SEKALI JADI GURU....(sambungan)

Monday, May 17, 2010
GOH menjelma kembali...
Beberapa tahun selepas menamatkan alam persekolahan, Goh datang menziarahi saya kembali, penampilannya jauh berbeda. Dengan kereta bergengsi dan pakaian yang rapi , anak muda ini berjaya dalam perniagaannya yang pelbagai.
Perkataan yang keluar daripada mulutnya disusun rapi, santun dan bervisi. Goh sentiasa bertanyakan khabar saya pada guru yang lain, jika melawat sekolah.
Saya terharu, rasa tertampar dengan sikap ego dan mazmumah yang menggebu terhadap Goh. Saya gagal sebagai guru muslim untuk seorang pelajar Cina yang luarbiasa nakalnya. Kepongahan tidak membantu dalam berdakwah dan menarik manusia.
Pelajaran moral yang pertama ialah, jangan memandang rendah pelajar kita, apa pun kesalahan dan latar sosial mereka, semua manusia ada potensi untuk berubah dan berjaya dalam hidup.
Hari ini setelah berbelas tahun , saya sangat merindui sosok remaja seperti Goh. Beliau mengajar saya erti guru yang penyabar dan mendepangkan dada serta telinga untuk mendengar.
Kalaulah Goh hari ini menjadi salah seorang anak murid saya di kelas PERKIM setiap Ahad, saya akan tekun mendidiknya untuk menjadi kader dakwah, sayang kerana saya melepaskan peluang itu belasan tahun yang lalu.
Tololnya saya pada masa itu, tanpa hikmah dunia ini kehilangan sinarnya yang indah meranum.
“Selamat Hari Guru” kepada semua pendidik, saya merindui dunia keguruan, merindui barisan anak murid yang tenang ingin menyerap ilmu. Kalaulah masa boleh diundur, saya tidak akan berdiri sebagai guru yang pongah dan melulu.

0 comments:

Post a Comment