Saya tersenyum sendiri mendengar rakan-rakan guru yang berbincang tentang Peperiksaan Tahap Kecekapan (PTK) yang berlangsung minggu ini. Ada yang jadi sangat bimbang untuk menduduki PTK sekali lagi. Ada yang buat tak kisah langsung. Jiran saya (guru perempuan DGA 32) hampir demam kerana risau dan sibuk membaca! Macam-macam kerenah yang boleh dilihat.
Saya ada pengalaman menjadi Pengawas PTK sebelum ini. Rupa-rupanya mengawas cikgu-cikgu menduduki peperiksaan lebih sukar daripada mengawas murid-murid! Ada yang mula sahaja menjawab sahaja, kepala asyik menoleh kiri dan kanan. Kononnya nak mendapatkan 'pertolongan' lah agaknya... Mungkin inilah jenis guru yang tak kisah langsung dengan persediaan peperiksaan.
Saya senyum sendiri kerana hakikat 'fobia' kepada peperiksaan tidak hanya berlaku kepada para pelajar sahaja, malah ia turut dialami oleh para guru. Dalam hal ini saya kagum dengan sikap kebanyakan guru-guru wanita yang memang suka bersedia awal dengan membaca nota. Peliknya, tak ramai pula yang lulus 'A' atau IV.... mungkin kerana terlalu 'fobia' dengan PTK menyebabkan mereka tidak dapat menjawab dengan baik dan berkesan.
Terdapat kajian menyatakan bahawa ramai pelajar tidak dapat menjawab dengan betul bukan kerana tidak menguasai sesuatu topik. Mereka sebenarnya mengalami tekanan dan 'fobia' dengan peperiksaan itu sendiri. Saya mencadangkan guru-guru kaunseling atau kaunselor sekolah perlu merancang program atau slot yang berfokuskan pengurusan tekanan (stres) dan kemahiran pengurusan diri untuk menghadapi peperiksaan. Input seumpama ini akan membentuk para pelajar yang mempunyai kemahiran yang lengkap untuk menghadapi peperiksaan dengan penuh keberanian dan keyakinan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment