Liat memang terasa bila sahaja mengambil keputusan menggunakan Sani Ekspres. Risau pun ada bila terkenangkan tragedi dahsyat yang berlaku melibatkan bas. Lebih-lebih lagi bulan puasa begini. Ternyata pengalaman pertama dengan Sani tidak menghampakan. Perjalanan yang lancar dan selesa sepanjang malam. Berhenti bersahur di sebuah restoran tanpa bintang di Ketari. Meriah juga bila melihat penumpang bas berpusu ke arah menu semalam. Terhad selera melihat lauk pauk yang pastinya disediakan sejak awal petang. Menjeling jam hampir 4.35 pagi..entah berapa lama lauk pauk itu menjadi pameran. Tiada pilihan kecuali pilih seketul ayam goreng buat bekalan untuk berpuasa esok. Aduhh... beginilah perantau..
Sang Kenari menanti bersama kepanasan pagi Putrajaya. Saya mengambil keputusan untuk ke Masjid 'Besi' yang tersergam di tepi Tasik Putrajaya. Memang canggih dengan ruang letak kereta yang luas. Nyaman sungguh membersihkan diri dalam kesunyian 'Masjid Besi'. Sangat berbeza berbanding masjid Putra yang penuh dengan pelancong. Kedinginan Masjid Besi menggamit mata saya menjadi berat seketika. Namun apa daya, lawatan ke Bahagian Sekolah bakal bermula jam 9 pagi.
Ramadhan di Alamanda biasa-biasa sahaja. Cuma tak upaya untuk menjamu selera setelah penat berjalan. Di sana sini poster dan iklan jualan murah yang tentunya bertemakan hari raya. Lucunya apa yang saya lihat iklan jualan murah atau 'diskaun' itu akan ada sepanjang waktu! Saya pun hampir tergoda bila seorang Pakistani menawarkan 'diskaun' yang sangat menarik. Satu set catur buatan batu marmar Pakistan yang harganya RM340 ditawarkan RM120 dan kemudiannya menjadi RM90!!! Hanya untuk hari ini sahaja, Tuan!
Saya senyum kepadanya dan ucapkan terima kasih. Dia kata ok, dan tak kisah pun bila saya beredar dari tempat jualannya. Tiba-tiba bau enak menusuk ke hidung ketika melintasi kedai 'roti boy'... Wahai perut, tuan kamu berpuasa hari ini, bersabarlah....
Sani Ekspres yang sama, Putrajaya dan Alamanda tetap yang sama juga...apa yang sangat berbeza ialah Ramadhan.. Berbeza sungguh Ramadhan tahun ini..
Wahai Allah Yang Maha Pengampun...
SANI EKSPRES, PUTRAJAYA & ALAMANDA....
Wednesday, August 17, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment