PATI OH PATI!

Thursday, April 1, 2010
Saya dikunjungi oleh dua orang bapa minggu lepas. Bapa-bapa ini datang bertemankan kenalan yang saya kenali. Kenalan saya itu menjadi jurucakap kepada kedua-dua bapa ini. ’Maudhuk’ (tujuan) kunjungan ini ialah untuk merayu supaya anak mereka diberi peluang untuk belajar di tahun satu pada tahun hadapan. Rupa-rupanya kedua-dua bapa yang mengunjungi saya ini ialah pendatang asing tanpa izin (PATI).

Salah seorang PATI ini telah memilikki taraf pemastautin tetap. Manakala bapa yang seorang lagi belum mempunyai apa-apa ’taraf’, malah paspot perjalanan pun tamat tempohnya dan tidak diperbaharui buat sekian lama. Bapa yang kedua ini telah menetap di Kelantan hampir 20 tahun. (Sayangnya dia tidak memperbaharui paspotnya dan tidak pernah memohon taraf pemastautin tetap).

Harapan dan hasrat mereka cuma satu iaitu merayu semoga anak-anak mereka akan diberi peluang untuk masuk darjah satu pada tahun 2011.

Dengan jujur saya katakan bahawa hanya pihak JPN (Pengarah) sahaja yang boleh mempertimbangkan permohonan mereka. Itupun jika mereka memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan. Saya hanya dapat membantu dengan memberikan mereka borang permohonan yang perlu mereka kemukakan kepada pihak JPN. Saya dapat melihat kekecewaan di wajah mereka...

Isnin depan saya dijemput ke sebuah sekolah dalam PPD Kuala Krai. Tajuk ceramah yang diberikan kepada saya ialah ’Jom ke Sekolah’. Saya difahamkan siri ceramah Jom ke Sekolah ini adalah program Sektor Hal Ehwal Murid yang bertujuan untuk menggalakkan murid supaya hadir ke sekolah! Kumpulan sasaran terdiri daripada para ibubapa juga.

Mengapa saya bercerita tentang kedua-dua bapa PATI tadi? Tentulah banyak sekali sebabnya. PATI yang anaknya tidak layak untuk menikmati kemudahan belajar dalam sistem persekolahan kita, melakukan usaha yang bersungguh-sungguh untuk menyekolahkan anaknya! Para ibubapa (rakyat Malaysia) pula, terpaksa di ‘pujuk’ dan di kempen untuk menghantar anak-anak ke sekolah!!! HAIRAN BIN AJAIB !!!

Teringat saya kata-kata Mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir sebelum bersara, “ Saya akui saya boleh mengubah infrastruktur negara kita, tapi saya tak mampu mengubah MENTALITI (cara pemikiran) rakyat Malaysia sepenuhnya”.

InsyaAllah, saya akan kongsikan kisah PATI ini kepada ibubapa dalam program ‘Jom ke Sekolah’ itu nanti. Sayapun tak mampu mengubah sikap atau mentaliti semua audien, namun sekurang-kurangnya saya telah berusaha.... Bukankah melakukan sesuatu lebih baik daripada tidak berbuat apa-apa???

0 comments:

Post a Comment