SAYANG ANAK......

Sunday, February 21, 2010
Selamat bertemu kembali.

Sukar sungguh sebenarnya untuk menjelaskan tentang kasih dan sayang, cinta dan benci dalam kehidupan ini.

Dalam topik yang lepas saya, saya percaya para pembaca pasti bersetuju dengan saya tentang pendirian mengutuk ’kasih sayang’ yang membawa ke tong sampah.

Kali ini saya nak berkongsi dengan pembaca tentang rasa kasih sayang seorang remaja, ya, sangat muda iaitu 16 tahun!

Pada bulan lepas, seorang klien (pelajar 16 tahun) telah dirujuk kepada saya oleh ketua jabatan. Klien tersebut datang bersama dengan ibu dan ibu saudaranya. Saya diberitahu bahawa isu atau kes klien ini ialah melakukan salah laku seks dan memohon untuk bertukar ke sekolah lain.

Sekali lagi tisu di atas meja saya menjadi amat berguna kepada klien ini. Tanpa kata-kata, hanya air mata yang memulakan sesi kaunseling. Saya tidak memberi apa respon atau desakan kerana air mata klien mengalir laju. Satu demi satu tisu lembut di atas meja saya diambil untuk mengesat mata dan hidung!

Saya terus berikan waktu dan peluang kepada klien. Saya yakin air mata klien akan memberikan ruang ketenangan dan kekuatan untuk memulakan sesi selepas ini.

Selepas beberapa ketika, klien nampak lebih tenang dan ibu klien memulakan perbincangan. ”Saya nak minta tolong encik berikan motivasi kepada anak saya ni. Memang dia telah lakukan kesalahan besar. Tapi dia beritahu saya, dia nak lupakan semua salah lakunya dan nak belajar di sekolah lain. Nak mula hidup baru’, terang si ibu.

Saya bertanya, ”Apa kesalahan besar yang telah dilakukan oleh anak ni?”.

Saya berharap klien itu sendiri akan memberikan jawaban. Si ibu pula terus menjawab, ”Nak buat macam mana, cikgu... dan nasib dia dan kami sekeluarga jadi lagu nih!”.

Ketika saya berpaling kepada klien dengan tujuan mendapatkan responnya, klien menangis semula. Kali ini saya minta klien bertenang dan ambil masa untuk bercakap. Saya tak mungkin dapat membantu atau teruskan jika klien terus menangis. Secara tiba-tiba dengan air mata yang masih mengalir, klien berkata, ”Saya sayang sangat-sangat kepada anak saya!!!”.

Ayat klien saya itu menjadi ’kunci’ penting kepada saya. Seterusnya, Alhamdulillah saya berjaya meneruskan sesi kaunseling dalam usaha membantu remaja malang ini.

0 comments:

Post a Comment