SIAPA IDOLA KU....

Monday, November 1, 2010
Rakan-rakan guru di sekolah sering memberitahu tentang gelagat dan tabiat pelajar. Enam tahun bertugas di PPD menyekat pengetahuan saya tentang perkembangan 'real life' para pelajar di sekolah. Benarlah kata-kata, "jika benar-benar mahu menjiwai guru, beradalah di sekolah". Menarik juga jika saya kongsikan di blog ini satu persoalan yang penting tentang perkembangan remaja. Remaja bergelar pelajar ini sebenarnya masih keliru tentang idola atau 'role model' yang sepatutnya mereka contohi. Jika kita selongkar beg, buku malah dompet para pelajar pasti kita akan terkejut. Segala macam gambar dan segala macam 'gajet' yang tidak sesuai, apalagi untuk mencerdas dan mematangkan minda.
Gambar-gambar penyanyi, artis, kumpulan rock, heavy metal, imej-imej 'skin-head', penkid dan sebagainya. Saya bukan pembenci artis. Malah saya gemar dan tabik kepada artis-artis berbakat dengan menghasilkan ciptaan seni yang hebat. Saya sendiri minat kepada beberapa orang penyanyi hebat bersuara emas di Malaysia ini. Sayangnya, ramai sekali artis yang mempersia-siakan bakat yang ada dengan merosakkan diri mereka sendiri. Lepas satu persatu artis hebat yang saya minati terjerumus ke kancah penagihan najis dadah! Berita Utama malam tadi menyiarkan berita seorang penyanyi lelaki yang memang saya minati suaranya. Beliau dihukum penjara dua bulan kerana menyalahgunakan dadah. Belum disebut lagi aktor dan aktres yang hebat-hebat tetapi hebat juga dari aspek skandal negatif... Belum lagi dikira artis yang asyik bercerai berai... lalu saya tidak boleh salahkan remaja dan pelajar. Mereka pula bertanya, 'Siapa yang sepatutnya kami jadikan contoh dan idola?'.
CATATAN:
1. Idola utama yang sepatutnya menjadi contoh terbaik kepada anak-anak ialah ibu dan bapa.
2. Ibubapa juga perlu memandu anak-anak untuk mengenal pasti idola atau 'role-model' yang sepatutnya.
3. Peranan ibubapa memberikan ilmu dan iman kepada anak-anak agar mereka dapat membezakan antara yang baik dan buruk.

0 comments:

Post a Comment