MERDEKAKAH KITA?

Tuesday, August 31, 2010
Saya ucapkan SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN YANG KE 53 kepada semua pemantau dan pembaca blog ini. Seorang teman membalas kata-kata saya lantaran saya melekatkan JALUR GEMILANG di cermin keretanya. "Semangat dan jiwa patriotik itu ada di dalam hati, di dalam dada kita... tidak semestinya di tunjuk-tunjuk!". Tidaklah bermaksud untuk membahas kata-katanya itu. Saya juga percaya setiap orang punya cara tersendiri untuk menzahirkan kecintaan dan semangat petriotik kepada negara tercinta ini. Namun bagi saya, suasana itu akan menerbitkan keghairahan untuk menyambut hari bersejarah ini. Maksud saya, jika suasana meriah ia akan menarik orang untuk turut sama menzahirkan semangat patriotik itu. Terkilan juga ada di benak saya bila saja menonton TV pada 31 Ogos. Maka benak si kaunselor ini terus bertanya.....
1. Merdekakah kita jika berita utama di media TV memaparkan 23 teruna dan dara Melayu beragama Islam di tahan kerana 'merayakan' hari merdeka di bilik-bilik hotel murah?
2. Merdekakah kita jika saban hari kita disogok dengan berita-berita panas; seorang bapa merogol anak sendiri, seorang abang menjadikan adik perempuannya sebagai hamba seks?
3. Merdekakah kita jika setiap kali dipaparkan berita artis-artis mengerjakan haji dan umrah... namun setiap kali selesai mengerjakan ibadah mulia itu, mereka terus-terusan membuka aurat dan berpakaian ketat?
Tidak juga untuk mencari salah siapa. Sekadar membuka minda dan celik akal, apakah peranan kita dalam usaha untuk MEMANUSIAKAN MANUSIA ini?

AKU DAN POLIS (PART 2)

Friday, August 27, 2010
Tanggal 23 Ogos 2010, saya dijemput untuk menyampaikan satu ceramah bertajuk, "KOMUNIKASI SPIRITUAL PEMANGKIN ORGANISASI CEMERLANG". Menarik sungguh tajuk berkenaan. Lebih-lebih lagi bersempena dengan bulan Ramadhan ini.
Paling menarik bagi saya ialah pihak yang menjemput saya kali ini ialah POLIS DI RAJA MALAYSIA. Aduhhh, cukup ironis dan bernostalgia. Setibanya di Ibu Pejabat Polis Kota Bharu, saya di sambut oleh urusetia penganjur program. Kumpulan pendengar saya terdiri daripada anggota polis pelbagai unit, staf awam yang bertugas di IPDKB dan beberapa orang pegawai. Hening dan tertib sungguh dewan dengan audien yang penuh berdisiplin.
Subhanallah... saya berkongsi ilmu dan memberikan input hadapan POLIS hari ini. Berkongsi tentang komunikasi intepersonal (manusia dengan manusia lain) yang bersumberkan konsep ketuhanan dan kenabian.
Catatan :
1. Saya amat yakin dan percaya, semakin banyak berkongsi ilmu dengan orang lain, akan bertambah juga ilmu untuk diri sendiri.
2. SAYANGNYA, anggota polis yang berlaku kasar terhadap saya lebih 20 tahun lalu tidak ada di hadapan saya hari ini...
3. Hakikatnya, saya tidak lagi menyimpan rasa BENCI itu lagi... kerana saya tahu anggota polis itu TIDAK MEMILIKKI KEMAHIRAN BERKOMUNIKASI SECARA SPIRITUAL! 
4. SYUKUR KEPADA MU, YA ALLAH...DENGAN ANUGERAH INI.

AKU DAN POLIS....

Pagi itu lewat sedikit keluar dari rumah untuk ke sekolah. Naik bas dari G ke bandar KK dengan tambang 30 sen terasa lama kerana risau lewat ke sekolah. Sebagai Pengawas sekolah dan Kopral Kadet Polis, lewat ke sekolah bukan menjadi kebiasaan. Setibanya di Bandar KK, aku terpaksa berjalan kaki pula masuk kurang lebih 1 km untuk ke sekolah. Laju sungguh aku berjalan pada masa itu. Dalam situasi kelam kabut itu, muncul seorang kawan sekolah yang menunggang basikal dari belakang. Pucuk di cita ulam mendatang le.. aku terus saja melompat membonceng basikal itu. Alhamdulillah.. aku menarik nafas lega.
TIBA-TIBA aku bagaikan di tarik ke sisi dan hampir jatuh! Rupa-rupanya seorang anggota polis berunifom lengkap menarik kolar baju sekolah ku. Terkejut dan ketakutan bukan main! Maklum lah budak sekolah tingkatan lima ditarik kolar baju oleh anggota polis!
"Kurang ajar ye engkau! Tak respek aku.... bla bla bla.......". Terkedu dan menggigil aku ketika itu tanpa dapat memberikan alasan atau membela diri. Malu dan aib sungguh di hadapan kawan-kawan sekolah. Kesalahan ku cuma kerana membonceng basikal kawan kerana lewat ke sekolah!!! Sejak peristiwa itu aku (seorang pengawas sekolah kopral kadet polis) menjadi trauma dan benci sungguh kepada penjawat awam yang bergelar POLIS. Sedangkan sebelum ini, aku minat gila dengan POLIS hingga sanggup mohon menyertai kadet polis.
Catatan :
1. Peristiwa itu berlaku lebih 20 yang lalu namun ia tetap segar dalam ingatanku.
2. Benak ku sering terfikir adakah ini tugas seorang anggota polis yang tugasnya melindungi masyarakat?

SELAMAT HARI WANITA

Wednesday, August 25, 2010
TELAH KU SIAPKAN SUATU DAERAH PALING SUNYI
DALAM HATI UNTUK KAU ISI.. SEBAGAI ISTERI..
UNTUK KAU PENUHI DENGAN KEMULIAAN SEORANG WANITA
UNTUK BERI ERTI DENGAN KESETIAAN..
UNTUK KAU HARGAI DENGAN KASIH SAYANG
KU INGIN KAU JADI WANITA MULIA
YANG TAHU HARGA BUDI DAN HATI
SEORANG LELAKI BERNAMA SUAMI ......(KOPRATASA 80')
Begitu puitis sekali bait-bait senikata lagu kumpulan Kopratasa di era 80' ini... pada saya ia suatu hasil seni yang memberi penghargaan tinggi kepada insan yang bernama wanita. Sayangnya saya tidak ingat keseluruhan senikata lagu ini.
CATATAN:
1. Jika seorang gadis sedar bahawa seorang wanita itu sememangnya dimuliakan oleh Allah SWT, maka dia pasti tidak akan redha kesuciannya dinodai.
2. Jika wanita itu faham bahawa merekalah golongan pertama akan dizinkan Allah masuk syurga, maka pasti mereka akan menjaga maruah dan kesetiaan seorang isteri.
3. Jika seorang wanita yang menjadi ibu itu berilmu dan beriman, maka dia tidak akan sewenang-wenangnya membuang dan membunuh bayi daripada kandungannya sendiri!

APA RASIONALNYA...?

Tuesday, August 24, 2010
Tentu para pembaca tertanya-tanya mengapa saya paparkan semula tulisan saya pada bulan April.
Saya mengira bahan itu sangat relevan dengan peristiwa dan kejadian salah laku para remaja masa kini. Bagaikan tidak dapat dibendung. Dari sehari ke hari, kita di paparkan dengan kejadian yang memilukan, menyayat hati.. bayi yang tidak berdosa dibuang, dibunuh dengan sewenang-wenangnya. Ia berlaku di negara tercinta kita ini bagaikan kita berada di sebuah negara yang tidak bertamadun dan beragama!
Mengapa remaja kita lebih cenderung mengambil contoh buruk dari negara Barat? Sedangkan banyak perkara-perkara positif yang boleh diambil iktibar. Kegigihan Bill Gates sehingga berjaya menjadi bilionair dalam bidang ICT. Kesungguhan Graham Bell yang cuba mencipta telefon sebanyak 999 kali sehingga berjaya. Impaknya berlangsunglah teknologi telefon yang sangat canggih hari ini!
Catatan :
1. Remaja yang berakal dan beragama tahu membezakan perkara baik yang perlu diakukan, dan apa yang buruk mesti di hindarkan.
2. Saya memberi ruang kepada para pembaca remaja blog ini agar mereka ada ruang menggunakan akal fikir mereka dengan sewajarnya.

KETIKA CINTA BERTASBIH (2)...tulisan bulan April.

Saturday, August 21, 2010
Akhirnya, hari cuti minggu lepas memberikan peluang untuk saya duduk bersama anak-anak dan menonton KETIKA CINTA BERTASBIH....
Menonton filem KETIKA CINTA BERTASBIH (KCB) bersama anak-anak merisaukan saya juga. Maklumlah ini kisah cinta remaja yang mungkin dipenuhi dengan dengan adegan-adegan menjolok mata. Babak demi babak diikuti. Hati saya berkata, ”Ini bukan kisah cinta remaja biasa ni...”. Memang benar. Tidak ada adegan berpegangan tangan, tidak ada adegan berpelukan, tidak ada adegan di disko yang selalunya memperlihatkan remaja sedang meneguk ’kencing syaitan’....(lazimnya dipaparkan dalam drama Melayu di Malaysia!). Tetapi KCB ini berjaya menarik perhatian saya untuk terus ingin tahu perjalanan cerita. Kebijaksanaan orang-orang seni filem KCB ini memberikan watak-watak yang sesuai kepada setiap pelakonnya ternyata menjadi.
Filem yang diangkat dari novel ini ternyata memberikan satu dimensi baru dalam memperkatakan cinta remaja. Tidak sia-sia saya mengambil kesempatan untuk menonton filem ini bersama anak-anak. Banyak nilai-nilai dan mesej yang boleh saya terapkan ke dalam minda dan pemikiran anak-anak.
Saya fikir para pembaca remaja perlu menonton filem ini. Bukan hanya kerana para pelakonnya utamanya cantik-cantik dan ‘ganten-ganten’ (kata orang Indon), tetapi yang paling penting ialah NILAI-NILAI yang dibawa dalam KCB ini. Ketika Eliana (anak Duta) menawarkan sebuah ciuman kepada hero filem ini sebagai hadiah, ringkas dan padat jawab si hero, “Itu bukan hadiah tetapi musibah!”. Si hero berani menolak dan mengatakan tidak kepada si Eliana yang cantik paras rupanya hanya kerana satu sebab sahaja. Tidak lain dan tidak bukan ialah kerana nilai keimanan Abdullah Khairul Azam! Inilah yang saya katakan bahawa filem KCB tidak memberi ‘nasihat’ yang berjela-jela tetapi mengajak penonton berfikir.
Saya kagum dengan prinsip dan pegangan yang Abdullah Khairul Azam lontarkan kepada Eliana bila ditanya mengapa AKA menolak tawarannya….
“SETIAP ORANG PASTI PUNYA PRINSIP DALAM HIDUPNYA. BIASANYA APA YANG DIYAKINI KEBENARANNYA. PRINSIP HIDUP SAYA BERDASARKAN AL-QURAN DAN HADIS. DALAM AGAMA KITA (ISLAM) MASALAH KESUCIAN ITU HARUS DIUTAMAKAN. DI ANTARA KESUCIAN-KESUCIAN YANG HARUS DIJAGA IALAH KESUCIAN HUBUNGAN ANTARA PRIA DAN WANITA. KALAU SAYA MELAKUKAN CIUMAN TERHADAP WANITA YANG TIDAK HALAL BAGI SAYA, BERERTI SAYA TELAH MENODAI KESUCIAN DIRI SAYA SENDIRI DAN JUGA MENODAI KESUCIAN WANITA ITU JUGA...”

REMAJA MELAYU MALAYSIA VS REMAJA PALAESTIN

Friday, August 20, 2010
Seorang rakan memberikan saya sekeping CD tentang gerakan dan perjuangan umat Islam Palestin. Video sepanjang 45 minit itu amat menarik perhatian saya. Video rakaman sebenar dari Palestin itu amat mendebarkan dada. Melihat keberanian seorang anak Palestin berusia 8 tahun menghalang pergerakan kereta kebal, pemuda Palestin berusia belasan tahun menjadi pejuang dan syahid di tembak tentera Israel....Kekuatan motivasi dan semangat juang yang ada pada anak-anak Palestin ini sudah cukup membuat saya berfikir panjang.
Lalu akal fikir saya menerawang membuat perbandingan dengan para remaja dan anak-anak sekolah di Malaysia.
REMAJA PALESTIN                                            
1. Mati di tembak Israel ketika ke sekolah       
2. Belajar penuh semangat di bawah runtuhan   
3. Berjihad demi agama                                            
4. Badan kuat walaupun makan roti kering!                           
5. Kahwin awal melahirkan PEJUANG AGAMA
      
REMAJA MELAYU MALAYSIA:

1. Mati 'katak' kerana dadah/merempit
2. Suka ponteng & tiada motivasi walaupun belajar di sekolah hebat
3. Bergaduh sakan kerana 'cinta monyet'!
4. Badan lemah/lembik walaupun makan macam-macam! (McD, KFC, Pizza dll.)
5. Seks haram dan BUANG BAYI !!
Catatan :
1. Renung-renungkanlah wahai anak bangsaku..... agar kita tidak lemas dan tenggelam dalam kealpaan.    

RELAKS SEKEJAP...

Seorang pegawai polis masuk ke bilik mayat sebuah hospital untuk menyiasat punca kematian tiga lelaki sekaligus. Selepas memeriksa mayat-mayat itu, dia bertanya kepada penjaga bilik berkenaan.

Polis : Mengapa ketiga-tiga mayat tersenyum?

Penjaga : Lelaki pertama sedang bersanding, apabila tiba2 diserang strok.

Lelaki kedua pula khabarnya menang loteri dan mati serangan sakit jantung manakala yg ketiga disambar petir.

Polis : Hah! Kenapa disambar petir pun tersenyum?

Penjaga : Masa tu dia ingat orang sedang ambil gambarnya...

Sambungan....menguasai Bahasa Inggeris

Sunday, August 15, 2010
7. Cari kawan untuk belajar dan bercakap dalam BI. Belajar BI bersama-sama rakan akan banyak membantu. (Elakkan kawan yang berfikiran negatif tentang BI)

8. Buka mulut! Latih bercakap apa yang dipelajari dengan kuat. Ia mungkin kedengaran pelik sedikit tetapi memang terbukti sangat berkesan!
9. Bersabarlah dengan diri sendiri. Ingat, belajar adalah merupakan satu proses. Belajar bercakap BI memerlukan masa. 
10. Berkomunikasilah! Tidak salah berkomunikasi dalam BI dengan orang lain. Ia akan membantu memantapkan tatabahasa. Cuba tulis email dalam BI dan anda akan gembira jika rakan dari negara lain memahami maksud email anda!
11. Selalu guna internet kerana internet menyajikan penggunaan BI yang tiada limitasinya dengan hanya menggunakan hujung jari!

TIPS MENGUASAI BAHASA INGGERIS

Thursday, August 12, 2010
1. Pastikan anda tahu objektif mengapa sangat perlu belajar dan menguasai Bahasa Inggeris. Jelas tentang apa yang ingin dikuasai sebenarnya.
2. Jadikan belajar BI sebagai tabiat. Cuba belajar sesuatu setiap hari. Lebih baik jika anda belajar membaca, mendengar berita dalam BI atau pun dengar lagu-lagu dalam BI.
3. Paling minima anda perlu belajar BI 10 minit setiap hari atau 2 jam seminggu (Ingat, itu paling minima).
4. Jika anda belajar BI 10 minit setiap hari, BI akan 'hadir' dalam kepala anda. Jangan harap anda akan meningkat dalam BI jika hanya belajar 10 minit seminggu!
5. Carilah kawan belajar dan bercakap dalam BI. Belajar BI bersama kawan akan saling membantu dan memberi motivasi.

6. Pilih untuk membaca atau mendengar bahan-bahan BI yang ada kaitan dengan apa yang anda minati. (Contoh: Jika anda minat bolasepak, bacalah artikel BI tentang perkembangan bolasepak atau bintang bolasepak pujaan anda!)
Bersambung......

TERIMA KASIH MANEK URAI, SABARLAH RANTAU PANJANG...

Wednesday, August 11, 2010
Sebelum ini saya telah tuliskan tentang penghargaan dan layanan yang diberikan oleh pentadbir-pentadbir sekolah terhadap saya. Kerencaman dan kepelbagaian personaliti menjadikan manusia itu unik dan kadang-kadang pelik juga. Saya juga pernah sebutkan tentang sesetengah sekolah yang sering membuat saya terharu dengan penghargaan yang diberikan. Kadang-kadang saya pula merasa penghargaan yang diberikan tidak setimpal dengan apa yang saya sumbangkan.
Memenuhi jemputan dan harapan sekolah-sekolah yang berdekatan mungkin tidak membebankan sangat. Namun pergi ke sekolah-sekolah yang jauh jaraknya hingga ke sempadan  negeri sungguh memenatkan! Persoalannya, adakah sifat EMPATI (merasai apa yang dirasai oleh orang lain) itu ada pada setiap orang?? Terkadang sikap 'mudoh bbaso, sene kiro' diri saya menyebabkan saya terasa sering dimanipulasi pula...
Catatan :
1. Ramai yang mahir memanipulasi tetapi tidak tahu menghargai pertolongan dan pengorbanan orang lain.
2. Hati saya berkata, " manusia itu tidak pernah sama, jadi jangan kecewa" kerana setiap yang berlaku ada hikmahnya... sekurang-kurang bertambah ilmu saya tentang manusia!

SELAMAT BERSARA CIKGU...

Tuesday, August 10, 2010
Malam 9 Ogos 2010, satu majlis makan malam yang diadakan khas oleh warga PPD Kuala Krai untuk Encik Othman Awang Lah (Timbalan PPD Kuala Krai) iaitu cikgu saya (Sekolah Menengah Sultan Yahya Petra-1980-1984).
Majlis makan malam yang dihadiri oleh YABrs Pengarah Pelajaran Negeri Kelantan iaitu Tuan Hj. Hussain bin Awang turut dihadiri oleh beberapa orang Ketua Sektor JPN. Makan malam tersebut diadakan di Dewan Petra, SMK Sultan Yahya Petra 1, Kuala Krai. Dewan yang dihias indah bagaikan dewan hotel 4 bintang sememangnya mewujudkan nostalgia. Nostalgia buat Cikgu Othman dan juga diri saya sendiri. Nostalgia buat Cikgu Othman kerana SMK SYP1 merupakan sekolah yang paling lama beliau berkhidmat. Nostalgia buat saya kerana Cikgu Othman ialah guru yang mengajar saya. Maka saya mengambil keputusan untuk meninggalkan 'nostalgia' di dewan pada malam itu. Bersaksikan Pengarah Pelajaran dan para hadirin yang hadir, saya mendendangkan dua buah lagu Allahyarham P. Ramlee! Teman berduet ialah Puan Siti Sabariiah (SMK SYP 1).
Rupa-rupanya nyanyian saya itu mengejutkan semua tetamu dan rakan-rakan sejawat yang hadir. "Bila waktu pulak si Ku Lah ni boleh menyanyi???". Dan saya tak pasti, dari mana datangnya keberanian itu.... Yang pasti lagu-lagu itu saya 'tribute' khas untuk seseorang yang istimewa dalam majlis itu!
Catatan :
1. Terima kasih kepada Puan Siti Sabariiah yang begitu 'sporting' dan profesional.
2. Keberanian dan keyakinan akan hadir jika kita berjaya menerobos sempadan 'infiority' diri sendiri.
3. Cikgu Othman, guru, dulu, kini dan selamanya....

PESANAN SYA'ABAN

ASSALAMULAIKUM. ANA SYA'ABAN. ANA INGIN MENGINGATKAN SAHABAT BAHAWA JIRAN ANA IAITU RAMADHAN AKAN DATANG MENGUNJUNGI ANTA TIDAK LAMA LAGI BERSAMA ISTERINYA IAITU REZEKI DAN KEDUA-DUA ANAKNYA SAHUR & IFTAAR... MEREKA AKAN DITEMANI OLEH KETIGA-TIGA CUCU IAITU RAHMAT, KEAMPUNAN DAN DIBEBASKAN AZAB NERAKA... MEREKA AKAN PULANG SELEPAS 30 HARI DENGAN TANGISAN SELURUH MAKHLUK ALLAH! HARGAI MEREKA DAN ANTA AKAN MENDAPAT PAHALA YANG BERLIPAT KALI GANDA!!! INSYAALLAH.
SALAM RAMADHAN AL-MUBARAK.

Terima kasih, Bobby..

Saturday, August 7, 2010
Terima kasih kepada pemantau blog (Bobby) yang turut membantu memberikan tips kepada pelajar yang bertanya tentang subjek Bahasa Inggeris. Semoga pelajar yang memantau blog ini akan mendapat manafaat.

PERISTIWA LUCU DI SHENZHEN

Dek kerana nak merasa pengalaman naik bas di China, maka kami ambil keputusan naik bas ke Bandar Shenzhen. Penumpang bas bersesak-sesak dan kami tak berpeluang langsung untuk duduk. Berderet-deretlah kami berdiri semacam murid sekolah yang bersesak-sesak dalam bas sekolah di Malaysia.
Duduk di bangku sebelah tepi kami bediri ialah seorang penumpang wanita muda yang asyik tunduk sepanjang perjalanan. Kami berbual sesama sendiri dan bercakap tentang wanita berkenaan. "Apahal dia ni? Tunduk jer, demam ke, pening ke?", kata salah seorang dari kami. Seronok sungguh berbual dan mengata. Apa tidaknya, bukannya penumpang lain faham bahasa kami. Malah penumpang lain asyik memandang kami dengan muka penuh tandatanya. Mungkin mereka pun tertanya-tanya tentang kami, "Dari mana la datangnya orang-orang berbahasa pelik ni?!".
Ketika bas hampir memasukki kawasan stesen dan kami bersedia untuk turun.... tiba-tiba penumpang wanita yang sentiasa tunduk itu mengangkat kepalanya. Tanpa amaran maka terhamburlah keluar muntah daripada mulutnya dan 'mendarat' tepat kepada belakang 2-3 orang rakan kami!!! 'Tembakan' muntah yang paling teruk terkena kepada salah seorang rakan kami. Kedua-dua kaki seluar jeansnya tidak dapat diselamatkan lagi! Maka berkejarlah kami membantu menyiram dengan air mineral yang kami ada. Apalagi, terpaksalah terus naik ke kompleks beli belah untuk membeli seluar baru.
Moralnya :
1. Jangan mengumpat (walaupun dalam bahasa yang orang tak faham!) hehehehehe.
2. Mesti peka dengan suasana yang pelik di sekeliling anda.
3. Jauhkan diri jika ada penumpang di sebelah yang tunduk sepanjang perjalanan.
4. Jika melawat China, lebih naik naik teksi! 

YANG MENARIK DI SHENZHEN...

1. Penduduk Shenzhen, China tidak dibenarkan memilikki atau menggunakan motosikal. Rakyat hanya dibenarkan memilikki dan menggunakan basikal sahaja. Kenderaan motosikal hanya boleh digunakan oleh Pasukan Polis China sahaja.
2. Orang China tidak kenal Jacky Chan dan Jet Li walaupun kedua-duanya adalah ikon dan bintang filem aksi terhebat antarabangsa. Mereka hanya kenal 'Cheng Lung' (Nama Cina Jacky Chan!).
3. Terdapat tukang jahit yang mahir menjahit baju kurung Melayu dengan berkualiti. (Rakan-rakan dari KPM sempat menempah 2-3 pasang baju kurung!).
4. Shenzhen (saiznya berkali ganda lebih besar daripada KL) hanya dibina dan dibangunkan dalam tempoh masa 30 tahun sahaja.
5. Perkhidmatan teksi di Shenzhen menggunakan kereta-kereta berjenama terkenal (Volkswagen, Toyota Camry, Hyundai Sonata).
6. Kelajuan keretapi 'bullet' dari Shenzhen ke Ghuangzhao yang kami naiki ialah 150-200 km sejam!!!
Catatan :
- Rupa-rupanya sistem keretapi di China lebih maju berbanding kita.

YUEN vs RINGGIT

Thursday, August 5, 2010
Komunikasi merupakan satu masalah besar di negara komunis ini. Semuanya menggunakan bahasa Mandarin atau Kantonis. Kami bernasib baik kerana salah seorang ahli rombongan (Jun, dari KPM) fasih bertutur dalam bahasa Mandarin. Yang lain hanya berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat, macam OKU pulak! Sesi tawar menawar semasa membeli keperluan perlu menggunakan ‘calculator’! RM1 bersamaan dengan nilai 2 Yuen. Jadi jika bawa RM1000, saya sudah ada 2000 Yuen! Senang nak kira waktu membeli belah.

MEE SEGERA!!!

Rombongan kami yang terdiri daripada rakan-rakan dari Bahagian Psikologi dan Kaunseling, KPM menginap di Hotel Feng Shun, Dongmen (Thong Men, sebutan Cina). Fikiran saya jauh tersasar tentang Shenzhen ini. Saya fikir ia hanya sebuah bandar kecil yang seumpama Kota Bharu… rupa-rupanya Shenzhen berkali ganda lebih besar daripada Kuala Lumpur! Hong Kong dapat dilihat dari Shenzhen ini. Tapi sayangnya kami memerlukan permit khas yang lain untuk memasukki Hong Kong. Jadi, hasrat untuk ke Hong Kong terpaksa dilupakan kali ini.

Nasib baik sungguh saya ikut nasihat seorang rakan yang pernah ke China. Bekalan mee segera, biskut dan roti yang di bawa ‘menyelamatkan’ saya daripada kelaparan! Memang tidak ada langsung kedai makanan yang halal untuk Muslim di sini. Alahai, terpaksalah makan tengahari dengan mee segera berperisa kari meletup!

CATATAN SHENZHEN 1

Melepak di Lapangan Terbangan Sultan Ismail, Pengkalan Chepa lebih lima jam sungguh memenatkan. Saya dan rakan-rakan diuji lebih awal sebagai permulaan perjalanan ini. Tiba di LCCT, Sepang lebih kurang jam 1 tengah malam. Melepak lagi di LCCT kerana penerbangan ke Shenzhen ialah pada jam 6.50 pagi (1 Ogos).

Menahan kelaparan untuk menikmati nasi lemak Pak Nasir dalam pesawat Air Asia memang berbaloi! Harganya kurang lebih lima kali ganda harga nasi lemak biasa. Memang enak dan lain benar rasanya bersarapan nasi lemak pada paras 28,000 kaki di atas awan dengan kelajuan 760 KM sejam! Subhanallah… Maha Suci Allah yang mempermudahkan kenderaan hebat ini.

Kami tiba di Lapangan Terbang Bao’an, Shenzhen tepat jam 10.40 pagi. Alhamdulillah, syukur ku kepadaMU, ya Allah. Perasaan saya bercampur baur ketika menjejaki benua China buat pertama kali (yang selama ini hanya di kenali melalui subjek Sejarah dan Geografi).