REMAJA OH REMAJA! (2)

Monday, March 29, 2010
Tidak adil rasanya jika tidak memberikan alternatif kepada remaja yang bergelar pelajar ini. Remaja yang positif dan berkualiti memilikki kemampuan untuk berfikir dengan matang dan bijak. Lalu saya ingin memberikan alternatif seperti apa yang telah saya lontarkan kepada pelajar remaja di dalam Program MAPAN di Bachok tempoh hari. Inilah ciri-ciri yang sepatutnya ada pada diri para remaja generasi pewaris bangsa dan negara tercinta.

R – Rajin, ’Respect’ (dirinya dan orang lain)

E – Efektif (kepada semua), Empati (kepada ibubapa)

M – Mampu (hadapi rintangan), 'Mantop'

A – Akur, Adil

J – Jaya, Jauh (berfikiran dan berpandangan jauh)

A – Allah (sentiasa di hati)

Saya ingin katakan kepada remaja bahawa Allah Yang Maha Adil tidak pernah zalim. Kita sentiasa diberi pilihan untuk kita pilih menggunakan akal fikiran yang waras. Pilihan adalah di tangan anda. Sama ada anda ingin menjadi remaja yang berjaya dan seterusnya berjasa kepada semua. Atau menjadi orang yang gagal, seterusnya menjadi masalah kepada semua orang??? Pilihan di tangan anda.

REMAJA OH REMAJA!

Saturday, March 27, 2010
Remaja oh remaja!
Saya mencabar minda dan emosi pelajar-pelajar sekolah menengah dalam PPD Bachok baru-baru ini. Tujuan saya ialah untuk mengajak anda berfikir dan bermuhasabah diri tentang fungsi dan peranan yang sepatutnya anda mainkan. Sebagai anak, anda perlu memahami bahawa tanggungjawab anda adalah besar dan penting! Semoga para remaja faham dan mengambil iktibar tentang tanggapan negatif yang dilemparkan oleh masyarakat masa kini terhadap remaja. Harapan saya semoga remaja akan faham bahawa segala tanggapan itu bukan sekadar tanggapan tetapi kenyataan yang mereka boleh lihat sendiri.

R – Rosak, Rempit

E – Elak (segala seruan ke arah kebaikan), Ego

M- Malas

A – Angkuh

J – Jahat, Jenayah

A – Akhir (tak kisah walaupun sentiasa ketinggalan dalam pelajaran!)

Persoalannya adakah para remaja mampu menafikan segala tanggapan sebegini? Tentu sahaja tidak kerana terlalu ramai remaja di luar sana yang melakukan segala perbuatan negatif tersebut. Mahu atau tidak mahu para remaja perlu menerima kenyataan ini. Saya ingin mengajak para remaja berfikir sejenak. Seterusnya mengambil sikap dan keazaman seterusnya membuktikan bahawa anda tidak termasuk dalam kategori remaja sedemikian.

MAPAN (2) PPD BACHOK

Pada 25 Mac 2010 yang lepas, PPD Bachok dengan kerjasama Majlis Aspirasi Pemangkin Nasional (MAPAN) telah mengadakan siri ke dua programnya. Kali ini kumpulan sasarannya ialah hampir 400 pelajar sekolah menengah dari sekolah dalam PPD Bachok.

Menerima undangan untuk menyampaikan ceramah bagi kali kedua daripada PPD yang sama merupakan satu penghormatan. Berinteraksi dengan pelajar-pelajar sekolah menengah tentu sekali amat berbeza jika dibandingkan dengan kumpulan murid sekolah rendah.

Dalam program pertama dengan murid sekolah rendah, saya terpaksa ’menurun’kan tahap input penyampaian ceramah selaras dengan kognitif murid sekolah rendah. Manakala bersama pelajar sekolah menengah, saya perlu cuba berfikir sebagai remaja. Berfikir dengan permasalahan mereka. Berfikir tentang kecenderungan dan minat mereka sebagai remaja. Cuba untuk memahami cara hidup mereka di sekolah. Cuba berfikir tentang konsep cinta remaja yang mereka fahami. Cuba memahami sikap dan keegoan mereka sebagai remaja. Itulah cabarannya bila menyampaikan ceramah di hadapan kumpulan pelajar remaja sekolah. Lebih-lebih lagi kategori pelajar adalah daripada kumpulan pelajar pelbagai peringkat pencapaian akademik dan sahsiahnya. Alhamdulillah, saya berjaya juga ’mengikat’ mereka supaya tidak keluar ke tandas beramai-ramai!

KAUNSELOR BUKAN TONGKAT SAKTI

Wednesday, March 24, 2010
Bertemu rakan-rakan seperjuangan yang sentiasa berusaha untuk ’memanusiakan manusia’ benar-benar membuat saya amat teruja. Apalagi jarang sungguh insan-insan tabah ini dapat berkumpul dan mencurah rasa bertukar cerita serta pengalaman.

Unik sungguh manusia bernama ‘kaunselor’ ini. Mereka tidak boleh sewenang-wenangnya berbincang, bertukar-tukar cerita tentang klien dengan orang lain. Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa kaunselor atau guru kaunseling hanya boleh berkongsi cerita duka dan suka dengan rakan-rakan kaunselor juga. Itupun hanya berkongsi tentang kes atau peristiwa tetapi bukan diri dan peribadi klien/murid itu sendiri! Tekanan jiwa dan perasaan menjadi mainan biasa kepada insan bergelar kaunselor ini.

Hanya ilmu dan keazaman ’memanusiakan manusia’ menjadi perisai untuk terus kuat memberikan khidmat kepada yang memerlukan. Kesedaran dan impian mendidik anak-anak bangsa memberikan tenaga kepada manusia ini untuk terus cekal menjalankan kewajipan.

Walaupun skop kumpulan sasaran yang saya kendalikan kini tidak lagi melibatkan klien pelajar sekolah, saya pernah melalui apa yang rakan-rakan kaunselor rasakan. Melayani dan menghadapi remaja sekolah yang pelbagai kerenah memerlukan ketabahan dan kekuatan mental dan emosi. Sedangkan pada waktu yang sama rakan-rakan guru subjek di sekolah sering berfikir bahawa sang kaunselor adalah ’superior’ yang mampu menyelesaikan semua masalah! Hakikatnya itu adalah satu silap faham yang sangat besar. Kaunselor bukannya 'magician' yang punyai ’tongkat sakti’ yang bisa merubah manusia menjadi baik! Bukan boleh merubah murid menjadi pandai!

Kaunselor hanyalah manusia yang hanya mempunyai sedikit kelebihan mendengar dengan berkesan. Seterusnya kaunselor membantu kliennya mencari alternatif untuk klien itu sendiri menyelesaikan masalahnya!! Membantu muridnya mengenalpasti masalah dan murid itu sendiri yang perlu mengambil jalan penyelesaian yang terbaik. Saya ulangi, bukan kaunselor yang menyelesaikan masalah klien.

Inilah tugas yang tidak mampu disempurnakan oleh semua orang kecuali insan-insan yang bernama kaunselor.

Analoginya... orang sering menilai kualiti susu getah dengan melihat si penoreh getah sahaja. Namun jarang orang berfikir siapakan yang membajai pohon getah itu sehingga mampu mengeluarkan kualiti susu yang tinggi dan mahal!!!

Renung-renungkanlah.

DEMONG

Monday, March 22, 2010
Hari terakhir di Demong Beach Resort, Besut, Terengganu.
Bermesyuarat tujuan untuk membina Modul Realiti Kerjaya untuk Kementerian Pelajaran Malaysia memang memenatkan. Otak bagaikan berasap setiap hari. Menikmati keindahan matahari terbit di ufuk timur suatu nikmat Maha Pencipta yang tidak mampu nak diucapkan dengan kata-kata. Subhanallah...
Ketenangan jiwa kebersihan hati adalah kurniaan Mu jua, ya Allah...
Ketenangan jiwa bakal mencipta kepuasan bekerja, kebahagiaan keluarga. Saya yakin anda pasti setuju dengan saya bahawa segala-galanya berpunca daripada ketenangan jiwa. Jika jiwa penuh ketenangan, segala apa yang diusahakan berjaya. Andai ada usaha tidak berjaya juga, dengan jiwa yang tenang kita tidak akan kecewa.  Percayalah.

SILAP FAHAM...

Orang Asli Dan Polis

orang asli : selamat pagi tuan
polis : selamat pagi
polis : apa hal
orang asli : saya nak buat repot tuan!
polis : fasal apa tu?
orang asli : kawan saya di baham harimau
polis : pukul berapa
orang asli : dia tak pukul, terkam
polis : habis?
orang asli : tak habis, tinggal kepala

KAIL BANYAK, PELUANG PUN BANYAK..

Ramai pelajar yang sederhana keputusan peperiksaannya, bertanya tentang pilihan-pilihan yang mereka ada. Saya selalu mencadangkan supaya lulusan SPM dan STPM tidak hanya bertumpu kepada satu atau dua permohonan sahaja. Maksud saya, selain memohon untuk memasukki IPT anda digalakkan untuk memohon peluang-peluang kerja atau kursus-kursus tertentu. Pilihan kedua ini adalah perlu kerana memang tiada jaminan yang pasti untuk anda berjaya dalam permohonan itu.
Dapatkan juga borang-borang SPA dan hantarkanlah permohonan anda. Sekurang-kurangnya anda telah berusaha untuk TIDAK menjadi 'penganggur terhormat' jika permohonan anda ke IPT tidak berjaya.
Hidup berusaha adalah seribu kali lebih baik daripada berpeluk tubuh sahaja... SELAMAT MEMANCING.. GUNAKAN SEBANYAK MUNGKIN KAIL YANG ANDA ADA. SELAMAT BERJAYA!

MINAT, RESULT, IBUBAPA..

Friday, March 19, 2010
Saya yakin minggu lepas dan minggu ini menjadi waktu yang paling sibuk dan stress buat remaja lepasan SPM dan STPM. Hujung Mac adalah tempoh muktamad semua permohonan memasukki IPTA.
Lazimnya para lepasan SPM dan STPM menghadapi masalah yang sama ketika membuat pilihan kursus.
Ada yang memilih bersandarkan minat terhadap sesuatu bidang. Ada yang memilih berdasarkan 'result' atau keputusan peperiksaan. Namun ada juga yang 'terpaksa' memilih kerana desakan ibubapa! Perkara inilah yang memeningkan kepala anak-anak...
Berdasarkan pengalaman saya, ramai remaja merasa stress dengan desakan ibubapa. Jika pilihan ibubapa sama dengan pilihan sendiri, itu bonus! Tetapi jika berbeza, anak-anak akan menghadapi dilema. Anak-anak lebih suka jika ibubapa 'redha' dengan pilihan mereka sendiri. Pun begitu, peranan memberikan panduan dan pendapat adalah sangat penting ketika membuat pemilihan ini.
Beberapa perkara perlu diambil kira oleh remaja lepasan SPM dan STPM :
1. Pilih bidang kursus yang mempunyai nilai pasaran kerja yang terjamin (Minat boleh dipupuk kemudiannya).
2. Lihat pencapaian gred yang disyaratkan. Jika anda hanya mencapai tahap gred minima sahaja dalam subjek yang dikehendaki, cubu elakkan buat pilihan utama! Mengapa? Jika syarat minima ialah C6 dan gred anda ialah C6, anda terpaksa bersaing dengan pemohon-pemohon lain yang lebih tinggi grednya. Bayangkanlah peluang yang anda ada untuk kursus tersebut!
3. Jika gred anda tidak mencapai kelayakan untuk memohon sesuatu kursus yang diminati, buatlah pilihan lain yang hampir atau ada sedikit minat.
4. Tetapkan matlamat anda bahawa tahun 2010 ialah tahun anda melangkah ke IPT.
5. Jika anda tidak berjaya, jangan bersedih. Untuk lepasan SPM, saya cadangkan mereka masuk ke tingkatan enam (pra-universiti) yang bakal menjanjikan lebih banyak peluang untuk belajar di Menara Gading. Dengan syarat utama ialah anda perlu belajar dengan lebih bersungguh-sungguh dan tidak ada istilah 'HONEYMOON' semasa di tingkatan enam rendah!
6. Satu lagi syarat WAJIB yang tiada kompromi ialah solat hajat dan berdoa kepada Allah SWT.
"Doa adalah senjata bagi orang-orang mukmin".

HILANGKAN STRESS SEKEJAP...

Thursday, March 18, 2010
CERITA 

3 org menaiki motor dan ditahan polis trafik. Namun pemandu motor tersebut tidak berhenti. Katanya, 'Tak Muat Dah Tok, Kami dah bertiga!!!

CUTI DAN TV !!! (II)

Tuesday, March 16, 2010
Saya telah kongsikan dengan anda tentang tips menonton TV untuk anak-anak di rumah. (Sila rujuk tulisan saya 'CUTI DAN TV !!! yang lepas). 
Kali ini saya akan perturunkan satu lagi tips atau cara untuk mengurangkan 'ketagihan' menonton TV di kalangan anak-anak. Lazimnya, anak-anak kita tidak mampu menahan diri untuk menonton secara berterusan. Lepas satu rancangan kegemaran yang ditonton, muncul pula rancangan lain yang menarik. Kesudahannya terdapat anak-anak yang terus leka menonton seharian. Tidak ada siapa yang melarang kerana cuti sekolah ataupun kedua-dua ibubapa memang bekerja. Cuba anda bayangkan betapa waktu belajar anak-anak terbuang begitu sahaja. Tips yang akan saya kongsikan ini mungkin pelik atau lucu bagi pembaca. Mungkin ada yang akan menganggap sukar nak melaksanakannya...
Apa-apapun tanggapan pembaca sekelian, saya akan kongsikan juga dan semoga ada ibubapa yang sanggup mencuba.
Petuanya begini :
1. Kenal pasti rumah adik beradik atau saudara dekat yang jaraknya lebih 25 KM dengan rumah ibubapa.
2. Buat perjanjian lisan (MOU) dengan saudara tersebut (Bukan untuk dijual!!).
3. Hantarkan TV anda ke rumah saudara berkenaan untuk tempoh selama 20 hingga 30 hari.
4. Jangan beli TV yang baru.
5. Terangkan dengan cara yang bijaksana kepada ahli keluarga termasuk anak-anak tentang niat suci anda untuk menghilangkan 'ketagihan' TV.
6. Anda (suami isteri) perlu tambahkan tahap kesabaran.
7. Istiqomah dan jangan 'cair ' dengan keluhan dan rayuan anak-anak.
8. Buat MOU dengan anak-anak bahawa TV akan dibawa pulang jika mereka sanggup PATUH jadual pengurusan masa belajar yang anda cadangkan. (Rujuk Tips belajar di rumah yang telah saya berikan).
9. Selepas 20 hingga 30 hari, bawalah pulang TV kesayangan anda ke rumah. (Ingat! Jangan kurang daripada 20 hari.)
10.Tegaskan peraturan menonton TV yang baru digubal oleh anda kepada semua ahli keluarga.

InsyaAllah. Anak-anak anda akan hanya menonton rancangan-rancangan TV tertentu sahaja. Mereka tidak akan 'ketagihan' terhadap TV lagi. Cubalah! Anda tak rugi mencuba petua yang tidak berbayar ini!!!!

S.B.T. (SK ZAINAB 2)

Sunday, March 14, 2010
Berada bersama dengan Puan Hajjah Aidah di Sekolah Kebangsaan Zainab 2 memberikan pengalaman yang amat bernilai buat diri saya. Sebagai Guru Besar Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT), Puan Hajjah Aidah telah membuka dimensi dan kefahaman baru tentang proses 'Memanusiakan Manusia'.
Seawal menjejakkan kaki ke SK Zainab 2, Kota Bharu (14 Mac 2010), saya disambut penuh mesra oleh seorang guru. Perjalanan menuju ke dewan di warnai dengan pelbagai mural dan kata-kata bermotivasi dihias indah. Suasana sekolah tidak menampakkan bahawa murid-murid sedang bercuti pertengahan semester sekarang! Membalas sapaan assalamualaikum daripada para muridnya membuatkan saya rasa bangga dan teruja. Sapaan murid yang berbeza jika dibandingkan dengan sekolah-sekolah yang pernah saya kunjungi. Cara menunduk sedikit dengan tangan menyentuh dada... "Wah! Ini satu kelainan", bisik hati kecil saya.
Penglibatan profesional bersama USM dan jalinan kerjasama dengan sekolah-sekolah luar negara, melangkaui batas negeri dan negara merupakan antara kejayaan yang bukan mudah untuk dicapai. Jelas sekali SK Zainab 2 menyahut seruan negara untuk memperkasakan pendidikan Malaysia bertaraf dunia!
Sempat saya bertanya, "Apakah rahsia kejayaan Puan Hajjah Aidah ini?".
Ringkas sahaja jawapannya, "Saya memilikki satu team guru yang hebat dan sedia bekerja bersama saya".
"Apa yang Puan Hajjah Aidah harapkan untuk mengekal dan menambaikkan pencapaian ini?".
Juga ringkas jawapannya," Saya dan guru-guru saya amat memerlukan 'moral support' daripada PPD dan JPN Kelantan". 
Saya teringat pepatah Cina menyebut, 'Nilai seekor ikan terletak di bahagian kepalanya. Jika sihat dan segar bahagian kepalanya, pasti akan berkualiti bahagian-bahagian lain'.
Pengiktirafan tertinggi sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi dan satu-satunya di Kelantan dan Pantai Timur selayaknya untuk sekolah ini.
Tahniah !

CUTI DAN TV !!!

Thursday, March 11, 2010
Cuti bukan bermaksud saya yang bercuti!
Sejak hampir 6 tahun, saya sudah lali dengan pertanyaan anak-anak, "Bila ayah nak cuti?". Bermula hari semalam (Jumaat) anak-anak sekolah bercuti pertengahan semester. Guru-guru pula berpeluang melepaskan lelah sejenak. Saya memahami tugas mengajar dan mendidik bukan suatu yang mudah. Terima kasih cikgu! 
Saya sering mendengar keluhan ibubapa tentang pengurusan masa belajar anak-anak ketika bercuti. Kebanyakan ibubapa menjadi risau kerana anak-anak tidak belajar langsung ketika musim cuti begini. Masalah utama ialah kegemaran menonton TV yang sukar dikawal! Dalam ceramah-ceramah motivasi keibubapaan yang disampaikan, saya selalu cadangkan satu kaedah untuk mengurangkan 'ketagihan' menonton TV. Mungkin para pembaca boleh mencuba teknik ini.
Ibubapa perlu menguatkuasakan peraturan tetap dan tegas tentang TV ini. Pertama, adakan satu mini mesyuarat dengan menjemput semua anak-anak hadir. (Jangan lupa Penguatkuasa Utama, si Ayah!!).
Agenda utama mesyuarat ialah menentukan jumlah dan siri TV apakah yang ingin di tonton oleh anak-anak dalam sehari. Jika beberapa slot dicadangkan, lakukan pengundian. Saya mencadangkan supaya hanya SATU @ DUA slot sahaja dalam masa sehari! Jika lebih, itu mengarut namanya!
Peraturan ke 2.: Nak menonton rancangan TV kegemaran, MESTI belajar sekurang-kurangnya 4 jam di waktu siang dan 2 jam di waktu malam! Jadi, bilakah masa untuk belajar dan menonton TV?? Waktu belajar adalah bergantung kepada waktu tayangan yang di pilih. Jika slot TV yang ingin ditonton pukul 10 pagi, anak-anak MESTI mula belajar jam 8 pagi!
Maka merungut lah lagi si ibubapa. "Kami dua-dua bekerja! Susah nak control!". Jika itu rungutannya, jangan marah jika saya katakan bahawa ibubapa sedemikian telah gagal sebagai ibubapa!
Analogi: Tidak ada anggota Polis ditempatkan di setiap lampu isyarat. Namun pemandu masih tetap mematuhi arahan lampu isyarat. Mengapa? Kerana kepatuhan pemandu kepada peraturan yang telah di tetapkan.
Mengapa anak-anak tidak akur dan patuh dengan peraturan yang ibubapa tetapkan? Jawapannya ada pada para pembaca sekelian....
InsyaAllah, saya akan kongsikan teknik yang lain dalam tulisan akan datang.

YANG TAK SUKA KERJA.....

Wednesday, March 10, 2010
Saya telah hadir ke sebuah majlis perpisahan di sebuah sekolah rendah. Majlis tersebut diadakan khas kerana Guru Besarnya telah bertukar ke Daerah Kota Bharu. Guru Besar itu telah bertugas sebagai Guru Besar selama 17 tahun di Daerah Kuala Krai. Tempoh tersebut amat lama bagi seseorang Guru Besar yang berkhidmat di Kuala Krai dan Gua Musang.
Pada saya, ada sesuatu yang menarik dan istimewa tentang Guru Besar ini. Wanita ini dikenali sebagai seorang Guru Besar yang tegas, sedikit 'out-spoken' dan berani, walaupun berbadan kecil.
Keistimewaan Guru Besar ini ialah dia memimpin sebuah sekolah terbaik dalam Daerah Kuala Krai. Malah tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa peratus kelulusan dan bilangan murid berjaya mendapat 5A dalam PPD Kuala Krai paling banyak disumbangkan oleh sekolah ini.
Menariknya pula ialah sepanjang 17 tahun menjadi Guru Besar, mana-mana sekolah yang dterajuinya akan mencipta sejarah. Dia pernah memimpin sebuah sekolah dalam kategori luar bandar. Murid-muridnya terdiri daripada anak petani dan penoreh getah. Namun akhirnya dia tinggalkan sekolah berkenaan dengan pencapaian luar biasa iaitu seramai 17 murid mendapat 5A dalam UPSR!!
Begitu juga dengan sekolah terakhir (sekolah terbaik di Kuala Krai sekarang). Beliau mula memimpin sekolah ini dalam momentum prestasi UPSR sedang menurun. Dalam jangka masa 2 tahun sahaja, Guru besar ini memimpin dan menaikkan semula kedudukan sekolah di tempat teratas dan terbaik sehingga sekarang!!
Inilah yang sering diperkatakan bahawa 'sekolah yang baik adalah diterajui oleh seorang Pentadbir yang baik'. Tentu sahaja Guru Besar ini tidak sunyi dengan tuduhan dan tanggapan yang negatif kerana mengamalkan corak pentadbiran yang tegas. Beliau pernah berkata kepada saya, "Saya tidak akan dapat buat kerja dengan tenang dan berkualiti jika saya terlalu memikirkan tuduhan dan tanggapan negatif daripada orang yang negatif. Saya yakin lebih ramai anak buah saya yang bersikap positif berbanding yang negatif!". 
Saya bersetuju dengan kenyataan ini. Saya pernah bertugas di bawah pentadbiran Guru Besar dan Pengetua wanita yang kedua-duanya memang terkenal dengan corak yang tegas. Saya amat yakin dan pasti, cukup mudah untuk mengambil hati Boss begini ialah 'BUAT KERJA SEHABIS BAIK'. Itu sahaja formulanya kerana hanya pekerja yang tidak mahu bekerja, tidak suka kepada Boss yang suka buat kerja!!!!
Saya ucapkan selamat bertukar ke SK Dato' Hashim 2, Pengkalan Chepa kepada Puan Rosnah. Sesungguhnya terlalu banyak ilmu dan pengalaman diperolehi selama ini. Terima kasih. Semoga terus komited menjadi Guru Besar cemerlang.

MAPAN

Sunday, March 7, 2010
Hari ini saya di jemput oleh PPD Bachok untuk menyampaikan ceramah 'Memperkasakan diri menangani disiplin'. Program dianjurkan oleh Majlis Aspirasi Pemangkin Nasional (MAPAN) dan dikelolakan oleh Pejabat Pelajaran Daerah Bachok. Kumpulan sasaran program ialah seramai 500 murid terdiri daripada murid tahun 4 hingga 6 (sekolah-sekolah rendah sekitar PPD Bachok).
Walaupun sudah biasa dengan pelajar, berpeluh juga saya dalam usaha menarik perhatian murid-murid sekolah rendah yang berbagai ragam. Slot saya pula ialah slot terakhir selepas pengisian ceramah wakil PDRM dan wakil JPN Kelantan (Waktu ini memang kritikal kerana murid sudah berada dalam 'mood' nak balik!).
Teringat kepada pesanan seorang pensyarah 'public speaking' INTAN yang pernah saya hadiri...
'Audience analysis' perlu dilakukan oleh seseorang penceramah ketika menyampaikan ceramah. Jika analisis audien menunjukkan audien kelihatan sudah hilang tumpuan, jangan ghairah cuba menyampaikan juga isi-isi penting ceramah!!! Perlu segera tukar taktik. Tarik semula perhatian pendengar dengan menyelitkan sedikit unsur-unsur humor atau tunjukkan gambar-gambar menarik. Alhamdulillah, saya berjaya juga menamatkan pengisian ceramah dengan jumlah murid keluar ke tandas yang sangat minima!!!
Saya tutup ceramah saya dengan menyusun akronim perkataan 'MAPAN'.
M - Mantapkan diri dengan disiplin yang kuat
A - Always think about 'A' (Akademik cemerlang, Akhlak pun cemerlang)
P - Pintar mengatasi murid lain
A - Allah Pelindung kita (ingat Allah selalu)
N - Nilai-nilai murni menjadi amalan setiap waktu
Semoga anak-anak generasi ini akan mendapat sesuatu yang baik dan bermanfaat melalui program ini, walaupun hanya satu ayat!

7 TIPS MENCIPTA KEYAKINAN DIRI

Saturday, March 6, 2010
BERANI MENCUBA

BERANI BERTANYA

BERANI MENGAMBIL RISIKO

BERANI MEMOHON MAAF

BERANI HADAPI KEGAGALAN

BERANI BERUBAH

BERANI MENCARI ILMU

TERIMA KASIH...

Friday, March 5, 2010
Penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pengunjung blog saya. Sesungguhnya minat dan motivasi saya untuk menulis meningkat setiap hari seiring dengan peningkatan pembaca yang melawat blog ini. Terima kasih.
Hampir 2 bulan blog ini mula berada di alam siber. Saya ada juga menerima email daripada pelajar yang mencadangkan saya memperbanyakkan bahan-bahan berkaitan motivasi belajar dan kemahiran belajar berkesan. Saya amat berterima kasih atas cadangan itu. Pada saya, cadangan tersebut menunjukkan bahawa mereka mengikuti perkembangan blog 'kecil' saya ini.
InsyaAllah, saya akan cuba sedaya upaya untuk mempelbagaikan bahan-bahan atau isu-isu dalam blog ini.
Kepada pelajar-pelajar yang mengikuti blog saya ini, war-warkanlah kepada rakan-rakan pelajar yang lain. Saya fikir lebih bermanfaat jika para pelajar mengikuti bahan-bahan motivasi dan pendidikan berbanding bahan-bahan porno dan budaya kuning yang rosak dan boleh merosakkan minda.

KASIH SAYANG LAGI...

Wednesday, March 3, 2010
Saya rasa semacam dan fobia bila menonton siaran TV akhir-akhir ini. Tema kasih sayang yang saya bincangkan dalam blog saya seolah-olah 'menentang arus' pula!
Apa tidaknya... saban malam kita didendangkan dengan kisah-kisah penderaan yang sangat sadis. Peristiwa anak kecil berusia 3 tahun di terajang, dipijak sehingga meninggal dunia. Yang terbaru pula anak kecil berusia 18 bulan pula di dera sehingga mati!
Ya Allah... 'mengapa pendera-pendera ini dilahirkan sebagai manusia?!
Saya percaya para pembaca dan semua rakyat Malaysia sukar untuk menerima bahawa kejadian-kejadian sadis ini berlaku dan terus berlaku dalam negara tercinta ini. Sebagai pengamal kaunseling, saya rasa bagaikan berputus asa dan kecewa yang amat sangat dengan kejadian-kejadian seperti ini.
Andainya kami mempunyai 'tongkat sakti', dapatlah kami ubah manusia-manusia seperti itu menjadi katak yang tidak menyusahkan orang!

Namun saya yakin dan percaya berputus asa bukan lah prinsip para pendidik. Berputus asa tidak ada dalam kamus pengamal kaunseling. Juga tidak ada dalam kamus guru disiplin. Biarpun kemampuan yang amat terbatas, sumber kawalan yang terhad, kami beriltizam untuk terus memberikan sumbangan profesional membantu hasrat negara. Hasrat negara membina modal insan yang seimbang dari aspek Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelektual. Kerana kami yakin jika semua warga seimbang dari aspek JERI ini, jiwa mereka akan penuh dengan KASIH SAYANG tidak mungkin akan melakukan perbuatan di luar batas keinsanan. InsyaAllah.