BERITA HARIAN 13 MAC 2007
Usaha berterusan, doa resipi kejayaan pelajar
Dorongan ibu bapa turut bantu pencapaian cemerlang SPM
KUALA LUMPUR: Kesungguhan, tumpuan di dalam kelas, dorongan dan galakan ibu bapa serta berdoa adalah antara resipi kejayaan beberapa pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu, meskipun ada antara mereka tidak pun mengikuti kelas tuisyen.
Mengulang kaji pelajaran secara konsisten, belajar secara berkumpulan dengan rakan sekelas serta cabaran daripada anggota keluarga yang sudah berjaya juga menjadi ramuan kejayaan mereka. Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Bukit Mertajam (SMKTBM), Yeo Jie Ming, yang muncul pelajar terbaik di Pulau Pinang dengan memperoleh 16 1A, mengakui dorongan dan galakan ibu bapa memberi sumbangan besar terhadap kejayaannya.
Katanya, dia memberi tumpuan ketika dalam kelas, selain belajar selama tiga jam sehari di rumah bermula jam 8 malam dengan bantuan ibu bapanya. Sementara itu, Nadia Rohani Malik Panter Brick dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Nurul Ittifaq, Kuala Besut berjaya mendapat 14 1A berikutan cabaran kuat daripada abangnya.
“Kejayaan ini sebenarnya menyahut cabaran abang saya, Ahmad Jamil yang sering mencabar supaya dapat mengatasi keputusan 13 1A yang diperolehnya dalam peperiksaan SPM," katanya yang tinggal di Kampung Benting Lintang, sebuah perkampungan nelayan kira-kira 25 kilometer dari Kuala Besut dan berulang alik ke sekolah setiap hari.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Ahmad Maher, Kota Bharu, Siti Aisyah Hussin, yang mendapat 14 1A, berkata beliau memberi tumpuan kepada subjek kritikal dan mengulang kaji setiap hari.
"Saya pulang lewat setiap hari kerana mengulang kaji pelajaran dan belajar berkumpulan di sekolah bagi membincangkan subjek yang agak kritikal.
"Saya berdoa setiap kali solat dan meminta restu ibu bapa agar saya mudah mentelaah pelajaran menjelang peperiksaan SPM yang lalu. Abah dan emak pendorong utama kejayaan saya, selain abang dan kakak yang berjaya dalam bidang mereka termasuk menjadi doktor perubatan," katanya.
Chee Shew Fei dari SMK Ave Maria Convent muncul pelajar terbaik SPM Perak dengan mencatat 14 1A, belajar dua hingga tiga jam sehari ketika awal tahun dan menambah masa belajar hingga lima jam sehari ketika peperiksaan semakin hampir.
Pelajar Sekolah Menengah Sultan Alam Shah (SAS), Syed Danial Syed Ahmad, yang memperoleh 12 1A, beri tumpuan teknik belajar berkumpulan dan membuat latih tubi soalan ramalan. Katanya, beliau dan beberapa rakan sering melakukan perbincangan dalam kumpulan lebih kecil selepas waktu sekolah.
“Saya dan rakan juga sentiasa menunaikan solat hajat dan berzikir bagi mendapat ketenangan dan berkat sebelum peperiksaan. Alhamdulillah, saya amat bersyukur kerana berkat doa ibu bapa, guru-guru serta rakan-rakan saya mendapat keputusan sebaik ini,” katanya.
T Naveeyindren, 17, yang pernah melangkau kelas dari Tahun 3 hingga Tahun 5 selepas lulus Penilaian Tahap Satu (PTS) pada 1999, muncul pelajar terbaik SMK King George V, Seremban, apabila mendapat 12 1A, hasil kerja keras mengulangkaji pelajaran dari tengah malam hingga awal pagi selepas gagal mencatat keputusan baik pada peperiksaan percubaan sebelum itu.
Dua pelajar Maahad Johor, yang bersahabat baik sejak di Tingkatan Satu, Muhammad Syafiq Safuan Harith dan Esby Islami Rifai mencapai keputusan Mumtaz Sofi (cemerlang) dalam peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2006 memperoleh 10 1A hasil usaha mengulang kaji pelajaran sepanjang masa dan membaca surah serta doa penerang hati.
Muhammad Syafiq berkata, menjaga kesihatan juga amat penting dalam memastikan pelajaran tidak terganggu dan paling utama ialah tidak merokok.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment