Monday, January 18, 2010
Menonton TV tidak membantu pelajar, merendahkan prestasi akademik

Oleh SM Mohamed Idris (Presiden CAP) Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa ibu bapa supaya mengehadkan waktu tontonan televisyen anak-anak mereka memandangkan kesan negatif televisyen terhadap perkembangan prestasi akademik pelajar.


Laporan akhbar tempatan baru-baru ini mendedahkan bahawa remaja Amerika Syarikat yang menonton televisyen pada hari biasa akan menunjukkan prestasi buruk di sekolah berbanding mereka yang tidak menonton pada hari berkenaan, tetapi menonton pada hujung minggu memberi kesan lebih negatif terhadap kerja sekolah mereka.

Kajian terhadap 4,508 pelajar sekolah menengah berumur antara sembilan hingga 15 tahun juga mendapati kerja sekolah terjejas di kalangan mereka yang dibenarkan menonton rancangan dewasa, filem dan rangkaian kabel membabitkan program dewasa.

Data sokongan mendapati ibu bapa yang membataskan televisyen pada hari biasa dan masa permainan video kurang daripada sejam dan menyekat media dewasa dengan membataskan pendedahan terhadap rangkaian filem kabel dan filem dewasa serta video.

Pelajar yang tidak menonton televisyen ketika hari biasa, separuh menunjukkan kecemerlangan di sekolah, demikian menurut kajian terbaru yang dibuat oleh Dr Iman Sharif dari Kolej Perubatan Albert Einstein di Bronx, New York.

Sejak beberapa tahun yang lalu CAP telah menyuarakan kesan TV terhadap perkembangan anak-anak kita lebih-lebih lagi Akademi Pediatrik Amerika sendiri menggesa supaya diharamkan televisyen bagi kanak-kanak di bawah usia dua tahun.

Menonton TV boleh menjadikan kanak-kanak kurang cerdik kerana TV mampu membunuh IQ, membekukan otak, menyekat kreativiti, menghalang daripada berfikir secara mendalam, mencuri masa, mengganggu tidur, merampas waktu bermain dan banyak keburukan lagi.

Beberapa kajian mendapati menonton televisyen lebih berbahaya dan berpotensi merosakkan otak kanak-kanak yang sedang membesar berbanding apa yang dipaparkan di televisyen.

Menghabiskan banyak masa di depan televisyen menjadikan sukar untuk kanak-kanak belajar membaca, memberikan tumpuan yang berterusan dan cemerlang dalam peperiksaan di sekolah.

Apabila kanak-kanak menghabiskan banyak masa dengan menonton televisyen, mereka tidak melibatkan diri di dalam aspek-aspek pembelajaran lain seperti bermain, membaca, menulis, belajar atau bergaul.

Sejak tahun 1977 lagi banyak amaran telah diberikan bahawa menonton televisyen menjadikan kanak-kanak bersikap pasif dan berat mulut, ia tidak dapat bermain, mengeluarkan idea atau berfikir dengan jelas.

Menurut laporan 1994 dari Jabatan Pendidikan Amerika Syarikat, pencapaian akademik jatuh dengan ketara bagi kanak-kanak yang menonton lebih daripada 10 jam seminggu atau purata dua jam sehari.

Kajian tahun 1980 pula yang dilakukan oleh Jabatan Pendidikan California yang mengkaji tabiat menonton televisyen dan markah ujian bagi sesetengah juta kanak-kanak menunjukkan terdapat hubungan langsung di antara jumlah masa seseorang kanak-kanak menonton televisyen dengan jumlah markah yang diperolehi dalam ujian pencapaian yang diseragamkan, lebih banyak televisyen ditonton kanak-kanak, lebih rendah pencapaiannya.

Sehubungan itu, CAP menggesa ibu bapa supaya bersikap lebih tegas terhadap tabiat menonton TV anak-anak mereka memandangkan televisyen sering membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan. - lanh

0 comments:

Post a Comment