UJIAN PERSAHABATAN

Thursday, January 6, 2011
Mamai dan panik seketika apabila dikejutkan oleh bunyi telefon ketika nyenyak tidur. Terkejut dari tidur memang meresahkan. Apa lagi tika melihat jam yang menunjukkan 12.45 tengah malam! Hujan yang masih tidak berhenti sejak pagi tadi. Panggilan rakan sejawat benar-benar meruntun jiwa saya. Tiga rakan ini dalam perjalanan dari GH untuk pulang ke KB. Dua ayah dan seorang ibu terpaksa berkelana sejauh 470 kilometer saban minggu! Hanya kerana menyahut panggilan kerjaya...demi keluarga tercinta. Nun di sana, isteri, suami, anak-anak setia menanti kepulangan... Empati mencurah-curah bagaikan hujan memenuhi ruang hati. Siapalah yang sanggup berhenti di tengah-tengah hutan jalanraya Gua Musang yang kelam dan sepi?
Di tengah hujan lebat bertemankan Bob (anak buah), saya memandu menghala ke Gua Musang. Sukar sekali perjalanan tengah malam ini. Hujan yang lebat, jalanraya berlubang dan berlopak dalam sungguh menguji cara pemanduan.
Dalam suram cahaya lampu, ketiga-tiga rakan saya terkial-kial dan buntu kerana tidak ada alatan untuk menukar tayar yang sudah hancur! Syukurnya, ada juga seorang hamba Allah yang sudi berhenti bertanya khabar. Namun dia juga tiada alatan untuk membantu. Kehadiran saya benar-benar melegakan!
Selesai menggantikan tayar 'spare' perjalanan diteruskan dengan berhati-hati kerana lopak dalam masih banyak menanti. Ujian datang lagi apabila tayar 'spare' yang baru diganti itupun pecah juga!! MasyaAllah, getus hati saya. Salah seorang rakan mengadu perutnya meragam. Mati kutu rasanya...
Ya Allah, berilah pertolongan Mu...Jam sudah menunjukkan 2 pagi. Saya cadangkan supaya perjalanan diteruskan dengan perlahan ke pekan kecil berhampiran. Jam 3 pagi kami tiba di pekan Laloh. Subhanallah! Doa kami dimakbulkan. Kami tiba di hadapan sebuah kedai tayar dan tuan punya kedai itu berada di hadapan kedainya!!! Jam 3 pagi! Rupanya tuan kedai tayar itu baru sahaja pulang dari KB dan singgah mengambil keretanya di situ.
Ya Allah, bagaikan tidak ada perkataan yang mampu diucapkan dengan 'pertolongan' ini...
CATATAN:
1. Ujian kepada sebuah persahabatan rupanya datang dengan pelbagai situasi dan cara.
2. Setiap pencapaian dan kejayaan datang bersama ujian serta kesabaran.
3. Teringat kata-kata kawan tuan punyai kedai tayar ketika kami ucapkan kesyukuran... "Mungkin encik banyak tolong orang, sebab itu encik dapat pertolongan malam ni..." BERMAKNA SUNGGUH KATA-KATA INSAN INI.......
4. ALHAMDULILLAH..Rakan-rakan saya berjaya juga tiba ke pangkuan keluarga, dan saya LULUS dalam ujian perhabatan ini!

0 comments:

Post a Comment