DATANG DAN PERGI....

Monday, November 29, 2010
Semalam majlis penerimaan surat perlantikan pegawai-pegawai baru pelbagai jawatan diadakan di JPNK. Pegawai-pegawai baru menerima surat perlantikan mereka daripada Pengarah Pelajaran Kelantan. Tidak terkecuali PPDKK yang menerima 9 lagi pegawai baru pelbagai bidang. Penstrukturan PPD seluruh Malaysia ini selaras dengan perkembangan pesat pendidikan negara.
Saya ucapkan tahniah kepada rakan-rakan baru yang akan bertugas di PPDKK. Ada yang bersemangat dan gembira. Tak kurang juga yang gelisah dan keliru tentang tugas yang akan dilaksanakan nanti. Demikianlah resam alam. Enam tahun lalu saya melapor diri di PPDKK sebagai Kaunselor Pentadbir Pertama dalam sejarah PPDKK! Jumaat lepas saya melapor diri di IAB, Genting Highlands. Begitu pantas masa berlalu. Rakan-rakan pegawai baru berhijrah ke PPDKK. Saya pula mengambil keputusan berhijrah ke IAB. Satu keputusan yang bukan mudah untuk saya ambil. Namun demi peningkatan kerjaya dan peluang rezeki yang lebih baik, saya MESTI pergi.  Teringat kata-kata Kak Asmad (Pensyarah IPGSMB), 'Brother, you  MUST go! I used 'MUST' not 'should go... I hope you know what i mean by saying that".
CATATAN:
1. Kak Asmad adalah rakan sekelas sewaktu kuliah sarjana di UUM dahulu.
2. Setiap orang mempunyai masalah dan kekangan tersendiri dalam proses membuat apa-apa keputusan yang melibatkan yang tersayang. 
3. Keputusan Yan bagaimana pula ye?

BERAT KAKI MELANGKAH...

Friday, November 26, 2010
Perjalanan dari KK ke GH terasa terlalu lama. Tanah tinggi yang di gelar 'Kota Kegirangan' selalunya menggamit sesiapa sahaja untuk berkunjung ke sana. Namun hati dan kaki saya terasa sungguh berat untuk menghampiri tanah tinggi ini. Beberapa kali ke sana kerana menghadiri kursus dan konvensyen tidaklah seperit ini. Sehingga separuh perjalanan pun hati masih berbelah bahagi. Tepatkah keputusan saya ini? Meninggalkan tempat kerja yang jauhnya 10 minit perjalanan dan memilih tempat baru yang memakan masa 5-6 jam! Berkereta bersama saya seorang rakan guru beru berusia 40 tahun. Bertugas di salah sebuah sekolah rendah di bandar PM. Seorang guru yang bagi saya sungguh cekal dan penuh semangat juang. Bermula kerjaya sebagai guru di sekolah Orang Asli di pedalaman GM. Kemudiannya menyambung pelajaran secara sambilan hingga berjaya mendapat ijazah. Perjuangannya diteruskan ke peringkat Sarjana MBA. Sekarang telah 3 tahun belajar di peringkat Doktor Falsafah! Dia juga menyahut cabaran untuk bertugas di tanah tinggi ini.
CATATAN:
1. Teringat tentang doa yang dibaca setiap waktu dan ketika, "Ya Allah, Engkau tambah dan murahkanlah rezeki kami... permudahkanlah urusan kami...kurniakanlah kejayaan kepada apa yang kami usahakan... kurniakanlah kejayaan kepada kami di dunia dan akhirat....." (Rasa malu sendiri kerana bila tiba saat akan ditambah rezeki, hati berat untuk pergi........)
2. Hati kembali berbaja bila sahaja terima sms teman baik, "HIJRAH ITU PERJUANGAN, HIJRAH ITU PENGORBANAN".
3. Bersama saya ketika melapor diri di IAB GH ialah dua rakan wanita yang tentunya mempunyai anak-anak dan suami tercinta.... Dan saya seharusnya lebih kuat berbanding mereka

PELANGI...

Wednesday, November 24, 2010
ENGKAU TIBA BAGAIKAN PELANGI
TAK BERCAHAYA NAMUN KAU BERSERI
TAPI CUKUP MENGHIBURKAN
HATI INI..
SEHARIAN WAKTU BERSAMAMU
TAK TERASA HARI PUN BERLALU
BAGAI PELANGI YANG DATANG DAN PERGI.....
(Yang patah akan tumbuh, yang hilang akan berganti....)

BERHIJRAHKAH AKU?

Tuesday, November 23, 2010
Beberapa bulan yang lepas saya memberi nasihat kepada dua orang rakan. Mereka terpaksa membuat keputusan yang penting dalam hidup. Memilih samada mahu berhijrah atau terus berada di tempat kerja yang lama. Mereka buntu seketika. Lalu ditanya pendapat saya. Saya sedar membuat keputusan untuk keluar daripada ZON SELESA atau 'COMFORT ZONE' bukan sesuatu yang mudah. Namun atas kepentingan dan kemajuan masa depan kerjaya, mereka memilih untuk berhijrah. Hebat sungguh mereka dan saya 'angkat topi' dengan keputusan itu.

SELAMAT BERJUANG PUTERIKU...

Hari ini (23.11.2010) bermulanya peperiksaan bertulis SPM. Malam tadi anak saya di MRSM menelefon mohon restu dan doa daripada umminya. Ralat sungguh rasanya jika saya tidak dapat bertemu dengannya sebelum masuk ke dewan peperiksaan. Sejak UPSR dan PMR yang ditempuhinya, saya pasti akan berada di sisi sebelum masuk ke dewan peperiksaan. Seorang rakan beritahu bahawa tidak semua pelajar suka jika ibu dan bapa ada di sisi sebelum peperiksaan. Saya tidak pasti tentang itu. Cuma saya terlalu biasa dengan amalan ini dan saya yakin anak-anak suka jika  berjumpa mereka sebelum peperiksaan. Terasa mengalir suatu rasa kepuasan dan kebahagiaan bila dapat berjumpa dan memeluk anak-anak. Makanya pagi tadi seawal jam 7.20 pagi saya masuk ke MRSM semata-mata ingin berjumpa dengannya.
CATATAN:
1. SELAMAT MENEMPUH SPM KEPADA PELAJAR TINGKATAN 5 DI SELURUH MALAYSIA, KHASNYA DI PPD KK.
2. Teringat kisah Nabi S.A.W. yang tetap memeluk anaknya Fatimah walaupun ketika itu si anak telahpun bersuami.

"SAYA DEKAT LUBNAN"

Friday, November 19, 2010
"salam cikgu, selamat hari raya,halal kn segala ilmu. tentu cikgu xkenal saya dah,, sy sekelas dengan suriana n anis wahab masa form 5A, juga pengawas sekolah,,tiap2 kali perhimpunan..kena perli dng cikgu..kena kaunseling lg dng cikgu pasal kena fitnah dng pompuan. alhamdulillah, skrng dh jd orang yg berguna n berkhidmat untuk negara. sy kerja sebagai pegawai tentera berpangkat kapten. sekarang sy dekat lubnan join misi dng PBB. terima kasih cikgu. hidup semakmur."

"jasa dan pengorbanan cikgu xdapat di beli dng wang ringgit. insyaallah cikgu, ada je kelapangan masa sy akan p jumpa cikgu."

Mesej tanpa di edit ini saya terima pada hari ke dua Aidil Adha via Facebook. Terpegun dan minda saya menerawang mencari wajah si pengirim mesej ini. Akhirnya 'hard disk' otak saya masih simpan wajah murid saya yang satu ini.. walaupun 'flash back'nya sedikit kabur....
SubhanAllah, yang mempermudahkan teknologi ICT ini. Orang yang berpuluh tahun berpisah mampu bertemu melalui maya.
CATATAN:
1. Rasa terharu menyelubungi hati saya...Benar kata orang, "Guru memang kaya dengan murid-muridnya".
2. Sehingga ke saat ini, hati saya tetap di sekolah.. bersama pelajar yang hati mereka lembut dan mudah dibentuk (bukan seperti sekarang, melayani buluh-buluh tua yang miangnya menusuk kulit. Malah terkadang menahan serpihan yang menjadi runcing menusuk hati....)


MOHON MAAF : BEBERAPA KATEGORI MANUSIA...

Thursday, November 18, 2010
Lazimnya setiap hari raya semua orang yang bertemu dan berkunjung akan saling bermaaf maafan. Tangan di hulur sambil mulut menyebut "Maaf zahir batin", "maafkan saya", "mohon ampun dan maaf", "halalkan segala makan minum".... dan pelbagai lagi. Saya nak berkongsi tentang kategori orang yang bermaafan ini.
Kategori :
1- Orang yang sentiasa memohon maaf setiap kali berjumpa (walaupun pertama kali berjumpa).
2- Orang yang hanya akan bermaafan apabila tiba hari raya.
3- Orang yang mengelak untuk bertemu dan bermaafan.
4- Orang yang sentiasa memaafkan orang tanpa menunggu hari raya.
5- Orang yang tidak pernah memaafkan orang (walaupun dipinta maafnya).
6- Orang nak sangat orang lain mohon maaf daripadanya (sedangkan dia TIDAK PERNAH mohon maaf daripada orang lain!)
Saya tak pasti mungkin terdapat beberapa kategori lain tentang manusia dan maaf ini. Saya sering berjumpa dengan manusia dalam kategori-kategori di atas. Tentunya pembaca dapat kenalpasti kategori yang positif dan negatif. Saya tertarik untuk berbincang tentang manusia dalam kategori no. 6.
Manusia jenis ini mungkin memiliki ego dan rasa angkuh yang sangat tinggi! Mungkin kerana faktor usia yang lebih tua... atau apa sahaja yang hanya Allah SWT Maha Mengetahui! Apa tidaknya, setiap kali orang bersalam dan memohon maaf daripadanya, tidak terkeluar perkataan MAAF dari mulutnya! Saya tidak pasti masalah sebenarnya manusia ini. Mungkin dia tidak sedar bahawa konsep bermaafan adalah bermaksud SALING MEMOHON DAN MEMBERI KEMAAFAN. 
CATATAN :
1. Hikmah supaya setiap umat Islam sentiasa beristighfar setiap waktu adalah supaya suburnya sifat rendah diri dan memohon keampunan Allah SWT.
2. Sempurnakah kita manusia, sehingga tidak sanggup untuk memohon maaf daripada orang lain?
3. Mengapa seorang ayah tidak sanggup mohon maaf daripada anak-anak?, Mengapa seorang abang tidak sanggup mohon maaf daripada adik-adiknya?, Mengapa seorang tua tidak sanggup mohon maaf daripada yang lebih muda?, Mengapa seorang suami tidak sanggup mohon maaf daripada isterinya? 
Sebabnya kerana mereka lupa bahawa mereka juga manusia biasa yang tidak sempurna dan tidak suci daripada melakukan kesalahan!

HAPPY HOLIDAYS!!

Wednesday, November 17, 2010
Serentak dengan cuti Hari Raya Qurban bermulanya cuti persekolahan akhir tahun. Sebulan lebih anak-anak akan bercuti. Dua tahun saya sudah tidak dengar lagi anak-anak merungut, " Apa la ayah ni, cuti-cuti pun pergi kerja!". Mungkin mereka telah mula faham bahawa saya tidak lagi bekerja sebagai guru di sekolah. Saya mula risau tentang 'hutang-hutang' saya kepada anak-anak. Janji bercuti bersama-sama dalam cuti ini masih segar dalam ingatan. Risau dengan si kakak yang akan menduduki SPM pada 23 Disember ini...
Semasa bertugas di sekolah dulu, sering saya ingatkan pelajar-pelajar bahawa cuti akhir tahun sangat penting untuk dimanafaatkan. Masa cuti yang panjang ini sepatutnya menjadi peluang kepada pelajar mentelaah subjek-subjek bagi tahun 2011. Sayangnya ramai pelajar mensia-siakan peluang ini. Pelajar tingkatan dua yang akan naik ke tingkatan tiga 2011 perlu mengambil kesempatan berharga ini. Terlalu banyak yang 'dibazirkan' semasa berada di tingkatan 1 dn 2. Ramai pelajar yang mengeluh ketika mereka berada di tingkatan 3 kerana terlalu banyak yang perlu dipelajari. Impaknya, mereka tidak mampu capai keputusan cemerlang.

SALAM AIDIL ADHA

Saya ucapkan selamat Hari Raya Aidil Adha kepada semua para pembaca dan pemantau blog ini. Mohon kemaafan dan keampunan seandainya terdapat kesilapan di pihak saya. Samada yang saya kenal rupa ataupun sekadar kenal di alam siber ini. Tidak terkecuali kerana tulisan juga mampu mengguris perasaan, mencalar emosi....
Aidil Adha kali ini amat sederhana sekali bagi saya dan famili. Kebiasaan dam amalan bertahun-tahun mengunjungi mentua tidak dapat dilakukan kerana mereka berada Tanah Suci. Anak-anak cukup terasa lantaran rutin wajib setiap pagi raya ialah mencium tangan datuk dan nenek mereka. Mengunjungi rumah kosong penuh berdebu di KL (jangan silap faham ye... Kampung Laut, Tumpat!)... menyebabkan saya anak-anak mengeluh panjang. Apa tidaknya terpaksa berpeluh dahulu membersihkan rumah sebelum duduk berehat. Memang benar kata orang, sebuah rumah yang tidak dihuni bagaikan 'mati' dan tidak bermaya!
Kedua-dua mentua cuma ke Mekah untuk mengerjakan haji.. jika mereka pergi untuk selama-lamanya? Tak dapat saya bayangkan keadaan rumah ini. Dan saya memang sudah mangli dengan keadaan ini, menyambut hari raya dengan ingatan yang pilu... rindukan kasih seorang ibu....
CATATAN:
1. Bertuah sungguh bagi masih punya ibubapa.
2. Bertuah sungguh bagi mereka yang sanggup membela ibubapa.
3. Bertuah sungguh bagi mereka yang masih ada waktu untuk berbakti kepada ibubapa.

SALAM AIDIL ADHA

Tuesday, November 16, 2010

LAGI-LAGI UPSR!!!

Saturday, November 13, 2010
Bermula hari Rabu lepas, hampir semua topik perbincangan para guru dan ibubapa adalah mengenai UPSR. Keputusan UPSR yang diumumkan ke seluruh negara sedikit sebanyak menimbulkan emosi yang berbagai-bagai di kalangan para guru dan ibubapa. Ada ibubapa yang bagaikan tidak dapat menerima keputusan UPSR anak mereka. Tidak puas hati kerana si anak hanya mendapat 4A 1B. Malah ada yang tidak puashati dan menyalahkan sikap tegas para pengawas peperiksaan!
Guru-guru yang menangis kerana anak didik mereka tidak mampu mencapai apa yang mereka harapkan. Semuanya menggambarkan betap seriusnya ibubapa dan guru-guru tentang UPSR.
CATATAN:
1. UPSR bukan penentu masa depan anak-anak, itu yang pasti.
2. UPSR ialah Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (Namanya pun ujian pencapaian....)
3.Ibubapa sentiasa mengharapkan semua 'A'  tetapi terlalu beremosi kerana anak tidak berjaya mendapat 5A, itu keterlaluan...
4. TAHNIAH, SK KG TENGAH kerana seramai 19 murid berjaya memperolehi 5A.

FINAL COUNTDOWN UPSR!!!

Thursday, November 11, 2010
Saya  mewakili Boss ke SKBJ sewaktu keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di umumkan di PPDKK. Beberapa orang rakan menghantar sms minta saya tolong semak keputusan UPSR anak masing-masing. Sedangkan saya sendiri tidak dapat melihat keputusan UPSR anak saya sendiri!
SKBJ mengadakan Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik melibatkan semua murid dan ibubapa. Bagaikan mesyuarat agung PIBG, SKBJ dipenuhi dengan ibubapa. Memang menarik kerana majlis tersebut diadakan serentak dengan hari pengumuman keputusan UPSR. Guru Besar SKBJ terus mengumumkan kejayaan 3 murid mereka berjaya memperolehi 5A. Kelulusan subjek Sains 100%! Ini satu pencapaian yang memberangsangkan kerana majoriti murid di SKBJ terdiri daripada anak petani dan buruh.
Saat itu teringat sungguh saya kepada anak ke 3 yang sepatutnya turut mengambil keputusan UPSR di sekolahnya. Lucu juga bila fikirkan yang dia bersama guru-guru tahun enam bersama rakan-rakan bertolak ke Kuala Lumpur dan Melaka malam tadi! Khabarnya rombongan lawatan sekolah itu tidak dapat dielakkan kerana segala persiapan dan tempahan bas dan penginapan tidak boleh dibatalkan.
Akhirnya ketika majlis SKBJ di penghujung, saya terima sms dari Boss, "TAHNIAH, KERANA ANAK DAPAT 5A!"..... Alhamdulillah, 'COUNTDOWN UPSR' saya terungkai dengan sms itu!
CATATAN:
1. Saya masih tetap YAKIN DAN PERCAYA bahawa jika saya buat yang terbaik untuk anak orang lain, insyaAllah, anak-anak saya juga akan mendapat yang terbaik daripadaNYA.
2. TAHNIAH ACHIK, kerana kamu berjaya mengekalkan rekod 5A yang dibina oleh Kakak dan Angah sebelum ini.

UPSR???

Wednesday, November 10, 2010
Hari ini (11.11.2010) keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan diumumkan. Debaran memang terasa di kalangan sebahagian murid-murid. Pastinya yang berdebar lebih ialah para ibu dan bapa! Ekspektasi ibubapa terhadap keputusan 5A anak-anak mereka begitu tinggi. Segala macam kelas tusyen sanggup dibayar demi 5A. Kadang-kadang risau saya memikirkan tentang alam kanak-kanak 12 tahun yang sebegitu rupa. Mereka diperah bagaikan akan menghadapi SPM! Waktu rehat yang kurang, apalagi waktu bermain. Kelas tambahan di sekolah memang diwajibkan. Malah ibubapa masih menghantar anak-anak ke kelas tusyen di waktu malam. Lalu di mana waktu rehat dan bermain kanak-kanak itu?
Saya menongkah arus sejak anak sulung saya mendudukki UPSR. Hingga kini anak ke tiga saya mendudukki UPSR, saya ambil keputusan untuk tidak menghantar mereka ke kelas tusyen. Memadailah dengan kelas-kelas tambahan daripada guru-guru mereka di sekolah. Pada saya mereka lebih memahami kehendak dan keperluan anak-anak didik mereka. Alhamdulillah, anak sulung dan kedua berjaya mendapat 5A. Hari ini saya juga menunggu keputusan UPSR anak ketiga.
Berdebar? Ada juga tetapi saya tidak risau sangat kerana ianya hanya UPSR!
CATATAN:
1. Teringat Falsafah Pendidikan Negara, ingin mewujudkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.
2. Risau 'besar' sekarang ialah bila memikirkan anak sulung yang ada di rumah. (Demam 'small-pox!)

THE FINAL COUNTDOWN!

Monday, November 8, 2010
"Final Countdown' Piala Malaysia untuk musim ini sudah pun diketahui. Keputusan pilihanraya kecil DUN Galas juga sudah diketahui siapa pemenangnya. Bagi Pasukan Red Warrior, usaha dan keupayaan berlipat ganda seharusnya ada untuk mempertahankan kejuaraan di musim hadapan. Kata orang, memenangi kejuaraan tidak sesukar mempertahankannya! Begitu juga dengan ADUN Galas yang menang dalam pilihanraya kecil Galas baru-baru ini. Berjuang dan berusaha untuk menang tidaklah sesukar memberikan khidmat bakti kepada rakyat di kawasan Galas! Sebenarnya saya tabik dengan insan yang bergelar wakil rakyat. Mereka sanggup kurang tidur malah tidak tidur pun. Mereka mesti sanggup dikejutkan pada jam 3 pagi! Mereka sanggup ke serata ceruk negeri. Malah mereka sanggup meredah hutan belantara dan sungai semata-mata ingin bertemu rakyat. Satu perkara penting yang tidak patut dilupakan ialah mereka perlu konsisten. Maksudnya tidak hanya datang dengan komited sewaktu pilihanraya sahaja! (Teringat tentang para sahabat selepas Nabi S.A.W. wafat...mereka saling tolak menolak apabila dicadangkan untuk menjadi Khalifah. Jelas mereka sedar jawatan itu adalah AMANAH yang sangat berat!)
Hakikatnya, semua orang ada 'FINAL COUNTDOWN'nya tersendiri. Rakan-rakan penjawat awam juga ada 'countdown'. Berdoa dan berharap semoga hujung tahun ini akan menitiskan BONUS sebulan gaji!!! Amin.
CATATAN:
1. Anak-anak pelajar yang akan mendudukki peperiksaan SPM telah hampir dengan 'FINAL COUNTDOWN' mereka. 23 November ini akan bermulalah perjuangan mereka.
2.  Saya juga ada 'FINAL COUNTDOWN' tersendiri..... Semoga Allah SWT mempermudahkan segala urusan. Amin.

HUJAN OH HUJAN!

Sunday, November 7, 2010
November datang lagi bersama hujan. Di mana-mana sahaja hujan. Ada tempat hujannya sedikit, yang sederhana dan ada tempat yang hujannya terlebih pula. Minggu lepas dan minggu ini hujan terlebih pula di Kedah dan Perlis hingga menyebabkan banjir yang teruk. Ada orang suka hujan terlebih kerana suka bermain air. Ada yang trauma jika hujan terlebih kerana sering menjadi mangsa banjir yang terpaksa tinggal di pusat pemindahan. Hanya yang pernah menjadi mangsa banjir tahu pengalaman tinggal di pusat pemindahan. Makan, tidur dan mengurus keluarga di dalam dewan sekolah atau dewan orang ramai memang cukup siksa. Sebab itu orang yang pernah jadi mangsa banjir cukup trauma dengan hujan yang terlebih!
Apa-apapun suka saya mengingatkan diri saya supaya sentiasa bersyukur kepada NYA. Bencana banjir sebegini pun memeritkan kita. Apalagi saudara kita di Indonesia yang berhujankan debu panas gunung berapi! Alhamdulillah, syukur dengan segala nikmatMu, Ya Allah.
CATATAN:
1. Biasa dengar insan-insan yang ketika cuaca panas merungut, ketika hujan pun merungut... lupakah dia kepada siapa rungutan itu ditujukan?
2. Wahai hati, ingatlah bahawa setiap yang berlaku pasti ada hikmah dan kebaikannya.
3. Semalam, seorang rakan yang lama menyepi menelefon saya. Rupanya ingin meminjam telinga dan hati saya untuk 'mendengar' hujan dan tangisan hatinya!
  

GRADUASI MRSM KK

Saturday, November 6, 2010
Kemeriahan dan kegembiraan ibubapa dan para pelajar MRSM jelas kelihatan di wajah masing-masing. Saya telah biasa hadir ke Majlis Graduasi MRSM sebagai tetamu jemputan. Namun kehadiran hari ini amat berbeza sekali berbanding sebelumnya. Saya hadir sebagai bapa yang teruja ingin melihat dan meraikan anak sulungnya bergraduasi. Mungkin pencapaiannya setakat ini tidak se GAH nama MRSM tetapi saya perlu hadir demi meraikan seorang anak. Upacara yang gilang gemilang bagaikan majlis graduasi universiti. Para lulusan tingkatan 3 dan 5 berjubah biru. Pelajar perempuan pula bertudung 'Arianni' berwarna putih(khabarnya itu PERINTAH WAJIB oleh para guru!). Hebat sungguh sekolah ini... Risau juga pencapaiannya nanti tidak sehebat acaranya. Sepatutnya saya tidak perlu risau kerana bukankah pelajar MRSM semuanya lulusan 5A UPSR dan 8A PMR! Manakala nilai tambahnya ialah para guru yang hebat-hebat!
CATATAN:
1. Terima kasih MRSM KK mendidik anak saya selama 2 tahun.
2. Sejambak mawar putih sebagai cenderahati graduasi khas untuk anakanda. Tandanya biar apapun keputusannya nanti... Ayah tahu, kamu telah dan masih cuba buat yang terbaik. 

GOATS & COWS VS THE TOBBACO!

Pagi ini saya keluar seawal 6.55 pagi. Tujuannya untuk ke sekolah pendalaman dan singgah ke sebuah kedai nasi pagi di Pahi. Saya pernah makan di sana sekali. Rasa sesuai dengan selera walaupun kedai itu menyediakan nasi berlauk biasa sahaja. Seperti kali pertama saya ke sana meriah sungguh dengan pelanggan. Kedai yang berhampiran dengan sebuah kilang sawit terbesar di KK ini majoriti pelanggan tetapnya adalah pekerja ladang sawit. Seronok juga makan bersama kelompok ini. Mereka makan sambil bercerita dengan lantang sehingga jelas kedengaran pelanggan lain. Pelbagai topik menjadi pilihan.Paling popular ialah topik tentang famili dan kerja mereka seharian. Ada yang mengeluh tentang cuaca, tentang silap faham dengan mandur di tempat kerja dan sebagainya. Biar apapun perbezaan mereka dengan cerita mereka, saya dapat pasti tentang satu persamaan. Mereka sama sahaja dari aspek tabiatnya... TABIAT MEROKOK!
Makan sambil menahan nafas dek kerana kepulan asap rokok pelanggan di sebelah memang menyiksakan!
Memandu ke pejabat dalam cuaca yang lembap sambil merungut dalam hati. "Alamak, kuatnya bau asap rokok!". Memang benar, bau asap rokok menggantikan 'perfume' melekat keras di baju. Selepas pembentangan bajet oleh PM, saya gembira kerana cukai rokok dinaikkan. Seorang kawan beritahu harga sekotak rokok mencecah RM10! Gembira kerana ia mungkin akan jadi perangsang untuk perokok-perokok mula berhenti merokok. Sayangnya senario di kedai makan pagi ini dan di tempat kerja yang tidak putus dengan asap menjelaskan segala-galanya.
CATATAN:
1. Teringat tentang faktwa Majlis Fatwa Kebangsaan Tahun 2003, mengatakan bahawa MEROKOK ADALAH HARAM.
2. Tersenyum teringat kisah benar di Bachok dan Pasir Puteh (kawasan utama penanaman tembakau). Penanam tembakau tidak perlu membina pagar di ladang tembakau. Mengapa? Kerana lembu dan kambing di sana TIDAK PERNAH SUKA MAKAN DAUN TEMBAKAU YANG BERACUN!

SEHARI BERSAMA MU 'IBU KANDUNG'....

Thursday, November 4, 2010
Saya ke Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim pada Rabu lepas. Kali terakhir ke UPSI pada tahun 1998. Wajah UPSI ternyata berbeza. Lebih ceria dan meriah berbanding 12 tahun dahulu. Rasa gembira kerana dalam kesibukan namun sempat menjengah UPSI setelah 12 tahun. Tujuannya menghantar Tengku Nur Hanis (anak ke dua) abang saya untuk menghadiri temuduga. InsyaAllah, jika berjaya dia akan mula mendaftar sebagai mahasiswa UPSI pada Disember ini. Ramai sungguh lulusan STPM dan diploma dari pelusuk negara yang hadir untuk temuduga. Pelbagai bidang kursus yang ditawarkan. Dan sebagai universiti pendidikan, pastinya kursus-kursus ijazah pendidikan menjadi terasnya.
Berpusing keliling UPSI mengingatkan saya tentang sejarah tempat bersejarah itu. Masih segar teringat tentang kelas sejarah masa persekolahan dulu. Saya sangat minat dengan subjek sejarah. Makanya gred subjek Sejarah dalam SPM saya lebih baik daripada subjek lain. Berada di UPSI kini, saya segera teringat dengan nama 'IBU KANDUNG'. Sejarah UPSI bermula dengan Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) atau nama jolokannya 'IBU KANDUNG'. Terkenal sebagai institusi perguruan tertua di Malaysia. Di sinilah lahirnya pemimpin, tokoh akademik, tokoh-tokoh pendidik yang tega memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu. Tokoh-tokoh seperti Ishak Hj Muhammad (Pak Sako) dan Zainal Abidin Ahmad (Zaaba) yang dilahirkan oleh 'IBU KANDUNG' ini. Mengapa MPSI digelar 'IBU KANDUNG'? MPSI lah tempat yang mencetuskan idea-idea dan semangat cintakan kemerdekaan negara. MPSI lah tempat pertemuan cendikiawan Melayu membina kesepakatan semangat juang orang-orang Melayu. 
Saya tidak akan tahu itu jika saya tidak belajar sejarah. Terima kasih Cikgu Eh Wang, Cikgu Hilmin dan Cikgu Othman (kesemuanya sudah bersara).
CATATAN:
1. Ketara benar perbezaan bilangan calon wanita yang jauh lebih ramai berbanding calon lelaki. (1:3).
2. Calon-calon temuduga yang bersedia dari segi mental dan fizikal memilikki kelebihan dalam sesi temuduga dalam skala besar ini.
3. SESI TEMUDUGA IJAZAH PENDIDIKAN INI MEMANG SUKAR.... NAMUN MENJADI PENDIDIK AKAN JAUH LEBIH SUKAR! (Semoga semua bakal pendidik akan lebih bersungguh-sungguh dan mengerti)

SIAPA IDOLA KU....

Monday, November 1, 2010
Rakan-rakan guru di sekolah sering memberitahu tentang gelagat dan tabiat pelajar. Enam tahun bertugas di PPD menyekat pengetahuan saya tentang perkembangan 'real life' para pelajar di sekolah. Benarlah kata-kata, "jika benar-benar mahu menjiwai guru, beradalah di sekolah". Menarik juga jika saya kongsikan di blog ini satu persoalan yang penting tentang perkembangan remaja. Remaja bergelar pelajar ini sebenarnya masih keliru tentang idola atau 'role model' yang sepatutnya mereka contohi. Jika kita selongkar beg, buku malah dompet para pelajar pasti kita akan terkejut. Segala macam gambar dan segala macam 'gajet' yang tidak sesuai, apalagi untuk mencerdas dan mematangkan minda.
Gambar-gambar penyanyi, artis, kumpulan rock, heavy metal, imej-imej 'skin-head', penkid dan sebagainya. Saya bukan pembenci artis. Malah saya gemar dan tabik kepada artis-artis berbakat dengan menghasilkan ciptaan seni yang hebat. Saya sendiri minat kepada beberapa orang penyanyi hebat bersuara emas di Malaysia ini. Sayangnya, ramai sekali artis yang mempersia-siakan bakat yang ada dengan merosakkan diri mereka sendiri. Lepas satu persatu artis hebat yang saya minati terjerumus ke kancah penagihan najis dadah! Berita Utama malam tadi menyiarkan berita seorang penyanyi lelaki yang memang saya minati suaranya. Beliau dihukum penjara dua bulan kerana menyalahgunakan dadah. Belum disebut lagi aktor dan aktres yang hebat-hebat tetapi hebat juga dari aspek skandal negatif... Belum lagi dikira artis yang asyik bercerai berai... lalu saya tidak boleh salahkan remaja dan pelajar. Mereka pula bertanya, 'Siapa yang sepatutnya kami jadikan contoh dan idola?'.
CATATAN:
1. Idola utama yang sepatutnya menjadi contoh terbaik kepada anak-anak ialah ibu dan bapa.
2. Ibubapa juga perlu memandu anak-anak untuk mengenal pasti idola atau 'role-model' yang sepatutnya.
3. Peranan ibubapa memberikan ilmu dan iman kepada anak-anak agar mereka dapat membezakan antara yang baik dan buruk.