PERGINYA SEORANG SAHABAT....

Saturday, October 29, 2011
>"I warded kat hosptal putrajaya. ada jangkitan kuman pd saluran paru-paru. wad 4b" (25 Oktober 20110). "Alhamdulillah. Ct scan semlm tdk menunjukkan apa2 kelainan. so takdelah mild stroke tu." (26 Oktober 2011). SMS jawapan saya, " Alhamdulillah. Semoga U akan sihat walafiat dan cergas seperti dulu. Amin ya Rabbal alamin". (26 Oktober 2011) Petang ini ketika memandu pulang, saya mengucap panjang berkali-kali. Sesak dan perit dada saya mendengar suara tangisan Puan Halawiyah (BPSK), "Jun dah tak ada.. dia dah meninggal! sekejap tadi!". Terhenti seketika di tepi jalan bagaikan tidak percaya dengan apa yang saya dengar. Namun itulah kenyataan. Jun, kawan baik saya sejak 12 tahun dulu telah lebih dahulu dijemput Allah SWT...Teman berkongsi cerita suka dan duka. Nasib saya dan arwah hampir serupa. Menjadi anak yatim sejak usia kecil. Bangkit dan membesar tanpa kasih sayang seorang ibu. Terlalu banyak yang dilalui demi mengharungi kehidupan. Perjuangannya bermula sebagai seorang guru sekolah rendah. Kemudiannya menyambung ke peringkat diploma dan ijazah. Dia tidak berhenti di situ sahaja malah terus berjaya menyelesaikan pengajian peringkat Sarjana. Sebentar tadi Prof Zuria (UKM) beritahu saya yang arwah baru sahaja berbincang untuk menyambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah.... Sayangnya dia pergi terlalu awal.. Dengan jelas saya dapat dengar suara sebak Prof Zuria...Banyak sungguh kenangan dan peristiwa yang saya lalui bersama arwah. Dia seorang sahabat dan motivator yang sukar untuk dicari ganti. Seorang yang periang dan mudah mesra dengan kawan-kawan. Sifatnya yang suka membantu kawan-kawan tentunya akan menjadi kenangan yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila. Hari ini Jun pergi dengan membawa segala cerita dan kisah hidupnya yang penuh dengan liku-liku... Semoga Allah SWT menempatkan rohnya bersama roh orang-orang beriman dan beramal soleh.. Amin ya Rabbal alamin. CATATAN: -Tak dapat saya bayangkan bagaimana anak kecil almarhumah, Iman(6 tahun) menerima kenyataan yang mamanya telah tiada... - Al fatihah untuk almarhumah Puan Junaidah binti Hj Apandi..

KEMAHIRAN MENDENGAR

Friday, October 28, 2011
Saya amat kagum dengan dia. Benar-benar kagum. Seorang anak muda yang berpendirian dan tabah hatinya. Saya tahu bila dia yang baru sahaja saya kenali sanggup mengajak saya bertemu.. saya tahu dia serius. Sebagai anak muda yang celik ICT, kemahuannya mencari info saya melalui internet membuat saya terharu. Hati saya berkata saya mesti berjumpa dengan anak muda ini. Kami bersarapan di warung nasi berlauk di pinggir Bandar KK. Benar, wajah tidak akan berbohong tentang sesuatu. Dia masih sangat muda tetapi wajahnya cukup menggambarkan apa yang terpaksa dialami. Hampir dua jam saya mendengar dan mendengar dia... Sungguh berat ujian dan dugaan yang dihadapi. "Saya tak pernah ceritakan kisah dan masalah yang saya alami ini kepada orang lain", katanya. Saya katakan bahawa saya sangat menghargai kepercayaan yang telah diberikan. Calang-calang remaja yang mampu menghadapi semua ujian dan dugaan perit seperti dia. Silap-silap haribulan tewas di pertengahan jalan. Namun pemuda ini begitu hebat bagi saya. Dia mampu menamatkan pengajiannya di IPT dan IPG untuk menjadi seorang guru. Kali ini saya tidak bersedia untuk berkongsi dengan pembaca ceritanya kerana saya tahu dia juga mula mengikuti blog kecil ini... Sesungguhnya saya tidak banyak pun bantuan yang saya berikan kepada remaja ini. Saya pun tahu kekuatannya terletak pada hati dan dirinya sendiri. Dia tidak berharap masalahnya diselesaikan oleh saya. Dia cuma memerlukan seseorang untuk 'berkongsi' cerita perit yang dialami. Saya pasti dia telah mula membina kekuatan diri untuk bangkit dari kepedihan dan kesedihan yang dialami. Saya puas kerana saya berjaya mendengar seketika.... CATATAN: -HALF OF THE PROBLEMS CAN BE SOLVE BY SHARING.... -ALLAH SWT TIDAK MENGUJI HAMBANYA DI LUAR KEMAMPUAN MEREKA....

BARANG NAIK......

Wednesday, October 26, 2011
>"Penjawat awam belum pun mandapat manfaat gaji naik dan bonus, peniaga dah mula ambil kesempatan...", kata Omar Osman (Presiden Cuepacs). Isteri saya merungut lagi. Katanya setiap kali berbelanja barang keperluan, ada saja barang-barang yang naik harga. Paling terasa bila harga susu tepung 'Superboy' kami pun turut naik. Belum dikira lagi barangan dapur atau barangan mentah keperluan memasak. Maka menyerulah sang Presiden Cuepacs minta para penjawat awam memboikot peniaga yang naikkan harga barang. Cara protesnya ialah dengan mengurangkan kekerapan ke pasar! Bukan maksud saya ingin sentuh tentang cara yang dicadangkan. Relevan atau tidak cadangan itu. Saya cuma ingin berbicara tentang nasib pengguna rakyat marhaen di Malaysia kini. Menghadapi hidup seharian dengan harga barangan keperluan yang tidak berhenti meningkat memang memeritkan. Barangkali derita ini tidak dirasai oleh sang menteri yang sering berkata, "Kita akan pastikan dan kawal supaya harga barangan keperluan tidak akan dinaikkan oleh peniaga..". Itulah ayat klise yang sering kedengaran di media elektronik. Namun ia tak sedikitpun mampu menahan badai kenaikan harga barangan. Persoalannya siapa yang patut dipersalahkan? Sang peniaga kapitalis yang hanya tentang mahu untung semata-mata? Atau sang penguatkuasa di lapangan yang belum cukup usaha dan kerja mengawal kenaikan harga? Ataupun sang penguasa yang milikki kuasa namun bagaikan tidak berbuat apa-apa? Catatan: Apabila para sahabat bertanya kepada Abdul Rahman bin Auf, "Bagaimana kamu mendapat untung berniaga unta sedangkan kamu menjual dengan harga yang sama kamu beli? (Maksudnya tidak ada untung langsung). Jawab Abdul Rahman bin Auf, " Aku hanya mengambil untung daripada jualan tali unta sahaja..". (Abdul Rahman bin Auf adalah salah seorang sahabat Nabi S.A.W. yang kaya raya. Terkenal dengan sifat pemurah sehingga sanggup menyerahkan semua hartanya demi memperjuangkan Islam). SANGAT JAUH BEZANYA DENGAN SIKAP PARA PENIAGA DI MALAYSIA TERCINTA INI, YANG SANGAT TAMAK DAN HALOBA.

DARI JIWA..........

Monday, October 24, 2011
Memang benarlah kata-kata Pak Samad Said, "menulis itu perlu dari hati dan jiwa...". Menulis melalui hati dan jiwa mengalir bagaikan air lancar alirannya. Susah benar saya rasakan untuk menulis di ketika jiwa dihambat kekalutan...hati yang berbalam-balam. Barangkali terlalu banyak yang perlu difikirkan. Atau saya yang kehilangan fokus dalam kembara kehidupan ini... Dia Yang Maha Penyayang... sentiasa memberikan penawar dan kesembuhan. Memandang wajah-wajah suci anak-anak generasi di SMK Kamil dan SMK Alor Pasir sememangnya memberi ketenangan. Semuanya tulus dan ikhlas mendambakan bimbingan dan perkongsian buat bekalan menghadapi SPM dan STPM. Mungkin mereka sudah muak dengan bebelan dan nasihat yang berjela-jela. Pastinya mereka memerlukan motivasi ekstrinsik daripada orang lain seperti saya. Paling penting ialah mengejutkan motivasi intrinsik yang ada dalam hati dan diri mereka. Perubahan sikap manusia perlu bermula dari dalam diri sendiri terlebih dahulu. Itu yang saya cuba lakukan kerana sesetengah pelajar masih belum menemukan motivasi ekstrinsik yang mampu mencetuskan motivasi intrinsik. Jika motivasi intrinsik telah mula wujud, manusia akan mula merubah sikap ke arah yang lebih positif. Secara mudahnya, pelajar (remaja) akan lebih mudah bermotivasi jika keinginan untuk belajar dan berjaya telah wujud dari jiwa....Belajar dari jiwa dan hati yang rela pasti impaknya kejayaan yang berganda. Catatan: Hari ini saya kembali menulis dari jiwa.....

BADAN & HATI..

Monday, October 17, 2011
November ini akan genap setahun saya bertugas di Genting. Penat dan lelah berulang alik setiap minggu bagaikan sudah lali. Gua Musang, Merapuh, Pagar Sasak, Kechau, Benta, Kuala Lipis, Raub, Mempaga, Bentong bla bla bla bla..... Setiap minggu menghafal jarak dan daerah. Menurun ke kampung terasa cepat dan ceria.. Kembali menongkah pergunungan setiap Ahad terasa begitu menyiksakan. Namun ikatan jiwa pada komitmen kerjaya membuat hati masih tetap bertahan dan bertahan... Walaupun runtunan hati menjerit memikirkan keluarga...Sampai bila? Hanya Dia Yang Maha Pengasih dan Penyayang mengetahuinya.