SELAMAT TAHUN BARU 2011!

Friday, December 31, 2010
Almarhumah nenda saya pernah berkata, semakin bertambah usia bumi semakin cepat terasa hari-hari berlalu. Waktu bermain seharian semasa kecil terasa panjang sungguh. Berbanding waktu bekerja ketika dewasa begitu cepat waktu dan hari-hari berlalu. Setahun sudah menjalani kehidupan dalam 2010 ini bagaikan semalam sahaja melihat sambutan tahun baru. Terasa benar juga kata-kata almarhumah nenda saya itu. Sedar tak sedar sudahpun berada di hari terakhir tahun 2010. Hakikatnya terlalu banyak perkara yang belum selesai. Bagaimanakah agaknya mahu memasang impian dan azam untuk tahun baru 2011? Sedangkan banyak lagi impian dan azam tahun 2010 yang masih belum direalisasi. Saya sangat pasti tahun 2011 akan menjadi tahun yang amat mencabar buat diri saya. Di tempat kerja baru ini tentunya bidang kerjaya saya semakin mencabar dan sukar. Beralih kepada bidang kerja yang sangat berbeza dari sebelumnya, membuat saya risau juga. Mampukah saya memberikan yang terbaik untuk kerjaya baru ini? Mampukah saya mengekalkan kekuatan dan semangat diri di tanah tinggi ini? Mampukah saya tetap segar bertenaga mendaki ketinggian berkabus dan berselekoh tajam berkabus tebal ini? (untuk tempoh yang panjang). Namun keputusan telah dibuat. Mengundur ke belakang, menyerah kalah bukan prinsip saya. Semoga Allah SWT sentiasa mengurniakan kekuatan dan kesihatan berkekalan kepada saya untuk meneruskan cabaran kehidupan ini. Doa saya juga, semoga semua pemantau blog ini juga akan beroleh kesejahteraan dan kejayaan pada tahun 2011. Amin ya Rabbal 'alamin.
CATATAN:
1. 'SEMOGA HARI INI LEBIH BAIK DARIPADA SEMALAM DAN ESOK AKAN LEBIH BAIK DARIPADA HARI INI!'

HIDUP PERLU TERUS!

Thursday, December 30, 2010
Terharu hati saya ketika menerima panggilan telefon petang tadi. Pemanggil yang tidak saya kenali ini benar-benar membuat saya sayu. Dia tidak pernah kenal saya dan saya pun begitu. Katanya dia kenal saya melalui blog kecil ini. Saya pun tidak pasti bagaimana dia mula ikuti blog ini. Baru sahaja menamatkan pengajian ijazah di sebuah universiti awam. Mungkin dengan secara tidak sengaja dia 'menjenguk' blog ini. Jujur suaranya menerangkan sedikit latarbelakang diri yang tidak punyai ibu dan ayah. Berusaha dan ikhtiar sendiri mencari pekerjaan setelah bergelar graduan. Saya amat memahami kesukaran dan kerisauan yang dia alami. Bukan senang untuk mendapat pekerjaan walaupun sudah bergelar graduan universiti.
Saya mempunyai pengalaman sebagai panel temuduga GSTT di tempat kerja lama. Calon-calon yang hadir temuduga terdiri daripada graduan-graduan universiti. Ada yang telah sepuluh tahun bekerja sebagai penyelia di sebuah restoran makanan segera di ibukota. Ada yang telah enam tahun bekerja di kilang. Ada calon yang menangis di hadapan saya ketika itu kerana terlalu mengharapkan supaya dipilih! Pengalaman seperti itu menyebabkan saya jadi lebih sedar perjuangan anak muda lepasan universiti. Mereka rajin dan bersemangat. Silap besar jika ada orang yang mengatakan bahawa graduan univerisiti kita malas atau memilih kerja. Petang ini lebih meyakinkan saya lagi bahawa ramai graduan kita kuat daya usaha dan inisiatif mereka untuk meneruskan kehidupan...
CATATAN:
1. Semoga graduan yang menelefon saya petang tadi akan dapat mencapai impian untuk mendapat pekerjaan.
2. Terfikir saya tentang nasib anak-anak sendiri nanti...
3. Teringat juga satu ungkapan yang pernah saya baca, "ORANG YANG TIDAK MAHU BERUSAHA BAGAIKAN ORANG MATI SEBELUM TUA!"

SAKIT GIGI VS 'BAD MOOD'

Thursday, December 23, 2010
Orang kata, jangan bergurau dan main-main dengan orang yang sedang sakit gigi. Begitu juga dengan orang yang 'bad mood'... Persoalannya bagaimana kita nak mengenalpasti seseorang itu sakit gigi atau 'bad mood'?
Kalau orang itu sakit gigi mungkin mukanya berkerut di dahi menahan sakit. Orang 'bad mood'? Sukar juga untuk kenal orang 'bad mood' ini... sebab ramai orang boleh menyembunyikan mood mereka yang ssbenar. Namun ramai juga yang memang tidak berbakat menyembunyikan emosinya. Ketara atau tidak 'bad mood' seseorang bergantung kepada kemampuan dan kebolehan mereka sendiri.
Sebelum ini saya tidak tahu tentang betapa sakit gigi kerana saya tidak pernah sakit gigi.. alhamdulillah.
Semalam, saya merasai bagaimana deritanya sakit gigi! Dalam usia hampir setengah abad, akhirnya gigi pertama saya sakit dan terpaksa dicabut! Memang derita. Berbekalkan 2 biji pil penahan sakit yang dimakan namun denyutan sakit melewati hingga ke malam...Semuanya menjadi tidak tentu hala. Pendapat menjadi tidak bernas. Pemikiran menjadi tumpul. Ketawa riang anak-anak menjadi bunyi yang menyesakkan telinga dan hati!
Begini rupanya bila kita sakit gigi.. apalagi pada masa sama perlu berkomunikasi dengan orang yang 'bad mood'! Ia menguji kesabaran sungguh.
Syukur kerana saya mampu memahami orang 'bad mood' ini. Saya faham orang 'bad mood' ini memerlukan perhatian dan 'telinga'. Jadi saya memiliki telinga dan hati untuk mendengar orang 'bad mood' ini. Hasilnya, saya dapat berkomunikasi dengan lancar dan berkesan dengan orang 'bad mood' tersebut. Saya berfikir, "Sebab apa ye?". Saya faham sekarang kerana saya tidak beritahu pun yang saya sedang sakit gigi pada masa itu!
CATATAN:
1. Kata bijak pandai, mulakanlah hari-hari anda dengan senyuman dan emosi yang baik dan ceria.. pasti hari-hari anda akan begitu.
2. 'Mood' atau emosi adalah hak individu yang amat bergantung kepada individu itu sendiri untuk memilih.
3. Seseorang perlukan waktu tersendiri untuk urusan sendiri dengan duduk sendiri sambil memikirkan diri sendiri.....
4. Dan saya...ianya satu peringatan kepada diri bahawa usia telah meningkat lagi!