DURIAN...
Thursday, September 29, 2011
Hidung saya dan kawan satu khemah awal pagi itu ditusuk dengan bau durian yang kuat. Sambil menggosok mata saya sempat menyuluh jam tangan...baru pukul 6 pagi. Gelap pekat menyelubungi tapak perkhemahan kaki gunung Tahan ini.
"Kau ada bau tak?". "Ada, aku ada bau durian kuat ni!" "Ada pokok durian ke area ni?". "Aku nak gi cari lah"..
Lalu kawan saya terus capai lampu suluh dan menghilang dalam kegelapan. Saya biarkan dia pergi sendiri dalam kegelapan Taman Negara dan saya melayan mata yang masih mahu pejam. Dingin pagi di pergunungan membuatkan saya lebih berminat menarik selimut kembali. Tiba-tiba saya dengar bunyi ranting dan daun di tepi khemah iglu kami. Rupa-rupanya kawan saya kembali dari pencariannya. Dua biji durian sederhana besar di tangannya. "Aku dah kata dekat sini ada pokok durian!". Jerit kawan saya agak kuat. Seronok sungguh dia dengan durian Taman Negara. "Wah, boleh makan durian la kita!". Saya senyum kerana saya tahu itupun bakal jadi 'rezeki' saya juga.... Selesai solat subuh, kawan saya tak sabar lagi nak bersarapan dengan durian. Belum sempat durian dikerjakan, tiba-tiba saya terlihat kelibat lelaki menuju ke khemah kami. Jelas kedengaran suara rungutan yang saya tak faham langsung. Kepalanya berpaling kiri dan kanan bagai mencari sesuatu. Kawan saya dengan pantas membaling dua biji durian di depan kami ke dalam semak! Baru saya faham orang asli itu mencari durian. Barangkali dia hairan gila bila tidak ada durian yang gugur pada pagi itu! Kecut perut saya memandang lelaki asli bertubuh sasa dan tak senyum itu. Dia terus memandang saya dan kawan tanpa berkata apa-apa. Nasib baik sungguh kerana dia dia berlalu tetapi suara merungut yang tidak henti-henti.
Peristiwa yang dah lama saya alami itu muncul kembali di ingatan saya. Seorang rakan sejawat dari Jerantut mengirimkan durian kepada saya. Terharu sungguh dengan ingatannya. Sayangnya durian itu bukan rezeki saya untuk kali ini. Bukan dimakan oleh orang asli tetapi durian itu menjadi rezeki rakan-rakan yang saya sayangi jua.....kerana saya bertugas di luar pejabat.
CATATAN:
-Durian bukan ukuran sebuah persahabatan..namun ingatan menjadi ikatan sebuah silaturrahim. Terima kasih Pinah....
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment