Hampir seminggu saya tidak ’up-date’ blog ini. Kekangan tugas di luar dan hambatan masa menyebabkan saya tidak dapat menambah koleksi bahan untuk blog ini. Minggu lepas ( 4 hingga 8 April 2010 ), saya dijemput untuk bersama dengan para pemimpin pelajar di SMK Bandar, Kuala Krai. Berceramah kepada ibubapa SK Manek Urai dalam program ’Jom ke Sekolah’. Berinteraksi dengan pelajar tingkatan lima di SMK Sultan Yahya Petra 2, dan juga memberi input motivasi kepada pelajar-pelajar target PMR sekolah-sekolah dalam PPD Kuala Krai. Rasa kepenatan juga minda dan fizikal saya... Berhadapan dengan pelbagai peringkat kumpulan sasaran memang memerlukan persediaan. Secara teorinya, bukan susah untuk berhadapan dengan lebih 200 ibubapa dan murid sekolah rendah. Tetapi realitinya amat berbeza. Saya perlu ’tackle’ semua murid dan ibubapa mereka di dewan terbuka pada jam 3 petang! Kerap kali pengalaman yang banyak membantu saya dalam menghadapi situasi sebegini.
Setiap kelompok sasaran yang saya hadapi ada cabarannya. Agak mudah berinteraksi dengan kelompok pelajar target atau pelajar cemerlang. Namun perlu waspada dengan input atau isi yang ingin disampaikan. Pelajar cemerlang tidak perlukan ucapan atau leteran yang berjela-jela. Mereka mahukan input-input bernas dan nyata yang boleh mereka aplikasikan. Penghormatan mereka terhadap saya sebagai penceramah juga tinggi. Suasana ini amat berbeza ketika saya berinteraksi dengan pelajar biasa dan sederhana pencapaiannya. Berbagai kerenah boleh dilihat. Kumpulan yang kurang berminat kerana rasa terpaksa atau ’dipaksa’ untuk hadir. Inilah cabaran. Cabaran inilah yang mematangkan saya dalam penyampaian ceramah selama hampir 15 tahun.
Terdetik juga di hati mahu sahaja bersara... letih kerana asyik mendengar bermacam-macam kes salah laku dan jenayah yang dilakukan oleh remaja sekolah. Seolah-olah seruan dan nasihat yang para pendidik berikan tidak memberi kesan. Namun teringat juga maksud Surah al-Ash yang menjadi penghias laman blog ini....
”Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali mereka-mereka yang beriman dan beramal soleh. Dan mereka-mereka yang berpesan-pesan dengan kebenaran, serta mereka yang berpesan-pesan dengan kesabaran”.
Alhamdulillah, kekuatan jiwa saya datang kembali. Maka berkatalah hati, ”Kemahiran dan kebolehan menyampaikan ini adalah anugerah Allah SWT dan tidak semua orang mampu melakukannya”.
Saya akan teruskan perkhidmatan bimbingan ini selagi masih diperlukan. Saya yakin menyumbang sesuatu (walaupun kecil) adalah LEBIH BAIK daripada tidak memberikan apa-apa sumbangan pun.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment