Bertemu rakan-rakan seperjuangan yang sentiasa berusaha untuk ’memanusiakan manusia’ benar-benar membuat saya amat teruja. Apalagi jarang sungguh insan-insan tabah ini dapat berkumpul dan mencurah rasa bertukar cerita serta pengalaman.
Unik sungguh manusia bernama ‘kaunselor’ ini. Mereka tidak boleh sewenang-wenangnya berbincang, bertukar-tukar cerita tentang klien dengan orang lain. Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa kaunselor atau guru kaunseling hanya boleh berkongsi cerita duka dan suka dengan rakan-rakan kaunselor juga. Itupun hanya berkongsi tentang kes atau peristiwa tetapi bukan diri dan peribadi klien/murid itu sendiri! Tekanan jiwa dan perasaan menjadi mainan biasa kepada insan bergelar kaunselor ini.
Hanya ilmu dan keazaman ’memanusiakan manusia’ menjadi perisai untuk terus kuat memberikan khidmat kepada yang memerlukan. Kesedaran dan impian mendidik anak-anak bangsa memberikan tenaga kepada manusia ini untuk terus cekal menjalankan kewajipan.
Walaupun skop kumpulan sasaran yang saya kendalikan kini tidak lagi melibatkan klien pelajar sekolah, saya pernah melalui apa yang rakan-rakan kaunselor rasakan. Melayani dan menghadapi remaja sekolah yang pelbagai kerenah memerlukan ketabahan dan kekuatan mental dan emosi. Sedangkan pada waktu yang sama rakan-rakan guru subjek di sekolah sering berfikir bahawa sang kaunselor adalah ’superior’ yang mampu menyelesaikan semua masalah! Hakikatnya itu adalah satu silap faham yang sangat besar. Kaunselor bukannya 'magician' yang punyai ’tongkat sakti’ yang bisa merubah manusia menjadi baik! Bukan boleh merubah murid menjadi pandai!
Kaunselor hanyalah manusia yang hanya mempunyai sedikit kelebihan mendengar dengan berkesan. Seterusnya kaunselor membantu kliennya mencari alternatif untuk klien itu sendiri menyelesaikan masalahnya!! Membantu muridnya mengenalpasti masalah dan murid itu sendiri yang perlu mengambil jalan penyelesaian yang terbaik. Saya ulangi, bukan kaunselor yang menyelesaikan masalah klien.
Inilah tugas yang tidak mampu disempurnakan oleh semua orang kecuali insan-insan yang bernama kaunselor.
Analoginya... orang sering menilai kualiti susu getah dengan melihat si penoreh getah sahaja. Namun jarang orang berfikir siapakan yang membajai pohon getah itu sehingga mampu mengeluarkan kualiti susu yang tinggi dan mahal!!!
Renung-renungkanlah.
KAUNSELOR BUKAN TONGKAT SAKTI
Wednesday, March 24, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment