MINAT, RESULT, IBUBAPA..

Friday, March 19, 2010
Saya yakin minggu lepas dan minggu ini menjadi waktu yang paling sibuk dan stress buat remaja lepasan SPM dan STPM. Hujung Mac adalah tempoh muktamad semua permohonan memasukki IPTA.
Lazimnya para lepasan SPM dan STPM menghadapi masalah yang sama ketika membuat pilihan kursus.
Ada yang memilih bersandarkan minat terhadap sesuatu bidang. Ada yang memilih berdasarkan 'result' atau keputusan peperiksaan. Namun ada juga yang 'terpaksa' memilih kerana desakan ibubapa! Perkara inilah yang memeningkan kepala anak-anak...
Berdasarkan pengalaman saya, ramai remaja merasa stress dengan desakan ibubapa. Jika pilihan ibubapa sama dengan pilihan sendiri, itu bonus! Tetapi jika berbeza, anak-anak akan menghadapi dilema. Anak-anak lebih suka jika ibubapa 'redha' dengan pilihan mereka sendiri. Pun begitu, peranan memberikan panduan dan pendapat adalah sangat penting ketika membuat pemilihan ini.
Beberapa perkara perlu diambil kira oleh remaja lepasan SPM dan STPM :
1. Pilih bidang kursus yang mempunyai nilai pasaran kerja yang terjamin (Minat boleh dipupuk kemudiannya).
2. Lihat pencapaian gred yang disyaratkan. Jika anda hanya mencapai tahap gred minima sahaja dalam subjek yang dikehendaki, cubu elakkan buat pilihan utama! Mengapa? Jika syarat minima ialah C6 dan gred anda ialah C6, anda terpaksa bersaing dengan pemohon-pemohon lain yang lebih tinggi grednya. Bayangkanlah peluang yang anda ada untuk kursus tersebut!
3. Jika gred anda tidak mencapai kelayakan untuk memohon sesuatu kursus yang diminati, buatlah pilihan lain yang hampir atau ada sedikit minat.
4. Tetapkan matlamat anda bahawa tahun 2010 ialah tahun anda melangkah ke IPT.
5. Jika anda tidak berjaya, jangan bersedih. Untuk lepasan SPM, saya cadangkan mereka masuk ke tingkatan enam (pra-universiti) yang bakal menjanjikan lebih banyak peluang untuk belajar di Menara Gading. Dengan syarat utama ialah anda perlu belajar dengan lebih bersungguh-sungguh dan tidak ada istilah 'HONEYMOON' semasa di tingkatan enam rendah!
6. Satu lagi syarat WAJIB yang tiada kompromi ialah solat hajat dan berdoa kepada Allah SWT.
"Doa adalah senjata bagi orang-orang mukmin".

0 comments:

Post a Comment