DARI SK JEREK KE UIA KL....KE SK GETING.....

Saturday, May 8, 2010
Selamat bertemu kembali... kurang lebih seminggu saya tidak dapat 'up-date' blog ini. Kekangan tugas di luar dan kesibukan tugas menghalang saya untuk duduk dan 'bercerita' walaupun seketika. Apatah lagi talian 'dial-up' Telekom di rumah saya telah kantoi hampir dua minggu. Inilah akibatnya bila si penagih dan perompak tahu tentang nilai dan harga kabel yang digunakan oleh Telekom!! Sehingga hari ini, talian telefon di kawasan kediaman saya tidak dapat digunakan. Kadang-kadang terfikir juga, untuk apa sebenarnya bayaran RM23 setiap bulan sebagai bayaran tetap???
Minggu lepas saya benar-benar kepenatan. Rupanya betul. Menunaikan harapan dan hajat orang, kadang-kadang amat meletihkan... letih tenaga fizikal dan mental.
Bermula Ahad saya ke HUSM, Kubang Kerian. Rabu saya ke SK Jerek, Gua Musang. Itupun setelah pihak sekolah terpaksa meminda tarikh pertemuan sebanyak tiga kali. Perjalanan yang berliku-liku menerusi laluan Dabong-Jelawang yang memakan masa hampir 2 jam sudah cukup untuk memudarkan motivasi 'si MOTIVATOR'. Namun berhadapan dengan anak-anak tahun enam dan lima seramai 200 itu rupanya memberikan suntikan motivasi kepada saya untuk terus bersemangat. Sepuluh tahun dulu saya pernah ke sekolah itu. Satu perubahan yang sangat ketara ialah tentang sikap dan keberanian murid-muridnya. Jika 10 tahun dulu saya tanyakan tentang cita-cita, mereka hanya menjawab ingin menjadi guru, askar, polis.... Kini, saya tersenyum bangga kerana mereka rata-rata menjawab, ingin menjadi pensyarah, juruterbang, angkasawan, doktor pakar bedah dan jarang-jarang memilih guru.
Hanya seorang murid lelaki yang berjaya membuat saya dan guru-guru mereka ketawa besar.
"Awak pula apa cita-cita bila besar nanti?", tanya saya.
"SAYA NAK JADI RELA, cikgu!!!", jawab murid lelaki tersebut dengan kuat dan penuh yakin.
Alahai... Jerek...Jerek....

0 comments:

Post a Comment