuduga. InsyaAllah, jika berjaya dia akan mula mendaftar sebagai mahasiswa UPSI pada Disember ini. Ramai sungguh lulusan STPM dan diploma dari pelusuk negara yang hadir untuk temuduga. Pelbagai bidang kursus yang ditawarkan. Dan sebagai universiti pendidikan, pastinya kursus-kursus ijazah pendidikan menjadi terasnya.
Berpusing keliling UPSI mengingatkan saya tentang sejarah tempat bersejarah itu. Masih segar teringat tentang kelas sejarah masa persekolahan dulu. Saya sangat minat dengan subjek sejarah. Makanya gred subjek Sejarah dalam SPM saya lebih baik daripada subjek lain. Berada di UPSI kini, saya segera teringat dengan nama 'IBU KANDUNG'. Sejarah UPSI bermula dengan Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) atau nama jolokannya 'IBU KANDUNG'. Terkenal sebagai institusi perguruan tertua di Malaysia. Di sinilah lahirnya pemimpin, tokoh akademik, tokoh-tokoh pendidik yang tega memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu. Tokoh-tokoh seperti Ishak Hj Muhammad (Pak Sako) dan Zainal Abidin Ahmad (Zaaba) yang dilahirkan oleh 'IBU KANDUNG' ini. Mengapa MPSI digelar 'IBU KANDUNG'? MPSI lah tempat yang mencetuskan idea-idea dan semangat cintakan kemerdekaan negara. MPSI lah tempat pertemuan cendikiawan Melayu membina kesepakatan semangat juang orang-orang Melayu. 
Saya tidak akan tahu itu jika saya tidak belajar sejarah. Terima kasih Cikgu Eh Wang, Cikgu Hilmin dan Cikgu Othman (kesemuanya sudah bersara).
CATATAN:
1. Ketara benar perbezaan bilangan calon wanita yang jauh lebih ramai berbanding calon lelaki. (1:3).
2. Calon-calon temuduga yang bersedia dari segi mental dan fizikal memilikki kelebihan dalam sesi temuduga dalam skala besar ini.
3. SESI TEMUDUGA IJAZAH PENDIDIKAN INI MEMANG SUKAR.... NAMUN MENJADI PENDIDIK AKAN JAUH LEBIH SUKAR! (Semoga semua bakal pendidik akan lebih bersungguh-sungguh dan mengerti)

SIAPA IDOLA KU....

Monday, November 1, 2010
Rakan-rakan guru di sekolah sering memberitahu tentang gelagat dan tabiat pelajar. Enam tahun bertugas di PPD menyekat pengetahuan saya tentang perkembangan 'real life' para pelajar di sekolah. Benarlah kata-kata, "jika benar-benar mahu menjiwai guru, beradalah di sekolah". Menarik juga jika saya kongsikan di blog ini satu persoalan yang penting tentang perkembangan remaja. Remaja bergelar pelajar ini sebenarnya masih keliru tentang idola atau 'role model' yang sepatutnya mereka contohi. Jika kita selongkar beg, buku malah dompet para pelajar pasti kita akan terkejut. Segala macam gambar dan segala macam 'gajet' yang tidak sesuai, apalagi untuk mencerdas dan mematangkan minda.
Gambar-gambar penyanyi, artis, kumpulan rock, heavy metal, imej-imej 'skin-head', penkid dan sebagainya. Saya bukan pembenci artis. Malah saya gemar dan tabik kepada artis-artis berbakat dengan menghasilkan ciptaan seni yang hebat. Saya sendiri minat kepada beberapa orang penyanyi hebat bersuara emas di Malaysia ini. Sayangnya, ramai sekali artis yang mempersia-siakan bakat yang ada dengan merosakkan diri mereka sendiri. Lepas satu persatu artis hebat yang saya minati terjerumus ke kancah penagihan najis dadah! Berita Utama malam tadi menyiarkan berita seorang penyanyi lelaki yang memang saya minati suaranya. Beliau dihukum penjara dua bulan kerana menyalahgunakan dadah. Belum disebut lagi aktor dan aktres yang hebat-hebat tetapi hebat juga dari aspek skandal negatif... Belum lagi dikira artis yang asyik bercerai berai... lalu saya tidak boleh salahkan remaja dan pelajar. Mereka pula bertanya, 'Siapa yang sepatutnya kami jadikan contoh dan idola?'.
CATATAN:
1. Idola utama yang sepatutnya menjadi contoh terbaik kepada anak-anak ialah ibu dan bapa.
2. Ibubapa juga perlu memandu anak-anak untuk mengenal pasti idola atau 'role-model' yang sepatutnya.
3. Peranan ibubapa memberikan ilmu dan iman kepada anak-anak agar mereka dapat membezakan antara yang baik dan buruk.