BERTEMU & BERPISAH...

Saturday, June 26, 2010
'Bertemu dan berpisah adat manusia biasa, hilang di mata tapi di hati tak lupa'.
Itu antara baris lagu di zaman persekolahan yang biasa dinyanyikan bila berakhirnya sesuatu program. Terkadang boleh menangis para pelajar kerana menjiwai bait-bait senikata lagu tersebut.
Banyak benar tugasan dan urusan pada Khamis lepas. Selepas selesai urusan di KB, saya bergegas pulang ke KK. Rasanya tidak mahu melepaskan peluang untuk bertemu dengan teman-teman seperjuangan. Majlisnya ringkas sahaja iaitu meraikan salah seorang teman kaunselor yang akan bertukar bidang kerjayanya. Benarlah kata sesetengah orang, hanya kaunselor yang boleh memahami kaunselor!
Saya rasa gembira, tenang dan terhibur dapat bersama teman-teman dalam majlis itu. Namun seperti kata 'GUEST' blog ini, terasa juga kesedihan kerana akan kehilangan seorang teman ini (yang saya anggapnya seperti adik-adik sendiri). Seorang demi seorang rakan-rakan 'berhijrah' ke tempat lain atas berbagai sebab musababnya. Apa lagi jika hijrah tersebut kerana peningkatan dalam kerjaya maka itu adalah yang sebaik-baiknya. Ucapan ikhlas dari saya semoga Puan Noraihan Ismail akan terus maju jaya dalam kerjayanya sebagai pensyarah di matrikulasi.
Catatan :  Teringat seorang rakan (staf kaunter sebuah bank terkemuka) meletakkan jawatan 5 tahun lepas. Beliau berhijrah ke Kuantan dengan membawa keluarga. Isterinya tidak bekerja. Dua bulan lepas saya sempat bertemu beliau di Kuantan. Beliau mengambil saya di hotel penginapan dengan kereta Camry 2.0 versi terbaru! Sempat juga saya ditunjukkan penyata pendapatan beliau sebagai agen insuran perlindungan. "Bulan ini tak berapa banyak pendapatan...", katanya. Saya lihat penyata pendapatan beliau dengan mata bundar terbuka luas, RM 78,500 !!!
Refleksi hati : Inilah yang dikatakan HIJRAH YANG BERKUALITI!
SELAMAT BERHIJRAH,  ANN...

0 comments:

Post a Comment