Bermacam emosi bercampur dalam benak saya. Terpaksa berhadapan dengan seorang ibu beranak 10 dan salah seorang anak gadisnya (pelajar menengah rendah). Rasa marah, sedih dan kecewa bercampur baur. Si ibu membawa anak gadis yang telah dibuang sekolah kerana ditangkap khalwat! Si ibu membawa anaknya untuk merayu supaya diterima semula di sekolah. Kasih seorang ibu yang sanggup menebalkan muka. Terpaksa bertemu dengan semua orang, ke hulu dan ke hilir. Harapan agar anaknya diterima semula ke alam persekolahan.
Malangnya kes serius ini bukan di bawah bidang kuasa pengurusan daerah. Si ibu terpaksa berjumpa pihak pengurusan peringkat negeri untuk membuat rayuan persekolahan anaknya.
Saya melihat dari awal pertemuan hanya si ibu yang kelihatan bersungguh-sungguh. Pelajar 14 tahun itu hanya tersenyum dengan berseluar jeans dan t-shirt ketat. Rasa sedih menyelinap dalam sanubari saya. Betapa gadis ini bagaikan tidak mengerti tentang maruah dan harga diri dan juga maruah ibubapa... Sayangnya saya tidak sempat untuk mengadakan sesi lanjutan dengan pelajar ini.
CATATAN:
1. Barangkali inilah yang dikatakan 'CINTA MONYET'.....
2. Saya teringat lirik lagu Eddy Silitonga (Indonesia) di awal tahun 80an.. "Duhai apakah gerangan budi balasan.. bagi insan melahirkan membesarkan"...
3. Wahai para remaja, adakah ini balasan atas kasih sayang ibubapa terhadap anda? Fikir-fikirkanlah....
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment