SEMUA ADALAH MILIKNYA....

Wednesday, January 26, 2011
Hari pertama melaporkan diri November lepas mempertemukan saya dengan dia. Orangnya mesra dan mudah senyum. Begitu senang berbicara dan bertukar cerita. Ibu muda yang baru punya anak dua. Berasal dari Bentong dan suaminya bekerja sebagai anggota JPJ. Pada saya keramahan dia memang membuat saya sangat selesa. Warga baru IAB yang meninggalkan keluarga untuk datang sejauh ini tentu sahaja senang dengan layanan mesra sebegitu. Sering di sapa dengan mesra ketika tamat waktu kerja meyakinkan saya bahawa dia memang sesuai bertugas di bahagian hadapan IAB Induk ini.
Hari Khamis lepas saya terserempak dengannya bersama seorang kawan. Namun dia tidak senyum dan menyapa seperti selalu. Saya terus menegurnya. Dia berpaling ke arah saya dan tersenyum tanpa kata. Saya dan dia terus berlalu meneruskan tugas masing-masing.
Awal pagi tadi sebelum memulakan kerja, saya dikejutkan dengan satu berita sedih. Staf yang mudah tersenyum di kaunter hadapan itu meninggal dunia dalam kemalangan jalanraya di Setiawan.....Al-Fatihah. ( Saya teringat dia asyik bercerita tentang anak dan suaminya kepada saya sebulan lepas.....)
CATATAN:
1. DARIPADA ALLAH KITA DATANG, KEPADANYA JUA KITA KEMBALI..
2. SEANDAINYA SEMUA ORANG MENGERTI BAHAWA SEMUA ADALAH MILIK ALLAH, PASTI TIADA YANG ANGKUH MENONGKAT LANGIT DAN LUPA DIRI....

KG. PEK, KG. TENGAH & KELAWEH

Monday, January 24, 2011
Berbulan sudah saya 'berhenti' daripada menyampaikan ceramah. Mungkin kerana cuti sekolah yang panjang dan juga musim peperiksaan telah selesai. Sebenarnya rindu juga dengan semua itu. Sejak mula bekerja di tempat baru, saya mulai risau juga. Mungkin kemahiran pengucapan awam khasnya keupayaan menyampaikan ceramah akan 'hilang' begitu sahaja! Berbelas tahun menyampaikan ceramah kepada ibubapa, pelajar, dan penjawat awam merupakan pengalaman yang tidak dapat dibeli di mana-mana pun.
Terdetik juga di hati barangkali sudah sampai waktunya 'TENGKU ABDULLAH' menjadi penceramah yang dilupakan!
Dua minggu lepas saya dihubungi oleh tiga pentadbir dan guru sekolah. Saya dijemput untuk menyampaikan ceramah kepimpinan dan kemahiran keibubapaan... Oh, rupanya masih ada yang mengingati saya. Walaupun keletihan, pemimpin pelajar sekolah rendah di SK Kampong Pek dan SK Kampong Tengah telah menyegarkan saya! Berkongsi ilmu dan pengalaman keibubapaan dengan ibubapa di SK Kelaweh memberikan suntikan ajaib kepada saya. Keletihan memandu ke Genting bagaikan hilang. Sabtu dan Ahad lepas menjadikan hati dan jiwa saya menjadi 'segar' kembali.
CATATAN:
1. Saya masih tetap yakin dan percaya bahawa 'MEMBERIKAN YANG TERBAIK KEPADA ORANG LAIN...PASTI SAYA JUGA AKAN DIANUGERAHI YANG TERBAIK'! INSYAALLAH.

KABEL TELEKOM & GETAH SEKERAP

Saturday, January 22, 2011
Ketika bertugas di PPD KK, masih teringat tentang masalah talian telefon yang kerap tidak berfungsi. Pelbagai pihak seperti JPN, jabatan-jabatan lainm malah, KPM sendiri 'merungut' kerana tidak dapat berhubung dengan PPD KK! Masalah dan jawapan yang sama tetap berlaku. Talian telefon tidak berfungsi kerana kabel telekom dicuri! Jenuh para pegawai dan staf menjawab dan memberikan alasan kepada pelbagai pihak yang menghubungi.
Semalam ada dua berita di TV yang menarik perhatian saya. Dua pencuri kabel telekom berjaya ditangkap bersama dengan longgokan kabel yang telah siap dibakar. Barangkali begitulah juga yang kerap berlaku di sekitar PPD KK itu. Satu lagi berita ialah seorang pencuri getah sekerap dibelasah hingga mati di sebuah daerah di Kelantan! Enam lelaki dikatakan telah memukul suspek hingga menemui ajal. Isunya adalah kerana harga getah yang melambung di pasaran sehingga RM15 sekilogram!! Tak pernah kita dengar kes seumpama ini ketika harga getah di Malaysia berharga 70 sen!
CATATAN:
1. Kewarasan fikiran orang yang waras hilang kerana melihat wang adalah segala-galanya. Apatah lagi penagih dadah yang sengaja 'mencabut' kewarasan fikirannya sendiri.
2. Enam orang yang membelasah mati insan lain itu menjadi TIDAK WARAS dek kerana nilai getah sekerap yang melambung! Orang yang tidak waras sahaja yang menganggap GETAH SEKERAP LEBIH MAHAL DARIPADA NYAWA SEORANG MANUSIA!
3. MANUSIA OH MANUSIA! SEMAKIN SUKAR UNTUK MEMANUSIAKAN MANUSIA...WALAUPUN DUNIA SUDAH SEMAKIN TUA!

MAKANAN JIWA

Wednesday, January 19, 2011
Khoja Nasarudin (1208-1284) ialah lelaki bijak yang lahir di Eskisehir, Turki. Gelagatnya yang pernah menjadi khadi Turki itu sering saja membuatkan orang yang berada di sekelilingnya tergelak. Khoja Nasarudin adalah watak lagenda, samalah halnya dengan Abu Nawas (756-814) di Baghdad. Lawak jenaka mereka dikumpul dan diperturunkan dari mulut ke mulut sampailah ke hari ini.
Ya, Jenaka adalah untuk membuat kita ketawa dan menghiburkan hati. Bayangkan apa akan terjadi kalau hidup ini dijalani tanpa ketawa? Jawapannya: Dunia akan jadi membosankan, kaku dan membebankan! Berikut beberapa jenaka klasik Khoja Nasarudin, saya titipkan untuk makanan jiwa.
JENAKA PERTAMA:
Suatu hari seorang lelaki datang menemui Khoja Nasarudin untuk meminjam keldai keldai kesayangannya. Bagaimanapun sahabat itu hampa apabila Khoja mengatakan bahawa keldai itu telah hilang. Semasa mereka berbual-bual, tiba-tiba keldai yang berada di belakang rumah Khoja berbunyi, "Aakk..uukk..uukk!
"Eh, itu ada bunyi keldai. Tadi engkau kata tak ada?" tanya sahabat itu kepada Khoja.
"Cakap siapa yang engkau nak dengar ni? Cakap aku ke atau cakap keldai?", Khoja Nasarudin bertanya kepada sahabat itu pula.
JENAKA KEDUA:
Suatu petang, Khoja dan rakan-rakannya duduk berehat di bawah sebatang pokok berhampiran sungai. Sedang rancak berbual, tiba-tiba seorang rakan Khoja yang terkenal dengan sifat KEDEKUT telah terjatuh ke dalam sungai. Maka kelam kabutlah mereka cuba membantu menariknya ke darat.
Masing-masing menghulurkan tangan untuk membantu sambil berteriak,"Cepat hulurkan tanganmu!"
Seorang lagi rakan Khoja pula berkata "Berikan tanganmu! Biar aku tarik naik." Namun semuanya tidak diendahkan oleh di kedekut itu. Sebaliknya terus terkial-kial berusaha tanpa mahu dibantu.
Melihat si kedekut itu terkial-kial, Khoja tampil ke depan sambil berkata, "NAH, TERIMALAH TANGANKU UNTUK BANTU MU NAIK!." SI KEDEKUT ITU PUN SEGERA MENCAPAI TANGAN KHOJA LALU DITARIK KE TEBING.
CERITA KETIGA:
"NYEEENGGGG...NYEEEENG" Nyaring sekali bunyi biola yang digesek oleh Khoja Nasarudin. Tapi dari pagi sampai malam hanya satu bunyi sahaja, tidak berubah-ubah. Isterinya sakit telinga mendengar bunyi gesekan biola itu.
"Cubalah abang tengok orang lain. Mereka main biola juga tapi jari jemari mereka turun naik, turun naik ke sana ke mari, macam-macam bunyi. Tapi abang buat bunyi yang sama sampai sekarang...sakit telingasaya ni tau!" isterinya membebel dan menutup telinga.
Jawab Khoja Nasarudin, "ALAHHH, MEREKA MAIN MACAM TU SEBAB SEDANG CARI BUNYI YANG ABANG MAIN NI!" Lalu Khoja terus menggesek biolanya lagi.
Sumber: Majalah Al-Islam (Januari 2011)
CATATAN:
1. Kadang-kadang sebagai manusia, kita perlu peka dengan respon atau reaksi orang lain. Memang jelas tanda jika seseorang itu tidak bersetuju atau tidak sudi memberikan sesuatu...jadi faham-faham sajalah!
2. Sayangkan harta atau milik peribadi adalah normal. Namun kedekut dan bakhil akan menggelapkan hati!
3. Dari aspek sosial, ketawa merapatkan hubungan sesama manusia. Dari aspek psikologi, ketawa meredakan tekanan emosi.

TOLONG INGATKAN AKU....

Terpanggil saya menulis sedikit tentang isu hiburan negara. Baru-baru ini berlangsung Anugerah Juara Lagu (AJL) yang penuh glamor dan meriah. Acara yang disiarkan secara langsung di TV itu menjadi medan pertembungan bakat dan kreativiti insan seni. Saya suka ikuti acara itu. Bukan kerana ingin melihat gaya dan fesyen artis/penyanyi yang rata-rata 'tak cukup kain' itu. Saya ikuti kerana saya kagum dengan kebolehan dan bakat insan kurniaan Allah SWT. Pencipta lagu memang insan istimewa kerana mereka mampu menghasilkan lagu yang tidak semua orang memiliki kemahiran itu. Saya kagum dengan Beethoven yang lagunya terus didengar walaupun dicipta ratusan tahun. Saya kagum dengan lagu P Ramlee yang masih enak didengar sampai ke hari ini.
Kali ini pencipta dan penyanyi baru, Ana Rafali yang menjuarai AJL. Menariknya ialah kemenangannya di protes dan di hentam oleh segelintir peminat yang kononnya 'arif' tentang lagu! Malah ada yang membuka akaun facebook sebagai ruang untuk mengumpul peminat yang tidak setuju dengan kemenangan Ana Rafali.
CATATAN:
1. Manusia sering lupa batas kemampuan diri sendiri sehingga sanggup mengkritik sesuatu yang mereka tidak mahir pun. Barangkali dalam hal ini, pengkritik kemenangan lagu itu fikir mereka LEBIH ARIF berbanding Ketua Juri, M NASIR!
2. Ramai orang sering tidak puashati dengan kelebihan orang lain, tetapi tidak cuba untuk melihat kekurangan diri sendiri!
3. ADALAH LEBIH BAIK KITA HORMATI DAN HARGAI KELEBIHAN ORANG LAIN DI SAMPING KITA BINA KEKUATAN DIRI SENDIRI.
4. Ramai orang yang tidak tahu tetapi mengaku tahu menyebabkan mereka TIDAK AKAN BELAJAR APA-APA.

THE LOYAL WIFE!

Tuesday, January 11, 2011
There was a man who had worked all of his life, had saved all of his money, And was a real miser when it came to his money.
Just before he died, he said to his wife, 'When I die, I want you to take all my money and put it in the casket with me. I want to take my money to the 'after-life' with me.'
And so he got his wife to promise him with all of her heart that when he died, She would put all of the money in the casket with him.
Well, he died…. He was stretched out in the casket, his wife was sitting there in black, and her friend was sitting next to her. When they finished the ceremony, just before the undertakers got ready to close the casket, the wife said, 'Wait, just a minute!'
She had a box with her, she came over with the box and put it in the casket.
Then the undertakers locked the casket down, and they rolled it away.
Her friend said, 'I know you weren't fool enough to put all that money in there in the casket with your husband!'
The loyal wife replied, 'Listen, I can't go back on my word. I promised him that I was going to put that money in that casket with him.'
'You mean to tell me you put that money in the casket with him !?'
'I sure did,' said the wife. 'I got all the money together, put it into my account and wrote him a cheque.
If he can cash it, he can spend it.'
Moral of the story: * Women are cleverer than Men!
Send this to a clever women you know, or A man with a good sense of humor
I just did.
man please take note:- instruction must clear and specify when you say something to wife.
regards
KUNALAN A/L KURIAYA
INSTITUT AMINUDDIN BAKI ZON SABAH,
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA
CATATAN:
1. Bahan ini adalah perkongsian rakan sejawat daripada zon Sabah yang saya titipkan sebagai renungan dan hiburan anda.

LANGIT TAK SELALU CERAH........

Oktober hingga Mac ialah musim sejuk di tanah tinggi ini. Itu kata rakan sejawat senior. Musim ini juga musim untuk rakan sejawat yang telah lama di sini 'merehatkan diri'. Merehatkan diri bukan bermakna tidak bekerja. Merehatkan diri dari tekanan kerja, memperlahankan kadar metabolisme dan seterusnya mengumpul kekuatan untuk melaksanakan tugas dan tanggung jawab. Bertugas di tanah tinggi ini dengan tanggung jawab dan amanah negara yang besar dan berat.... Perlu mengerah kekuatan untuk melaksanakan tanggung jawab besar ini mencabar minda dan semangat diri. Mampukah saya?
Memang nyaman berada di sini namun pasti tugas yang bakal menanti tidak akan akan senyaman hawanya....Hati saya masih lagi mendung sejak di sini. Semoga mendung ini akan berarak lalu dengan segera dan langit cerah yang saya nantikan pasti akan tiba juga...
CATATAN:
1. Seorang teman baik saya baru saja ditamatkan jawatan kontraknya kerana kerenah birokrasi yang memang payah di mengerti. Dan sungguh sedih kerana saya tidak dapat berbuat apa-apa.
2. Begitulah kehidupan...langit tidak selalu cerah namun saya katakan kepadanya, mentari akan pasti muncul juga akhirnya..insyaAllah.

MENEROBOS SEMPADAN DIRI

Saturday, January 8, 2011
Seorang kawan lama menelefon saya setelah sekian lama tidak mendengar khabar berita. Lama juga berbual melalui telefon. Bercerita tentang perkembangan dirinya dan kerjaya. Rupanya kawan saya ini hampir siap pengajian sarjananya. Masih segar di ingatan suatu ketika dahulu. Ketika saya beria-ria mengajaknya menyambung pelajaran peringkat sarjana. Dia menolak dengan alasan belum bersedia. Gembira sungguh hati saya kerana akhirnya dia kuat untuk menyambung pelajaran. Itupun setelah dia berada di perantauan. Benar juga kata-kata, hijrah itu perjuangan dan kejayaan...
Terima kasih kerana berkongsi perkembangan diri. Dan saya rasa bertuah kerana masih diingati.
CATATAN:
1. Sesungguhnya ingatan dan penghormatan adalah 'ANUGERAH'.
2. Tidak semua orang mampu menerobos sempadan diri yang memerlukan kekuatan jiwa dan pengorbanan yang tidak sedikit.
3. Selamat berjaya buat T dan N.

UJIAN PERSAHABATAN

Thursday, January 6, 2011
Mamai dan panik seketika apabila dikejutkan oleh bunyi telefon ketika nyenyak tidur. Terkejut dari tidur memang meresahkan. Apa lagi tika melihat jam yang menunjukkan 12.45 tengah malam! Hujan yang masih tidak berhenti sejak pagi tadi. Panggilan rakan sejawat benar-benar meruntun jiwa saya. Tiga rakan ini dalam perjalanan dari GH untuk pulang ke KB. Dua ayah dan seorang ibu terpaksa berkelana sejauh 470 kilometer saban minggu! Hanya kerana menyahut panggilan kerjaya...demi keluarga tercinta. Nun di sana, isteri, suami, anak-anak setia menanti kepulangan... Empati mencurah-curah bagaikan hujan memenuhi ruang hati. Siapalah yang sanggup berhenti di tengah-tengah hutan jalanraya Gua Musang yang kelam dan sepi?
Di tengah hujan lebat bertemankan Bob (anak buah), saya memandu menghala ke Gua Musang. Sukar sekali perjalanan tengah malam ini. Hujan yang lebat, jalanraya berlubang dan berlopak dalam sungguh menguji cara pemanduan.
Dalam suram cahaya lampu, ketiga-tiga rakan saya terkial-kial dan buntu kerana tidak ada alatan untuk menukar tayar yang sudah hancur! Syukurnya, ada juga seorang hamba Allah yang sudi berhenti bertanya khabar. Namun dia juga tiada alatan untuk membantu. Kehadiran saya benar-benar melegakan!
Selesai menggantikan tayar 'spare' perjalanan diteruskan dengan berhati-hati kerana lopak dalam masih banyak menanti. Ujian datang lagi apabila tayar 'spare' yang baru diganti itupun pecah juga!! MasyaAllah, getus hati saya. Salah seorang rakan mengadu perutnya meragam. Mati kutu rasanya...
Ya Allah, berilah pertolongan Mu...Jam sudah menunjukkan 2 pagi. Saya cadangkan supaya perjalanan diteruskan dengan perlahan ke pekan kecil berhampiran. Jam 3 pagi kami tiba di pekan Laloh. Subhanallah! Doa kami dimakbulkan. Kami tiba di hadapan sebuah kedai tayar dan tuan punya kedai itu berada di hadapan kedainya!!! Jam 3 pagi! Rupanya tuan kedai tayar itu baru sahaja pulang dari KB dan singgah mengambil keretanya di situ.
Ya Allah, bagaikan tidak ada perkataan yang mampu diucapkan dengan 'pertolongan' ini...
CATATAN:
1. Ujian kepada sebuah persahabatan rupanya datang dengan pelbagai situasi dan cara.
2. Setiap pencapaian dan kejayaan datang bersama ujian serta kesabaran.
3. Teringat kata-kata kawan tuan punyai kedai tayar ketika kami ucapkan kesyukuran... "Mungkin encik banyak tolong orang, sebab itu encik dapat pertolongan malam ni..." BERMAKNA SUNGGUH KATA-KATA INSAN INI.......
4. ALHAMDULILLAH..Rakan-rakan saya berjaya juga tiba ke pangkuan keluarga, dan saya LULUS dalam ujian perhabatan ini!

NASI LEMAK DAUN PISANG

Saturday, January 1, 2011
Makanan kegemaran saya ketika berada di sekolah rendah sekitar 70an ialah nasi lemak ikan bilis. Harganya cuma 20 sen tetapi cukup untuk rasa kenyang seharian di sekolah! Hingga saat ini masih dapat saya rasakan betapa enaknya nasi lemak makcik di tepi sekolah itu. Saya pun tak pasti bagaimana nasi lemak berharga 20 sen itu enak sedemikian rupa.. kerana ikan bilisnya kah? Kerana santannya kah? Kerana ramuan cili keringnya kah? Atau kerana dibungkus dengan DAUN PISANG?! Bila di sebut daun pisang, sudah lama saya dengar bahawa daun pisang mampu menyedapkan makanan. Benarkah begitu? Isu ini hanya boleh dijawab oleh suri-suri yang berpengalaman di dapur...
Anak-anak bagaikan tidak percaya bila saya ceritakan bahawa nasi lemak di zaman sekolah ayah mereka cuma berharga 20 sen! Realitinya tidak mungkin mereka dapat beli nasi lemak dengan harga 20 sen sekarang. Wang saku seharian paling kurang RM2.00 setiap anak di sekolah rendah. Jika ada kelas fardu ain atau kegiatan ko kurikulum petang, belanjanya perlu ditambah lagi.....
CATATAN:
1. Perubahan zaman, peningkatan kos sara hidup sesuatu hakikat yang nyata dan pasti tidak dapat dielakkan.
2. Sebagai rakyat biasa, rasa kecil hati menyelinap dalam sanubari... mengapa bila sahaja harga petrol dinaikkan 10 sen, milo naik 10 secawan, roti canai naik 10 sen sekeping! Bila sahaja harga gula naik 30 sekilo, kuih muih naik harga 10 sen sebiji!!! ADILKAH ITU??
3. Kadang-kadang sedih juga, bila sahaja harga petrol dan gula dinaikkan, maka berkatalah orang-orang, "HARGA GULA DAN PETROL DI NEGARA KITA JAUH LEBIH MURAH JIKA DIBANDINGKAN DENGAN NEGARA......BLA BLA BLA!!!" (SUNGGUH KLISE KENYATAAN SEUMPAMA ITU....)
4. DAN SAYA BARU SAJA MENIKMATI NASI LEMAK BERDAUN PISANG BUATAN ISTERI WALAUPUN RASANYA TIDAK SAMA DENGAN NASI LEMAK KEGEMARAN SAYA DAHULU... TERIMA KASIH UMMI...