Saya mula kenal Zaidi (bukan nama sebenar) sejak dia berada di tahun 5. Kami memang tidak ada hubungan keluarga. Hubungan saya dan famili dengan ibu Zaidi ini sebenarnya dalam ruang lingkup profesional. Ibu Zaidi ialah penjaga anak-anak saya kerana ketika itu isteri saya masih mengajar. Secara tidak langsung, hubungan famili saya dan familinya menjadi agak akrab.
Sebenarnya saya telah mula melihat 'bakat terpendam' Zaidi sejak waktu itu. Ketika itu kelakuan buruk Zaidi ditunjukkan satu demi satu. Bermula dengan sikapnya yang suka ponteng sekolah hingga kepada perlakuan melawan cakap ibu dan kakak-kakaknya. Malah ketika di sekolah menengah, Zaidi mula tidak mahu bersekolah. Hasil kompromi keluarganya, Zaidi bersetuju bertukar ke sebuah sekolah agama. Kelakuan Zaidi rupanya bertambah buruk selepas itu hingga sanggup mencuri petrol dari tangki kereta bapanya! Apa yang saya tidak faham ialah bapa Zaidi yang terkenal dengan sikap garang tidak sedikitpun mengambil tindakan drastik atau memberi hukuman keras. Saya dan isteri hanya mampu melihat dengan berdoa agar ianya tidak berlaku kepada anak-anak sendiri...
Akhirnya saya dan isteri dikejutkan dengan pengakuan anak saya yang berusia 6 tahun. Zaidi telah memegang bahagian sulit anak saya! Atas dasar hubungan yang baik, saya dan isteri berterus terang kepada ibu dan ayah Zaidi. Terkejut besar saya dan isteri apabila bapa Zaidi mendengarnya dengan selamba dan tidak kelihatan langsung riak kemarahan pada wajahnya! Jauh sekali menegur atau menghukum Zaidi! Selepas itu saya menjadi tidak akrab lagi dengan keluarga Zaidi. Saya juga telah bertukar tempat kerja dan berpindah dari kampung Zaidi. Dua tahun lepas saya mendapat khabar bapa Zaidi di serang penyakit diabetes yang serius dan pergelangan kakinya dipotong.
Pagi tadi (selepas hampir sepuluh tahun!) saya menerima panggilan telefon daripada bapa Zaidi. "Cikgu, Zaidi masuk wad. Urat ibu kakinya putus di timpa kipas angin ketika cuba menghentak kepala saya! Anak derhaka tu cikgu! Tolonglah cikgu lawat dan beri nasihat kepada dia di hospital.....".
SEANDAINYA ANDA BERADA DI TEMPAT SAYA SEKARANG, APALAH AGAKNYA YANG AKAN ANDA KATAKAN KEPADA BAPA ZAIDI INI?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment