SEHARI BERSAMA MU 'IBU KANDUNG'....

Thursday, November 4, 2010
Saya ke Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim pada Rabu lepas. Kali terakhir ke UPSI pada tahun 1998. Wajah UPSI ternyata berbeza. Lebih ceria dan meriah berbanding 12 tahun dahulu. Rasa gembira kerana dalam kesibukan namun sempat menjengah UPSI setelah 12 tahun. Tujuannya menghantar Tengku Nur Hanis (anak ke dua) abang saya untuk menghadiri temuduga. InsyaAllah, jika berjaya dia akan mula mendaftar sebagai mahasiswa UPSI pada Disember ini. Ramai sungguh lulusan STPM dan diploma dari pelusuk negara yang hadir untuk temuduga. Pelbagai bidang kursus yang ditawarkan. Dan sebagai universiti pendidikan, pastinya kursus-kursus ijazah pendidikan menjadi terasnya.
Berpusing keliling UPSI mengingatkan saya tentang sejarah tempat bersejarah itu. Masih segar teringat tentang kelas sejarah masa persekolahan dulu. Saya sangat minat dengan subjek sejarah. Makanya gred subjek Sejarah dalam SPM saya lebih baik daripada subjek lain. Berada di UPSI kini, saya segera teringat dengan nama 'IBU KANDUNG'. Sejarah UPSI bermula dengan Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) atau nama jolokannya 'IBU KANDUNG'. Terkenal sebagai institusi perguruan tertua di Malaysia. Di sinilah lahirnya pemimpin, tokoh akademik, tokoh-tokoh pendidik yang tega memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu. Tokoh-tokoh seperti Ishak Hj Muhammad (Pak Sako) dan Zainal Abidin Ahmad (Zaaba) yang dilahirkan oleh 'IBU KANDUNG' ini. Mengapa MPSI digelar 'IBU KANDUNG'? MPSI lah tempat yang mencetuskan idea-idea dan semangat cintakan kemerdekaan negara. MPSI lah tempat pertemuan cendikiawan Melayu membina kesepakatan semangat juang orang-orang Melayu. 
Saya tidak akan tahu itu jika saya tidak belajar sejarah. Terima kasih Cikgu Eh Wang, Cikgu Hilmin dan Cikgu Othman (kesemuanya sudah bersara).
CATATAN:
1. Ketara benar perbezaan bilangan calon wanita yang jauh lebih ramai berbanding calon lelaki. (1:3).
2. Calon-calon temuduga yang bersedia dari segi mental dan fizikal memilikki kelebihan dalam sesi temuduga dalam skala besar ini.
3. SESI TEMUDUGA IJAZAH PENDIDIKAN INI MEMANG SUKAR.... NAMUN MENJADI PENDIDIK AKAN JAUH LEBIH SUKAR! (Semoga semua bakal pendidik akan lebih bersungguh-sungguh dan mengerti)

0 comments:

Post a Comment