MERDEKA SEMENTARA...

Thursday, December 9, 2010
Malam tadi saya ke MRSM mengambil anak sulung dengan segala barang-barangnya. Dua tahun belajar di MRSM itu cukup mengisi penuh ruang kereta saya! Kini saya percaya kata-kata seorang kawan, barang-barang orang perempuan dua kali ganda berbanding lelaki. Nampak jelas di wajah tanda ceria bagaikan baru lepas bayar hutang! Merdeka katanya. Setelah berminggu-minggu berhempas pulas menghadapi SPM. Saya teringat zaman persekolahan. Tidak lengkap jika saya tidak berteriak kuat bila saja keluar dari dewan peperiksaan. Ketika itulah rasa lega dan hilang segala tekanan yang menyesak dalam kepala. Rupanya seronok buat begitu. Teriakan saya berterusan juga ketika belajar di M4P Pulau Pinang, IPDA, UKM. Teriakan terapi menghilangkan 'stress' itu berakhir ketika saya selesaikan sarjana. Barangkali umur begini tak sesuai lagi untuk berteriak di hadapan orang ramai.... lalu saya bertanya anak sulung saya, "Apa yang kakak buat selepas selesai saja exam?". Dia menjawab bersahaja, " Selesai saja exam terakhir, kakak terus lemparkan buku dan alat tulis!". Hah! saya tak pernah pun beritahu dia yang saya suka berteriak selepas exam!
CATATAN:
1. Teringat ungkapan 'LIKE FATHER LIKE SON'...jadi situasi saya ini mungkin 'LIKE FATHER LIKE DAUGHTER'!
2. Minggu lepas dua pelajar sekolah menengah di KK pengsan dan terpaksa di rawat di hospital. Khabarnya mereka terlalu stres dengan peperiksaan.
3. SANGAT PENTING UNTUK PARA KAUNSELOR MEMBERIKAN ILMU PENGETAHUAN TENTANG PENGURUSAN STRES KEPADA PARA PELAJAR. Sekurang-kurangnya menjadi langkah persediaan sebelum menghadapi peperiksaan.

TERIMA KASIH TEMAN-TEMAN!

Sukar nak digambarkan perasaan hari ini. Teman-teman kaunselor menjemput ke majlis ringkas (jika boleh dinamakan majlis)yang diadakan di KK. Teman-teman kaunselor yang telah menjadi sebahagian daripada 'team'. Pasukan yang jelekit dan mesra tetapi tetap komited melaksanakan tugasan masing-masing. Itulah kekuatan insan-insan bernama kaunselor ini! Bermesyuarat membincangkan agenda penting pun tetap ceria dan penuh celoteh gurauan. Namun setiap tugasan atau program berjaya dilaksanakan dengan berkesan. Hubungan kami yang akrab menjadi sebutan di PPD lain. Itulah antara pengalaman dan kenangan manis yang tidak mungkin dapat saya perolehi lagi selepas ini. Sesungguhnya saya terasa amat dihargai.. teringat kepada satu ungkapan dalam bahan bacaan yang pernah di baca.."KE MANAPUN ANDA PERGI, SENTIASALAH CUBA UNTUK MENJADI ORANG YANG MENYAYANGI DAN DISAYANGI"
CATATAN:
1. Terima kasih Abe Wel, Kak Za, Yan, Kamaliah, Adik Ku Lina, Bi, Zam, Sakri, Shook, Abe Zahari, Nazri dan semua kaunselor SM PPDKK.
2. Kenangan terindah ialah ketika bekerja bersama-sama kalian.

SALAM HIJRIAH 1432

Monday, December 6, 2010
Semalam (6.12.2010) saya ikuti sepenuhnya siaran secara langsung di TV1. Siaran bermula sebelum Maghrib hingga selepasnya. Menarik sungguh kerana dapat ikuti program yang sepatutnya diikuti oleh semua orang Islam di Malaysia. Mengikuti doa akhir tahun dan awal tahun dan seterusnya membaca surah Yasin menimbulkan ketenangan hati yang tidak tergambarkan. Program seumpama itulah yang seharusnya telah lama diberi keutamaan oleh pihak media terutama media kerajaan. Berbanding memberikan ruang dan promosi yang melampau kepada sambutan tahun baru Masehi. Bagaikan langit dan bumi bila menyaksikan sambutan tahun baru Masehi saban tahun di kaca TV. Muak mendengar pelbagai impak negatif yang terhasil daripada perhimpunan 'halal' yang dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti haram itu. Lalu kepada siapa yang harus dipersalahkan?
CATATAN:
1. Sedih bila dengar keluhan rakan-rakan guru dan kaunselor, "....yang membantu membina akhlak dan pekerti anak-anak remaja kurang sangat... yang 'membantu' merosakkan ramai sekali!".