DARI JIWA..........
Monday, October 24, 2011
Memang benarlah kata-kata Pak Samad Said, "menulis itu perlu dari hati dan jiwa...". Menulis melalui hati dan jiwa mengalir bagaikan air lancar alirannya. Susah benar saya rasakan untuk menulis di ketika jiwa dihambat kekalutan...hati yang berbalam-balam. Barangkali terlalu banyak yang perlu difikirkan. Atau saya yang kehilangan fokus dalam kembara kehidupan ini...
Dia Yang Maha Penyayang... sentiasa memberikan penawar dan kesembuhan. Memandang wajah-wajah suci anak-anak generasi di SMK Kamil dan SMK Alor Pasir sememangnya memberi ketenangan. Semuanya tulus dan ikhlas mendambakan bimbingan dan perkongsian buat bekalan menghadapi SPM dan STPM. Mungkin mereka sudah muak dengan bebelan dan nasihat yang berjela-jela. Pastinya mereka memerlukan motivasi ekstrinsik daripada orang lain seperti saya. Paling penting ialah mengejutkan motivasi intrinsik yang ada dalam hati dan diri mereka. Perubahan sikap manusia perlu bermula dari dalam diri sendiri terlebih dahulu. Itu yang saya cuba lakukan kerana sesetengah pelajar masih belum menemukan motivasi ekstrinsik yang mampu mencetuskan motivasi intrinsik. Jika motivasi intrinsik telah mula wujud, manusia akan mula merubah sikap ke arah yang lebih positif. Secara mudahnya, pelajar (remaja) akan lebih mudah bermotivasi jika keinginan untuk belajar dan berjaya telah wujud dari jiwa....Belajar dari jiwa dan hati yang rela pasti impaknya kejayaan yang berganda.
Catatan:
Hari ini saya kembali menulis dari jiwa.....
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment