'QUALITY TIME'

Saturday, October 30, 2010
Alhamdulillah. Hari hari cuti sempena kemenangan 'Red Warrior' membawa pulang Piala Malaysia. Rupa-rupanya kemenangan bersejarah pasukan Kelantan membawa rahmat kepada semua. Seronok berada di rumah dengan anak-anak dan keluarga. Bukan kerana seronok tidak bekerja tetapi gembira kerana masih ada satu hari lagi untuk melepak dan makan bersama. Kekangan tugas sering menyebabkan saya meninggalkan mereka. Banyak sungguh perkara yang saya ketinggalan. Saya kagum dengan Umi mereka yang masih tetap ingat tarikh lahir setiap anak-anak! Melihat anak-anak membesar begitu cepat boleh merisaukan juga. Bimbang tidak dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab menjaga amanah Allah ini... Mungkin atas sebab itu saya lebih suka melepak bersama anak-anak dan keluarga; berbanding lepak bersama rakan di warung kopi. Saya tahu mungkin meninggalkan mereka lagi....
CATATAN:
1. Pada saya, jika semua ibubapa benar-benar memanafaatkan 'QUALITY TIME' mereka bersama anak-anak....saya yakin usaha 'MEMANUSIAKAN MANUSIA' akan lebih berkesan.
2. Terfikir juga bagaimana rakan-rakan yang ada 2 'rumah'? Pastinya saya TABIK mereka kerana MAMPU berbuat begitu!

KELATE MEME GOMO!!!

Meriah sungguh rumah saya malam ini. Abang saya dan tiga anaknya berkelah di rumah saya. Berbekalkan meehon goreng dan keropok kami berteriak dan bersorak bersama. Berbaloi sungguh berkumpul malam ini. Memang jarang sangat kami dapat berkumpul sambil menonton bolasepak!
Akhirnya naluri saya tepat kali ini. (Seperti yang saya tulis petang tadi...).
Kelantan berjaya juga mencipta sejarah menjadi juara Piala Malaysia setelah 3 kali menjadi naib juara sepanjang sejarah Piala Malaysia. Teringat sms seorang kawan sejurus selepas Kelantan menang, "SUNGGUH BANGGA JADI OGHE KELATE MALAM NI! YAHOOO!"
CATATAN:
1. Menteri Besar Kelantan meluluskan cuti umum esok (31.10.2010) sempena kemenangan pasukan Kelantan.
2. Seronok kerana menyaksikan Stadium Bukit Jalil berjaya 'MEMANUSIAKAN MANUSIA' yang bergelar penonton untuk menikmati perlawanan bola sepak tanpa unsur-unsur keganasan dan kekacauan.
3. KECERGASAN FIZIKAL DAN KECERDASAN OTAK menjadi syarat utama untuk mencapai kejayaan dalam apa-apa bidang sekalipun.

KAKI GADUH!

Thursday, October 28, 2010
Tahniah kepada pasukan 'Red Warrior' yang berjaya sekali lagi ke final Piala Malaysia!
Sebagai rakyat Kelantan jati saya berasa bangga dengan kejayaan ini. Firasat saya kuat menyatakan bahawa kali ini Piala Malaysia akan di bawa pulang ke Tanah Serendah Sekebun Bunga ini. InsyaAllah. Teringat masa belajar di Pulau Pinang lewat 80an dulu. Tebal telinga dan geram rasa bila sering dilabel sebagai kaki gaduh dalam apa-apa acara sukan pun! Itulah label stereotaip yang menjadi sebutan rakan-rakan dari negeri lain. Sedangkan sepanjang 3 tahun di Pulau Mutiara tak pernah pun bergaduh dalam perlawanan bola sepak atau hoki yang saya terlibat.
Secara peribadi sedih juga bila ada segelintir penyokong sebuah negeri baru-baru ini mengadakan demonstrasi. Bantahan kononnya bimbang dengan 'keganasan' yang akan dilakukan oleh penyokong pasukan Kelantan. Seolah-oleh hanya penyokong pasukan Kelantan sahaja yang 'ganas' atau suka melakukan kekacauan! Baru-baru ini berlaku kekacauan dan keganasan yang berlaku dalam perlawanan antara dua buah negeri. Yang pastinya bukan melibatkan Negeri Kelantan! Pada saya itu contoh mudah dan nyata bahawa bukan penyokong Kelantan asyik buat kacau. Mana-mana penyokong dari negeri manapun pasti akan melakukan 'kekacauan' jika mereka hilang pertimbangan akal dan emosi!
CATATAN:
1. Malam ini (30 Oktober 2010) Kelantan akan bertemu Negeri Sembilan dalam final Piala Malaysia.
2. Naluri saya kuat dan yakin Kelantan akan mencipta sejarah membawa pulang Piala Malaysia ke bumi Kelantan.
3. Seorang tua pernah berkata kepada saya, 'Oghe Kelate ni susoh nok kuca oghe. Tapi bilo oghe kuca dio, meme dio tak laghi. Oghe Kelate ni, kalu dio jjuruh, jjuruh sengoti.. kalu dio mula jahat, dio jahat sengoti!'. (Itu kata orang tua itu kepada saya. Sejauh mana kebenarannya, anda lihat dan nilailah sendiri....)