Terharu hati saya ketika menerima panggilan telefon petang tadi. Pemanggil yang tidak saya kenali ini benar-benar membuat saya sayu. Dia tidak pernah kenal saya dan saya pun begitu. Katanya dia kenal saya melalui blog kecil ini. Saya pun tidak pasti bagaimana dia mula ikuti blog ini. Baru sahaja menamatkan pengajian ijazah di sebuah universiti awam. Mungkin dengan secara tidak sengaja dia 'menjenguk' blog ini. Jujur suaranya menerangkan sedikit latarbelakang diri yang tidak punyai ibu dan ayah. Berusaha dan ikhtiar sendiri mencari pekerjaan setelah bergelar graduan. Saya amat memahami kesukaran dan kerisauan yang dia alami. Bukan senang untuk mendapat pekerjaan walaupun sudah bergelar graduan universiti.
Saya mempunyai pengalaman sebagai panel temuduga GSTT di tempat kerja lama. Calon-calon yang hadir temuduga terdiri daripada graduan-graduan universiti. Ada yang telah sepuluh tahun bekerja sebagai penyelia di sebuah restoran makanan segera di ibukota. Ada yang telah enam tahun bekerja di kilang. Ada calon yang menangis di hadapan saya ketika itu kerana terlalu mengharapkan supaya dipilih! Pengalaman seperti itu menyebabkan saya jadi lebih sedar perjuangan anak muda lepasan universiti. Mereka rajin dan bersemangat. Silap besar jika ada orang yang mengatakan bahawa graduan univerisiti kita malas atau memilih kerja. Petang ini lebih meyakinkan saya lagi bahawa ramai graduan kita kuat daya usaha dan inisiatif mereka untuk meneruskan kehidupan...
CATATAN:
1. Semoga graduan yang menelefon saya petang tadi akan dapat mencapai impian untuk mendapat pekerjaan.
2. Terfikir saya tentang nasib anak-anak sendiri nanti...
3. Teringat juga satu ungkapan yang pernah saya baca, "ORANG YANG TIDAK MAHU BERUSAHA BAGAIKAN ORANG MATI SEBELUM TUA!"
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment