CIKGU MAIZOM (NOSTALGIA 1984)

Saturday, May 29, 2010
Khamis lepas saya menjejakki guru yang mengajar subjek Bahasa Melayu di SMK Sultan Yahya Petra1 pada tahun 1984. Maklumat yang saya terima bahawa Cikgu Maizom sekarang bertugas di Maktab Sultan Ismail, Kota Bharu memang tepat. Ingin sekali saya bertemu dengan cikgu saya ini setelah lebih 26 tahun berlalu. Tentu sekali banyak perubahannya. Sayang sekali, saya diberitahu Cikgu Maizom bercuti. Hampa sungguh rasa hati....
Masih segar dalam ingatan gaya dan tutur kata cikgu BM saya ini. Berkaca mata dan berkulit putih orangnya. Tidak pernah marah melulu tetapi tegas orangnya. Slot yang paling saya tunggu ialah di awal pagi. Sebelum memulakan kelas, beliau akan bertanya setiap orang tentang perkataan-perkataan baru. Maka saya di antara pelajar yang setiap hari akan cuba mencari perkataan-perkataan sukar untuk ditanyakan. Saya sangat kagum ketika itu. Setiap perkataan yang sukar bagi kami diberi pengertian dan huraian yang panjang lebar oleh Cikgu Maizom! Sampai sekarang saya masih ingat satu perkataan yang sukar dan baru bagi kami. Pada masa itu tidak ada seorang pun rakan sekelas boleh memberikan makna perkataan itu. Cikgu Maizom telah menjelaskan makna perkataan sukar yang saya tanyakan lengkap dengan penerangannya.
Memang benar, seorang guru yang hebat ialah guru yang mampu 'mengikat' minat pelajar untuk terus belajar. Dan saya yakin benar bahawa cikgu Maizom memang hebat kerana dia masih boleh 'mengikat' ingatan dan kenangan terhadapnya, walaupun selepas 26 tahun!
Pagi ini (Ahad), saya menerima panggilan telefon daripada Cikgu Maizom. Dia minta maaf dan berterima kasih kepada saya. Minta maaf kerana tidak dapat bertemu, terima kasih atas cenderahati yang saya letakkan di atas mejanya.
Saya katakan bahawa saya yang harus berterima kasih kepada cikgu. Terima kasih cikgu. 

0 comments:

Post a Comment