SANI EKSPRES, PUTRAJAYA & ALAMANDA....

Wednesday, August 17, 2011
Liat memang terasa bila sahaja mengambil keputusan menggunakan Sani Ekspres. Risau pun ada bila terkenangkan tragedi dahsyat yang berlaku melibatkan bas. Lebih-lebih lagi bulan puasa begini. Ternyata pengalaman pertama dengan Sani tidak menghampakan. Perjalanan yang lancar dan selesa sepanjang malam. Berhenti bersahur di sebuah restoran tanpa bintang di Ketari. Meriah juga bila melihat penumpang bas berpusu ke arah menu semalam. Terhad selera melihat lauk pauk yang pastinya disediakan sejak awal petang. Menjeling jam hampir 4.35 pagi..entah berapa lama lauk pauk itu menjadi pameran. Tiada pilihan kecuali pilih seketul ayam goreng buat bekalan untuk berpuasa esok. Aduhh... beginilah perantau..
Sang Kenari menanti bersama kepanasan pagi Putrajaya. Saya mengambil keputusan untuk ke Masjid 'Besi' yang tersergam di tepi Tasik Putrajaya. Memang canggih dengan ruang letak kereta yang luas. Nyaman sungguh membersihkan diri dalam kesunyian 'Masjid Besi'. Sangat berbeza berbanding masjid Putra yang penuh dengan pelancong. Kedinginan Masjid Besi menggamit mata saya menjadi berat seketika. Namun apa daya, lawatan ke Bahagian Sekolah bakal bermula jam 9 pagi.
Ramadhan di Alamanda biasa-biasa sahaja. Cuma tak upaya untuk menjamu selera setelah penat berjalan. Di sana sini poster dan iklan jualan murah yang tentunya bertemakan hari raya. Lucunya apa yang saya lihat iklan jualan murah atau 'diskaun' itu akan ada sepanjang waktu! Saya pun hampir tergoda bila seorang Pakistani menawarkan 'diskaun' yang sangat menarik. Satu set catur buatan batu marmar Pakistan yang harganya RM340 ditawarkan RM120 dan kemudiannya menjadi RM90!!! Hanya untuk hari ini sahaja, Tuan!
Saya senyum kepadanya dan ucapkan terima kasih. Dia kata ok, dan tak kisah pun bila saya beredar dari tempat jualannya. Tiba-tiba bau enak menusuk ke hidung ketika melintasi kedai 'roti boy'... Wahai perut, tuan kamu berpuasa hari ini, bersabarlah....
Sani Ekspres yang sama, Putrajaya dan Alamanda tetap yang sama juga...apa yang sangat berbeza ialah Ramadhan.. Berbeza sungguh Ramadhan tahun ini..
Wahai Allah Yang Maha Pengampun...

KEMBALI KE LELUHUR KU....

Thursday, August 11, 2011
Melewati Kota Jembal ke SMK Sering membuakkan rasa sebak dan rindu.. Lepasi SMK Raja Sakti menerbitkan satu rasa rindu kepada leluhur. Wahai leluhur ku... hari ini cicitmu kembali ke tanah bertuah dan berdaulat, Kota Jembal.
Bagaikan tak terasa penat atau letih berpuasa, saya berinteraksi bersama calaon-calon SPM SMK Sering. Sebelunnya saya diberitahu bahawa 120 pelajar tingkatan 5 ini dari kelas hujung. Tiada motivasi dan keyakinan diri, apa lagi kesungguhan untuk menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia hujung tahun ini.
Saya terima permintaan dan cabaran ini. Peluh menitis di belakang dan tengkuk saya. Bercakap dengan nada suara yang lantang berlatarkan suhu dewan yang hangat amat merangsang liang peluh saya. Inilah keberkatan Ramadhan. Saya tidak merasa haus pun. Semangat saya membara kerana di hadapan saya anak-anak bangsa seagama yang suci dan tidak bersalah. Mereka perlukan bimbingan dan pertolongan daripada insan-insan bergelar pendidik. Hampir dua jam, saya tidak melihat seorang pun daripada anak-anak itu tertidur! Alhamdulillah. Mereka menerima saya sebagai seorang pendidik dan pembimbing yang niatnya mahu membantu. Membantu mereka celik akal dan hati bahawa Allah tidak akan mengubah nasib kecuali mereka sendiri yang menngubahnya.
Selamat berjaya wahai anak-anak SMK Sering, anak-anak Kota Jembal.. Saya harus cepat kerana di SM Vokasional, Tanah Merah, telah menunggu 140 insan-insan bergelar guru. Syukur, atas kurniaan kudrat ini... Alhamdulillah.

HILANGKAN NGANTUK SEKETIKA...

Friday, August 5, 2011
MENGGALI PETIKAN KATA-KATA SANG MOTIVATOR.
Seorang Motivator berkata: "Tahun-tahun terbaik dalam hidupku ku habiskan bersama seorang wanita yang bukanlah istri ku."
Hadirin terkejut dan terpaku...

Ia kemudian menambah , "Ia adalah ibuku."

Hadirin kemudian bertepuk tangan dengan gemuruh dan tertawa.
Mamat yang baru saja mengikuti seminar tersebut, kemudian mencuba hal ini di rumah. Setelah makan malam, ia berkata dengan lantang di depan istrinya di dapur,

"Aku menghabiskan tahun-tahun terbaik hidupku bersama seorang wanita yang bukan istriku."

Ia berhenti sejenak memejamkan matanya, cuba mengingati kalimat terakhir sang Motivator... Ketika Mamat membuka mata, ia mendapati dirinya terbaring di tempat tidur hospital, baru saja mendapatkan rwatan akibat siraman air panas...

Moral of the story:
Don't copy, if you can't paste.

----sumbangan: Mamat