SELAMAT TAHUN BARU 2011!

Friday, December 31, 2010
Almarhumah nenda saya pernah berkata, semakin bertambah usia bumi semakin cepat terasa hari-hari berlalu. Waktu bermain seharian semasa kecil terasa panjang sungguh. Berbanding waktu bekerja ketika dewasa begitu cepat waktu dan hari-hari berlalu. Setahun sudah menjalani kehidupan dalam 2010 ini bagaikan semalam sahaja melihat sambutan tahun baru. Terasa benar juga kata-kata almarhumah nenda saya itu. Sedar tak sedar sudahpun berada di hari terakhir tahun 2010. Hakikatnya terlalu banyak perkara yang belum selesai. Bagaimanakah agaknya mahu memasang impian dan azam untuk tahun baru 2011? Sedangkan banyak lagi impian dan azam tahun 2010 yang masih belum direalisasi. Saya sangat pasti tahun 2011 akan menjadi tahun yang amat mencabar buat diri saya. Di tempat kerja baru ini tentunya bidang kerjaya saya semakin mencabar dan sukar. Beralih kepada bidang kerja yang sangat berbeza dari sebelumnya, membuat saya risau juga. Mampukah saya memberikan yang terbaik untuk kerjaya baru ini? Mampukah saya mengekalkan kekuatan dan semangat diri di tanah tinggi ini? Mampukah saya tetap segar bertenaga mendaki ketinggian berkabus dan berselekoh tajam berkabus tebal ini? (untuk tempoh yang panjang). Namun keputusan telah dibuat. Mengundur ke belakang, menyerah kalah bukan prinsip saya. Semoga Allah SWT sentiasa mengurniakan kekuatan dan kesihatan berkekalan kepada saya untuk meneruskan cabaran kehidupan ini. Doa saya juga, semoga semua pemantau blog ini juga akan beroleh kesejahteraan dan kejayaan pada tahun 2011. Amin ya Rabbal 'alamin.
CATATAN:
1. 'SEMOGA HARI INI LEBIH BAIK DARIPADA SEMALAM DAN ESOK AKAN LEBIH BAIK DARIPADA HARI INI!'

HIDUP PERLU TERUS!

Thursday, December 30, 2010
Terharu hati saya ketika menerima panggilan telefon petang tadi. Pemanggil yang tidak saya kenali ini benar-benar membuat saya sayu. Dia tidak pernah kenal saya dan saya pun begitu. Katanya dia kenal saya melalui blog kecil ini. Saya pun tidak pasti bagaimana dia mula ikuti blog ini. Baru sahaja menamatkan pengajian ijazah di sebuah universiti awam. Mungkin dengan secara tidak sengaja dia 'menjenguk' blog ini. Jujur suaranya menerangkan sedikit latarbelakang diri yang tidak punyai ibu dan ayah. Berusaha dan ikhtiar sendiri mencari pekerjaan setelah bergelar graduan. Saya amat memahami kesukaran dan kerisauan yang dia alami. Bukan senang untuk mendapat pekerjaan walaupun sudah bergelar graduan universiti.
Saya mempunyai pengalaman sebagai panel temuduga GSTT di tempat kerja lama. Calon-calon yang hadir temuduga terdiri daripada graduan-graduan universiti. Ada yang telah sepuluh tahun bekerja sebagai penyelia di sebuah restoran makanan segera di ibukota. Ada yang telah enam tahun bekerja di kilang. Ada calon yang menangis di hadapan saya ketika itu kerana terlalu mengharapkan supaya dipilih! Pengalaman seperti itu menyebabkan saya jadi lebih sedar perjuangan anak muda lepasan universiti. Mereka rajin dan bersemangat. Silap besar jika ada orang yang mengatakan bahawa graduan univerisiti kita malas atau memilih kerja. Petang ini lebih meyakinkan saya lagi bahawa ramai graduan kita kuat daya usaha dan inisiatif mereka untuk meneruskan kehidupan...
CATATAN:
1. Semoga graduan yang menelefon saya petang tadi akan dapat mencapai impian untuk mendapat pekerjaan.
2. Terfikir saya tentang nasib anak-anak sendiri nanti...
3. Teringat juga satu ungkapan yang pernah saya baca, "ORANG YANG TIDAK MAHU BERUSAHA BAGAIKAN ORANG MATI SEBELUM TUA!"

SAKIT GIGI VS 'BAD MOOD'

Thursday, December 23, 2010
Orang kata, jangan bergurau dan main-main dengan orang yang sedang sakit gigi. Begitu juga dengan orang yang 'bad mood'... Persoalannya bagaimana kita nak mengenalpasti seseorang itu sakit gigi atau 'bad mood'?
Kalau orang itu sakit gigi mungkin mukanya berkerut di dahi menahan sakit. Orang 'bad mood'? Sukar juga untuk kenal orang 'bad mood' ini... sebab ramai orang boleh menyembunyikan mood mereka yang ssbenar. Namun ramai juga yang memang tidak berbakat menyembunyikan emosinya. Ketara atau tidak 'bad mood' seseorang bergantung kepada kemampuan dan kebolehan mereka sendiri.
Sebelum ini saya tidak tahu tentang betapa sakit gigi kerana saya tidak pernah sakit gigi.. alhamdulillah.
Semalam, saya merasai bagaimana deritanya sakit gigi! Dalam usia hampir setengah abad, akhirnya gigi pertama saya sakit dan terpaksa dicabut! Memang derita. Berbekalkan 2 biji pil penahan sakit yang dimakan namun denyutan sakit melewati hingga ke malam...Semuanya menjadi tidak tentu hala. Pendapat menjadi tidak bernas. Pemikiran menjadi tumpul. Ketawa riang anak-anak menjadi bunyi yang menyesakkan telinga dan hati!
Begini rupanya bila kita sakit gigi.. apalagi pada masa sama perlu berkomunikasi dengan orang yang 'bad mood'! Ia menguji kesabaran sungguh.
Syukur kerana saya mampu memahami orang 'bad mood' ini. Saya faham orang 'bad mood' ini memerlukan perhatian dan 'telinga'. Jadi saya memiliki telinga dan hati untuk mendengar orang 'bad mood' ini. Hasilnya, saya dapat berkomunikasi dengan lancar dan berkesan dengan orang 'bad mood' tersebut. Saya berfikir, "Sebab apa ye?". Saya faham sekarang kerana saya tidak beritahu pun yang saya sedang sakit gigi pada masa itu!
CATATAN:
1. Kata bijak pandai, mulakanlah hari-hari anda dengan senyuman dan emosi yang baik dan ceria.. pasti hari-hari anda akan begitu.
2. 'Mood' atau emosi adalah hak individu yang amat bergantung kepada individu itu sendiri untuk memilih.
3. Seseorang perlukan waktu tersendiri untuk urusan sendiri dengan duduk sendiri sambil memikirkan diri sendiri.....
4. Dan saya...ianya satu peringatan kepada diri bahawa usia telah meningkat lagi!

INDAH SUNGGUH PANTUN MELAYU..

Saturday, December 18, 2010
Buah langsat kuning mencelah
Senduduk tidak berbunga lagi
Sudah dapat gading bertuah
Tanduk tidak berguna lagi
**********
Dua paya satu perigi
Seekor bujuk anak haruan
Tuan di sana saya di sini
Bagai pungguk rindukan bulan
**********
Gesek rebab petik kecapi
Burung tempua membuat sarang
Apa sebab jadi begini
Karam berdua basah seorang ?
**********
Hendak gugur gugurlah nangka
Jangan menimpa putik pauh
Hendak tidur tidurlah mata
Jangan mengenang si dia yang jauh
**********
Kain batik negeri seberang
Dipakai anak Tanah Melayu
Apa ertinya kasih dan sayang
Kalaulah abang berjanji palsu
**********
Pantai Cendering pasirnya putih
Anak dagang berulang mandi
Apa disesal orang tak kasih
Sudah suratan diri sendiri
**********
Disana pauh di sini pun pauh
Daun mengkudu ditandungkan
Adinda jauh kekanda jauh
Kalau rindu sama tanggungkan
**********
Pulau Tinggi terendak Cina
Nampak dari Pulau Sibu
Abang pergi janganlah lama
Tidak kuasa menanggung rindu
**********
Putik pauh delima batu
Anak sembilang di tapak tangan
Tuan jauh di negri satu
Hilang di mata di hati jangan

SATU TRAGEDI...

Friday, December 17, 2010
Aku bukan sengaja mahu pergi sejauh ini. Aku hanya ingin mencari ketenangan dan kehangatan dalam musim tengkujuh ini. Aku tahu tempat ini sangat sesuai dan hangat untuk aku. Malah keselamatan ku amat terjamin berlindung di balik keras dinding. Dalam suasana tenang dan damai tiba-tiba aku dikejutkan dengan deruman jentera yang sangat kuat. Menggelabah aku di buatnya. Nasib baik aku tidak tertarik ke dalam putaran kipas jentera ini. Aku bergegas mencari tempat yang selamat. Paling penting sekarang ialah lari dari pusat jentera yang menderum ini! Fuhhh.. syukur akhirnya aku dapat keluar dari zon merah yang amat merbahaya itu. Namun nampaknya geruh aku belum tamat. Berjaya keluar dari zon merah tetapi terpaksa hadapi puting beliung laju yang menolak dan menarik aku jatuh ke bawah. Rupa-rupanya jentera ini bergerak laju dan puting beliung yang menarik aku itu ialah tolakan angin akibat kelajuan itu.
Aku berpaut sekuat hati dan sepenuh kudrat yang ada. Menggeleber pipiku menahan tolakan angin. Merah menyala biji mataku menahan angin. Mengalir cecair dari mulutku dek kerana lajunya angin! Jentera ini bukan semakin perlahan tetapi semakin laju dan laju. Bagaikan berada di hujung nyawa aku mengerah kudrat terakhir...Arrgghhhhhhh! Akhirnya pegangan tangan dan kakiku terlepas juga. Tubuhku melayang-layang bagaikan sekeping kertas...Matilah aku kali ini!!
CATATAN:
1. Barangkali begitulah agaknya monolog seekor cicak yang bergantung di cermin sisi kereta semasa saya dalam perjalanan ke Genting..... Maaf saya pun tidak pasti akan nasib cicak itu selanjutnya.
REFLEKSI DIRI:
1. Semoga saya sentiasa tahu ke mana destinasi dan tujuan sepanjang penghijrahan ini.... agar tidak silap memilih destinasi.


I.A.B. HERE I COMES!

Thursday, December 16, 2010
16 Disember 2010 menjadi tarikh keramat kepada satu lagi perkembangan diri saya. Hari pertama mula bertugas dengan jawatan baru yang mungkin tidak pernah bermimpi. Beberapa tahun dahulu saya datang ke sini sebagai peserta kursus. Kini saya datang sebagai salah seorang staf. Ternyata sangat berbeza perasaan dan emosi. Bertemu dengan rakan-rakan sejawat baru dari seluruh pelusuk Malaysia dan perbagai bangsa. Menarik juga bagi saya yang memang suka 'mengkaji' tingkah laku manusia ini. Berbagai jenis manusia dengan pelbagai bentuk dan tema diri dan peribadi mereka! Masih teringat kata-kata Prof. Dr. Amla Salleh (UKM), "Untuk mengenal manusia bila pertama kali bertemu, lihat dan perhatikanlah 'tema' atau topik perbualan dan kata-kata orang itu'. Cuba meramal dan mengenal seseorang perlu untuk memulakan persahabatan atau perkenalan. Membina persahabatan memerlukan kesamaan dan keserasian. Perkenalan yang tidak ada kesamaan dan keserasian langsung bakal membataskan persahabatan. Proses awal ini akan menentukan samada kita sesuai atau tidak untuk bersahabat dengan seseorang.
CATATAN:
1. Kata orang tua-tua, 'Ada banyak jenis kawan. Ada kawan yang boleh dibawa hingga ke dalam rumah tetapi itu tidak ramai. Ada ramai kawan yang hanya boleh dipelawa hingga di beranda sahaja. Lebih ramai kawan yang hanya layak duduk di tangga sahaja. Ramai benar kawan yang hanya boleh berlegar dalam pagar rumah. Kawan yang patut berada di luar pagar rumah bersepah-sepah ramainya! Semuanya digelar kawan-kawan. Makanya, kebijaksanaan menilai jenis-jenis kawan ini sangat perlu supaya kita tidak salah memilih kawan dan akhirnya kita di'makan' oleh kawan!
p.s. Yang mana satu paling tepat?
 1. Berkasih biar seribu, berkahwin biar satu? atau..
 2. Berkawan biar seribu, berkasih biar satu?
 3. Berkawan beribu, berkahwin usah lebih daripada dua!?

KITA PERLU SESEORANG....

Tuesday, December 14, 2010
Semalam seorang klien wanita menelefon saya setelah berbulan dia menyepi. Kes dia dan anak lelakinya pernah saya tulis beberapa bulan lepas. Terkejut juga kerana dia masih menyimpan nombor saya. Fikiran saya tidak meleset bila saja dia beritahu tentang anaknya. Tahun depan anaknya akan menduduki peperiksaan SPM. Jika pada pertemuan dahulu dia bercerita tentang tingkah laku si anak yang dianggap sudah melampau: kini perkara yang sama berlaku. Malah katanya si anak lebih kasar dan selalu marah-marah! Klien ini mahu membuat temujanji untuk bertemu dan mendapatkan sesi kaunseling daripada saya. Saya katakan bahawa saya tidak lagi bertugas di PPD KK. Dengan nada terkejut, dia bertanya saya akan bertukar ke mana? Lalu saya ceritakan secara ringkas tentang perpindahan saya ke tempat baru. Dia mengeluh kerana dia berhajat benar untuk bertemu dan berbincang tentang konfliknya dan anak. Saya katakan pasti akan ada pengganti saya selepas ini. Pengganti yang bakal mengambil alih tugas memberikan perkhidmatan menolong ini. Terkedu saya bila klien ini berkata, "Susah la lepas ni saya nak berbincang tentang masalah saya.. orang lain mungkin saya tidak kenal. Dan paling penting belum tentu saya boleh PERCAYA kepada orang itu!"....
CATATAN:
1. Kasih ibu sepanjang hayat walaupun sesetengah ibu tidak tahu menunjukkan kasih sayang yang sepatutnya terhadap anak-anak.
2. Kepercayaan dan penghargaan bukan sesuatu yang boleh dipaksa tetapi ianya ANUGERAH!
3. Benar, separuh daripada masalah akan selesai bila seseorang itu 'berkongsi' dengan orang yang boleh dipercayai!

EUSTRESS VS DISTRESS

Monday, December 13, 2010
Ten Great Tips For 2011


1. Stay out of trouble.
2. Aim for greater heights.
3. Stay focused on your job.
4. Exercise to maintain good health..
5. Practice team work..
6. Rely on your trusted partner to watch your back.. Take your time trusting others.
7. Save for rainy days.
8. Rest and relax.
9. Always take time to smile.
AND
10. Realize that nothing is impossible..
CATATAN:
1. Stress adalah normal kepada manusia yang hidup.
2. Sebenarnya stress ada dua jenis iaitu 'Eustress' dan 'Distress'. (Stress positif dan stress negatif)
3. Manusia memerlukan stress untuk meneruskan kehidupan.

MERDEKA SEMENTARA...

Thursday, December 9, 2010
Malam tadi saya ke MRSM mengambil anak sulung dengan segala barang-barangnya. Dua tahun belajar di MRSM itu cukup mengisi penuh ruang kereta saya! Kini saya percaya kata-kata seorang kawan, barang-barang orang perempuan dua kali ganda berbanding lelaki. Nampak jelas di wajah tanda ceria bagaikan baru lepas bayar hutang! Merdeka katanya. Setelah berminggu-minggu berhempas pulas menghadapi SPM. Saya teringat zaman persekolahan. Tidak lengkap jika saya tidak berteriak kuat bila saja keluar dari dewan peperiksaan. Ketika itulah rasa lega dan hilang segala tekanan yang menyesak dalam kepala. Rupanya seronok buat begitu. Teriakan saya berterusan juga ketika belajar di M4P Pulau Pinang, IPDA, UKM. Teriakan terapi menghilangkan 'stress' itu berakhir ketika saya selesaikan sarjana. Barangkali umur begini tak sesuai lagi untuk berteriak di hadapan orang ramai.... lalu saya bertanya anak sulung saya, "Apa yang kakak buat selepas selesai saja exam?". Dia menjawab bersahaja, " Selesai saja exam terakhir, kakak terus lemparkan buku dan alat tulis!". Hah! saya tak pernah pun beritahu dia yang saya suka berteriak selepas exam!
CATATAN:
1. Teringat ungkapan 'LIKE FATHER LIKE SON'...jadi situasi saya ini mungkin 'LIKE FATHER LIKE DAUGHTER'!
2. Minggu lepas dua pelajar sekolah menengah di KK pengsan dan terpaksa di rawat di hospital. Khabarnya mereka terlalu stres dengan peperiksaan.
3. SANGAT PENTING UNTUK PARA KAUNSELOR MEMBERIKAN ILMU PENGETAHUAN TENTANG PENGURUSAN STRES KEPADA PARA PELAJAR. Sekurang-kurangnya menjadi langkah persediaan sebelum menghadapi peperiksaan.

TERIMA KASIH TEMAN-TEMAN!

Sukar nak digambarkan perasaan hari ini. Teman-teman kaunselor menjemput ke majlis ringkas (jika boleh dinamakan majlis)yang diadakan di KK. Teman-teman kaunselor yang telah menjadi sebahagian daripada 'team'. Pasukan yang jelekit dan mesra tetapi tetap komited melaksanakan tugasan masing-masing. Itulah kekuatan insan-insan bernama kaunselor ini! Bermesyuarat membincangkan agenda penting pun tetap ceria dan penuh celoteh gurauan. Namun setiap tugasan atau program berjaya dilaksanakan dengan berkesan. Hubungan kami yang akrab menjadi sebutan di PPD lain. Itulah antara pengalaman dan kenangan manis yang tidak mungkin dapat saya perolehi lagi selepas ini. Sesungguhnya saya terasa amat dihargai.. teringat kepada satu ungkapan dalam bahan bacaan yang pernah di baca.."KE MANAPUN ANDA PERGI, SENTIASALAH CUBA UNTUK MENJADI ORANG YANG MENYAYANGI DAN DISAYANGI"
CATATAN:
1. Terima kasih Abe Wel, Kak Za, Yan, Kamaliah, Adik Ku Lina, Bi, Zam, Sakri, Shook, Abe Zahari, Nazri dan semua kaunselor SM PPDKK.
2. Kenangan terindah ialah ketika bekerja bersama-sama kalian.

SALAM HIJRIAH 1432

Monday, December 6, 2010
Semalam (6.12.2010) saya ikuti sepenuhnya siaran secara langsung di TV1. Siaran bermula sebelum Maghrib hingga selepasnya. Menarik sungguh kerana dapat ikuti program yang sepatutnya diikuti oleh semua orang Islam di Malaysia. Mengikuti doa akhir tahun dan awal tahun dan seterusnya membaca surah Yasin menimbulkan ketenangan hati yang tidak tergambarkan. Program seumpama itulah yang seharusnya telah lama diberi keutamaan oleh pihak media terutama media kerajaan. Berbanding memberikan ruang dan promosi yang melampau kepada sambutan tahun baru Masehi. Bagaikan langit dan bumi bila menyaksikan sambutan tahun baru Masehi saban tahun di kaca TV. Muak mendengar pelbagai impak negatif yang terhasil daripada perhimpunan 'halal' yang dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti haram itu. Lalu kepada siapa yang harus dipersalahkan?
CATATAN:
1. Sedih bila dengar keluhan rakan-rakan guru dan kaunselor, "....yang membantu membina akhlak dan pekerti anak-anak remaja kurang sangat... yang 'membantu' merosakkan ramai sekali!".