YANG TAK SUKA KERJA.....

Wednesday, March 10, 2010
Saya telah hadir ke sebuah majlis perpisahan di sebuah sekolah rendah. Majlis tersebut diadakan khas kerana Guru Besarnya telah bertukar ke Daerah Kota Bharu. Guru Besar itu telah bertugas sebagai Guru Besar selama 17 tahun di Daerah Kuala Krai. Tempoh tersebut amat lama bagi seseorang Guru Besar yang berkhidmat di Kuala Krai dan Gua Musang.
Pada saya, ada sesuatu yang menarik dan istimewa tentang Guru Besar ini. Wanita ini dikenali sebagai seorang Guru Besar yang tegas, sedikit 'out-spoken' dan berani, walaupun berbadan kecil.
Keistimewaan Guru Besar ini ialah dia memimpin sebuah sekolah terbaik dalam Daerah Kuala Krai. Malah tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa peratus kelulusan dan bilangan murid berjaya mendapat 5A dalam PPD Kuala Krai paling banyak disumbangkan oleh sekolah ini.
Menariknya pula ialah sepanjang 17 tahun menjadi Guru Besar, mana-mana sekolah yang dterajuinya akan mencipta sejarah. Dia pernah memimpin sebuah sekolah dalam kategori luar bandar. Murid-muridnya terdiri daripada anak petani dan penoreh getah. Namun akhirnya dia tinggalkan sekolah berkenaan dengan pencapaian luar biasa iaitu seramai 17 murid mendapat 5A dalam UPSR!!
Begitu juga dengan sekolah terakhir (sekolah terbaik di Kuala Krai sekarang). Beliau mula memimpin sekolah ini dalam momentum prestasi UPSR sedang menurun. Dalam jangka masa 2 tahun sahaja, Guru besar ini memimpin dan menaikkan semula kedudukan sekolah di tempat teratas dan terbaik sehingga sekarang!!
Inilah yang sering diperkatakan bahawa 'sekolah yang baik adalah diterajui oleh seorang Pentadbir yang baik'. Tentu sahaja Guru Besar ini tidak sunyi dengan tuduhan dan tanggapan yang negatif kerana mengamalkan corak pentadbiran yang tegas. Beliau pernah berkata kepada saya, "Saya tidak akan dapat buat kerja dengan tenang dan berkualiti jika saya terlalu memikirkan tuduhan dan tanggapan negatif daripada orang yang negatif. Saya yakin lebih ramai anak buah saya yang bersikap positif berbanding yang negatif!". 
Saya bersetuju dengan kenyataan ini. Saya pernah bertugas di bawah pentadbiran Guru Besar dan Pengetua wanita yang kedua-duanya memang terkenal dengan corak yang tegas. Saya amat yakin dan pasti, cukup mudah untuk mengambil hati Boss begini ialah 'BUAT KERJA SEHABIS BAIK'. Itu sahaja formulanya kerana hanya pekerja yang tidak mahu bekerja, tidak suka kepada Boss yang suka buat kerja!!!!
Saya ucapkan selamat bertukar ke SK Dato' Hashim 2, Pengkalan Chepa kepada Puan Rosnah. Sesungguhnya terlalu banyak ilmu dan pengalaman diperolehi selama ini. Terima kasih. Semoga terus komited menjadi Guru Besar cemerlang.

0 comments:

Post a Comment