KASIH IBU ( I )

Wednesday, January 27, 2010
Kasih ibu membawa ke syurga.... ungkapan ini meniti setiap dari kita sejak zaman berzaman. saya tidak berniat untuk mengupas ungkapan 'evergreen' itu kerana itu bukan kepakaran saya.
Apa yang ingin saya kongsikan ialah kisah salah seorang klien yang mendapatkan khidmat kaunseling daripada saya baru-baru ini.
Klien saya ini ialah seorang ibu yang mempunyai dua orang anak (sepasang). Masalah klien bermula apabila anak lelakinya yang berusia 16 tahun tidak dapat menerima kehadiran bapa tiri dalam famili mereka.
Si ibu ini tidak menjangka respon anak lelaki begitu negatif sehingga mengeluarkan kata-kata tidak mahu mengakui klien sebagai ibu.
Keadaan menjadi semakin teruk apabila anak klien saya ini mula menunjukkan tingkah laku protes yang melampau. Mula membahasakan diri sebagai 'aku' dan sebagai 'mu' untuk ibunya. Mula bermalam di rumah raka-rakan dan tidak pulang ke rumah berhari-hari.
Kebimbangan dan kerisauan seorang ibu memuncak kerana dikhuatiri si anak akan terjerumus ke arah tingkah laku devian dan penyalahgunaan dadah.
Saya katakan kepada ibu (klien), mungkin saya akan dapat membantu dengan lebih berkesan jika saya dapat berinteraksi dengan anaknya sendiri.
Tanggungjawab saya sekarang ialah cuba membantu si ibu sebagai klien saya dan 'memanusiakan' si anak (pelajar tingkatan empat di sebuah sekolah menengah agama).
....bersambung nanti.
Akhirnya saya dapat juga bertemu dan berinteraksi dengan anak klien ini. Andainya berada di tempat saya pasti  anda akan terperanjat besar dengan respon yang diberikan.
Oleh kerana anak ini bukannya klien 'sukarela' (dipaksa datang oleh pakciknya), saya dapat lihat reaksi penolakan yang ketara. Anda pun tentunya faham bagaimana situasi berhadapan dengan orang yang tidak rela berkomunikasi. 
Saya menggunakan instrumen ringkas dalam usaha 'memaksa' anak ini memberikan respon. Instrumen tersebut ialah gambarajah 'significant others'. Berupa gambarajah bulatan yang mewakili semua ahli familinya yang paling rapat. Tidak terkecuali ibu dan bapa tirinya.
Nyata sekali anak ini meletakkan kedudukan ibu dan bapa tirinya jauh dari kedudukan dirinya! Instrumen itu membantu saya memahami (walaupun dia tidak beritahu) bahawa anak ini mengalami konflik emosi dan perasaan membenci yang serius.
Menghadapi klien yang 'tidak mesra pelanggan' ni, saya perlu mempelbagaikan teknik penerokaan. Jadi, saya berikan instrumen yang kedua. Ternyata saya jadi 'menggelabah puyuh' bila dapatan hasil penerokaan kedua ini!!!
Nantikan sambungannya....
Rasa bagaikan tak percaya seorang anak (pelajar sekolah menengah agama) membuat kenyataan supaya ibu dan bapa tirinya mati dahulu! Alasannya, kerana si ibu banyak menyusahkannya, menyekat kebebasannya.. Mati kutu saya bila mendengar kenyataan yang keluar dari mulut anak remaja ini. Saya tahu anak ini mengalami konflik diri yang sukar untuk difahami tetapi saya tak menjangka sama sekali hingga sejauh itu pemikirannya.
Saya asyik terfikir apa perasaan si ibu jika turut sama mendengar kenyataan ini... Jika anda seorang ibu bapa yang membaca catatan ini, mungkin anda dapat meneka perasaan saya ketika itu.
Tidak mungkin saya akan menerangkan seluruh proses sesi kaunseling saya di ruangan sempit ini. 
Saya ingin lontarkan persoalan kepada anda, bagaimana mungkin seorang anak yang belajar di sekolah agama yang menekankan nilai-nilai ketuhanan ini boleh bertindak sedemikian rupa?
InsyaAllah, saya akan berkongsi dengan anda berkenaan sesi saya dengan sang ibu pula.

0 comments:

Post a Comment