REMAJA OH REMAJA! (2)

Monday, March 29, 2010
Tidak adil rasanya jika tidak memberikan alternatif kepada remaja yang bergelar pelajar ini. Remaja yang positif dan berkualiti memilikki kemampuan untuk berfikir dengan matang dan bijak. Lalu saya ingin memberikan alternatif seperti apa yang telah saya lontarkan kepada pelajar remaja di dalam Program MAPAN di Bachok tempoh hari. Inilah ciri-ciri yang sepatutnya ada pada diri para remaja generasi pewaris bangsa dan negara tercinta.

R – Rajin, ’Respect’ (dirinya dan orang lain)

E – Efektif (kepada semua), Empati (kepada ibubapa)

M – Mampu (hadapi rintangan), 'Mantop'

A – Akur, Adil

J – Jaya, Jauh (berfikiran dan berpandangan jauh)

A – Allah (sentiasa di hati)

Saya ingin katakan kepada remaja bahawa Allah Yang Maha Adil tidak pernah zalim. Kita sentiasa diberi pilihan untuk kita pilih menggunakan akal fikiran yang waras. Pilihan adalah di tangan anda. Sama ada anda ingin menjadi remaja yang berjaya dan seterusnya berjasa kepada semua. Atau menjadi orang yang gagal, seterusnya menjadi masalah kepada semua orang??? Pilihan di tangan anda.

REMAJA OH REMAJA!

Saturday, March 27, 2010
Remaja oh remaja!
Saya mencabar minda dan emosi pelajar-pelajar sekolah menengah dalam PPD Bachok baru-baru ini. Tujuan saya ialah untuk mengajak anda berfikir dan bermuhasabah diri tentang fungsi dan peranan yang sepatutnya anda mainkan. Sebagai anak, anda perlu memahami bahawa tanggungjawab anda adalah besar dan penting! Semoga para remaja faham dan mengambil iktibar tentang tanggapan negatif yang dilemparkan oleh masyarakat masa kini terhadap remaja. Harapan saya semoga remaja akan faham bahawa segala tanggapan itu bukan sekadar tanggapan tetapi kenyataan yang mereka boleh lihat sendiri.

R – Rosak, Rempit

E – Elak (segala seruan ke arah kebaikan), Ego

M- Malas

A – Angkuh

J – Jahat, Jenayah

A – Akhir (tak kisah walaupun sentiasa ketinggalan dalam pelajaran!)

Persoalannya adakah para remaja mampu menafikan segala tanggapan sebegini? Tentu sahaja tidak kerana terlalu ramai remaja di luar sana yang melakukan segala perbuatan negatif tersebut. Mahu atau tidak mahu para remaja perlu menerima kenyataan ini. Saya ingin mengajak para remaja berfikir sejenak. Seterusnya mengambil sikap dan keazaman seterusnya membuktikan bahawa anda tidak termasuk dalam kategori remaja sedemikian.

MAPAN (2) PPD BACHOK

Pada 25 Mac 2010 yang lepas, PPD Bachok dengan kerjasama Majlis Aspirasi Pemangkin Nasional (MAPAN) telah mengadakan siri ke dua programnya. Kali ini kumpulan sasarannya ialah hampir 400 pelajar sekolah menengah dari sekolah dalam PPD Bachok.

Menerima undangan untuk menyampaikan ceramah bagi kali kedua daripada PPD yang sama merupakan satu penghormatan. Berinteraksi dengan pelajar-pelajar sekolah menengah tentu sekali amat berbeza jika dibandingkan dengan kumpulan murid sekolah rendah.

Dalam program pertama dengan murid sekolah rendah, saya terpaksa ’menurun’kan tahap input penyampaian ceramah selaras dengan kognitif murid sekolah rendah. Manakala bersama pelajar sekolah menengah, saya perlu cuba berfikir sebagai remaja. Berfikir dengan permasalahan mereka. Berfikir tentang kecenderungan dan minat mereka sebagai remaja. Cuba untuk memahami cara hidup mereka di sekolah. Cuba berfikir tentang konsep cinta remaja yang mereka fahami. Cuba memahami sikap dan keegoan mereka sebagai remaja. Itulah cabarannya bila menyampaikan ceramah di hadapan kumpulan pelajar remaja sekolah. Lebih-lebih lagi kategori pelajar adalah daripada kumpulan pelajar pelbagai peringkat pencapaian akademik dan sahsiahnya. Alhamdulillah, saya berjaya juga ’mengikat’ mereka supaya tidak keluar ke tandas beramai-ramai!