'NASI LEMAK 50 SEN'

Tuesday, October 26, 2010
Saya bukanlah anti kepada filem-filem Melayu keluaran Malaysia. Malah saya amat kagum dengan filem-filem hebat keluaran Malaysia yang berkualiti. Filem-filem yang membawa tema kemanusiaan dan kasih sayang seperti Papadom, Setem, Cinta dan beberapa filem lain lagi. Malah filem cinta bercorak Islamik hasil adaptasi novel 'box-office' Indonesia, 'KETIKA CINTA BERTASBIH' juga saya minati dan ikuti. Cerita-cerita yang diketengahkan dalam filem-filem tersebut memang sarat dengan nilai-nilai moral, kasih sayang dan cinta yang berlandaskan kepada agama.
Semalam saya terkejut apabila anak saya yang berusia 10 tahun bercerita tentang bahan gurauan di sekolahnya. Gurauan yang berbaur 'biru' yang hangat diulang tayang di kaca tv sebagai promosi sebuah filem Melayu keluaran Malaysia! (Watak seorang remaja lelaki menghamburkan kata-kata menghina seorang gadis). Dialog yang tak berakhlak yang memperlekehkan bahagian dada si gadis! Mungkin sahaja filem itu tidaklah hebat dari sudut kualitinya maka sengaja dipilih babak tersebut untuk menarik penonton terutamanya remaja. Hasil tayangan promo yang berulang-ulang setiap hari, tidak hairanlah ia menjadi bahan gurauan di kalangan kanak-kanak. Benak saya berfikir, kepupusan idea atau kehabisan modal berkaryakah pembikin filem di Malaysia ini?
CATATAN:
1. Saya teringat usaha-usaha kerajaan menggubal bermacam-macam sukatan pelajaran berkaitan nilai-nilai murni di sekolah.
2. Di sekolah para guru mendidik pelajar segala macam ilmu dan nilai-nilai yang baik tetapi televisyen mengajar mereka sebaliknya.
3. Agama mengajar tentang akhlak serta cara berpakaian menutup aurat tetapi televisyen mengajar supaya tidak peduli tentang akhlak dan mendedahkan aurat.
4. Gusar sungguh hati saya... kerana di saat segelintir insan bertungkus lumus berusaha untuk 'MEMANUSIAKAN MANUSIA'; pada masa sama lebih ramai manusia yang mahu 'MENGHAIWANKAN MANUSIA'!

0 comments:

Post a Comment