BARANG NAIK......

Wednesday, October 26, 2011
>"Penjawat awam belum pun mandapat manfaat gaji naik dan bonus, peniaga dah mula ambil kesempatan...", kata Omar Osman (Presiden Cuepacs). Isteri saya merungut lagi. Katanya setiap kali berbelanja barang keperluan, ada saja barang-barang yang naik harga. Paling terasa bila harga susu tepung 'Superboy' kami pun turut naik. Belum dikira lagi barangan dapur atau barangan mentah keperluan memasak. Maka menyerulah sang Presiden Cuepacs minta para penjawat awam memboikot peniaga yang naikkan harga barang. Cara protesnya ialah dengan mengurangkan kekerapan ke pasar! Bukan maksud saya ingin sentuh tentang cara yang dicadangkan. Relevan atau tidak cadangan itu. Saya cuma ingin berbicara tentang nasib pengguna rakyat marhaen di Malaysia kini. Menghadapi hidup seharian dengan harga barangan keperluan yang tidak berhenti meningkat memang memeritkan. Barangkali derita ini tidak dirasai oleh sang menteri yang sering berkata, "Kita akan pastikan dan kawal supaya harga barangan keperluan tidak akan dinaikkan oleh peniaga..". Itulah ayat klise yang sering kedengaran di media elektronik. Namun ia tak sedikitpun mampu menahan badai kenaikan harga barangan. Persoalannya siapa yang patut dipersalahkan? Sang peniaga kapitalis yang hanya tentang mahu untung semata-mata? Atau sang penguatkuasa di lapangan yang belum cukup usaha dan kerja mengawal kenaikan harga? Ataupun sang penguasa yang milikki kuasa namun bagaikan tidak berbuat apa-apa? Catatan: Apabila para sahabat bertanya kepada Abdul Rahman bin Auf, "Bagaimana kamu mendapat untung berniaga unta sedangkan kamu menjual dengan harga yang sama kamu beli? (Maksudnya tidak ada untung langsung). Jawab Abdul Rahman bin Auf, " Aku hanya mengambil untung daripada jualan tali unta sahaja..". (Abdul Rahman bin Auf adalah salah seorang sahabat Nabi S.A.W. yang kaya raya. Terkenal dengan sifat pemurah sehingga sanggup menyerahkan semua hartanya demi memperjuangkan Islam). SANGAT JAUH BEZANYA DENGAN SIKAP PARA PENIAGA DI MALAYSIA TERCINTA INI, YANG SANGAT TAMAK DAN HALOBA.

DARI JIWA..........

Monday, October 24, 2011
Memang benarlah kata-kata Pak Samad Said, "menulis itu perlu dari hati dan jiwa...". Menulis melalui hati dan jiwa mengalir bagaikan air lancar alirannya. Susah benar saya rasakan untuk menulis di ketika jiwa dihambat kekalutan...hati yang berbalam-balam. Barangkali terlalu banyak yang perlu difikirkan. Atau saya yang kehilangan fokus dalam kembara kehidupan ini... Dia Yang Maha Penyayang... sentiasa memberikan penawar dan kesembuhan. Memandang wajah-wajah suci anak-anak generasi di SMK Kamil dan SMK Alor Pasir sememangnya memberi ketenangan. Semuanya tulus dan ikhlas mendambakan bimbingan dan perkongsian buat bekalan menghadapi SPM dan STPM. Mungkin mereka sudah muak dengan bebelan dan nasihat yang berjela-jela. Pastinya mereka memerlukan motivasi ekstrinsik daripada orang lain seperti saya. Paling penting ialah mengejutkan motivasi intrinsik yang ada dalam hati dan diri mereka. Perubahan sikap manusia perlu bermula dari dalam diri sendiri terlebih dahulu. Itu yang saya cuba lakukan kerana sesetengah pelajar masih belum menemukan motivasi ekstrinsik yang mampu mencetuskan motivasi intrinsik. Jika motivasi intrinsik telah mula wujud, manusia akan mula merubah sikap ke arah yang lebih positif. Secara mudahnya, pelajar (remaja) akan lebih mudah bermotivasi jika keinginan untuk belajar dan berjaya telah wujud dari jiwa....Belajar dari jiwa dan hati yang rela pasti impaknya kejayaan yang berganda. Catatan: Hari ini saya kembali menulis dari jiwa.....

BADAN & HATI..

Monday, October 17, 2011
November ini akan genap setahun saya bertugas di Genting. Penat dan lelah berulang alik setiap minggu bagaikan sudah lali. Gua Musang, Merapuh, Pagar Sasak, Kechau, Benta, Kuala Lipis, Raub, Mempaga, Bentong bla bla bla bla..... Setiap minggu menghafal jarak dan daerah. Menurun ke kampung terasa cepat dan ceria.. Kembali menongkah pergunungan setiap Ahad terasa begitu menyiksakan. Namun ikatan jiwa pada komitmen kerjaya membuat hati masih tetap bertahan dan bertahan... Walaupun runtunan hati menjerit memikirkan keluarga...Sampai bila? Hanya Dia Yang Maha Pengasih dan Penyayang mengetahuinya.