LA TAHZAN, YA ATIF (sambungan)

Sunday, July 4, 2010
Ligat minda saya berputar memikirkan susunan kata-kata untuk menerangkan kepada anak saya situasi yang saya hadapi. Saya faham kesempatan 'outing' seketika diambilnya untuk pulang ke rumah dengan harapan dapat membuat latihan 'mockid interview' dengan bantuan saya. Pada masa sama saya amat faham tentang kekangan waktu yang terpaksa dihadapi oleh oleh pelajar-pelajar tingkatan 5 Maahad Tahfiz yang menjemput saya. Lalu saya katakan kepada anak saya dengan terus terang. " Harapan pelajar-pelajar Maahad Tahfiz yang jemput ayah sangat besar. Ayah harap kakak faham bahawa mengapa ayah selalu membantu anak-anak orang lain. Kerana ayah yakin dan percaya jika ayah membantu anak-anak orang lain dengan ikhlas kerana Allah, insyaAllah, anak ayah sendiri akan mendapat bantuan Allah melalui orang lain pula!".
Akhirnya saya dapat bertemu dengan Atif (pelajar tingkatan 5 yang menjemput saya). Orangnya nampak matang dan jernih wajahnya. Mungkin dek kerana 'nur' kalimah Al-Quran yang menjadi hafalan seharian. Rupanya Atif adalah Exco Biro Kaunseling di sekolahnya. Sayang sekali di sekolah yang hebat dan canggih sebegini tidak ada guru kaunseling atau kaunselor terlatih! Tidak hairan Atif mengambil tanggungjawab untuk mengendalikan program ini (Saya tidak jumpa pun seorang guru pada hari itu-mungkin kerana hari minggu). Berbicara dengan Atif secara dekat telah memperlihatkan kematangan pemikirannya. Beliau asyik berfikir tentang rakan-rakan sebaya, pelajar tingkatan 3 yang katanya masih belum menampakkan suasana 'demam peperiksaan'. Jelas berkerut dahinya bila meluahkan keadaan itu.
Refleksi : Saya fikir Atif mengalami tekanan yang tidak sepatutnya dihadapi. Niat dan harapannya untuk melihat rakan-rakan sebaya menumpukan sepenuh perhatian terhadap peperiksaan SPM yang akan tiba menjadi elemen negatif kepada dirinya sendiri. Dengan kata lain, Atif mengalami stres atau tekanan disebabkan terlalu memikirkan orang lain.
Tips kaunseling : Khidmat kaunseling ialah membantu orang lain untuk mencari alternatif/pilihan pendapat/jalan bagi menyelesaikan masalah seseorang klien.
Catatan: Bukan kaunselor yang menyelesaikan masalah orang lain.

0 comments:

Post a Comment